KUALA LUMPUR: Tidak mahu mencalarkan imej wanita berhijab sehingga meninggalkan stigma kurang baik di mata khalayak, pelakon Ummi Nazeera, 32, kini lebih berhati-hati menggalas watak antagonis dalam drama dijayakan.
Biarpun berdepan kebimbangan dalam soal penerimaan penonton, pemilik nama lengkap Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin itu mengakui, dia tidak berdepan masalah untuk tampil dengan watak antagonis.
"Kalau diikutkan sifat antagonis datang daripada hati, bukan rupa atau imej seseorang. Jadi, kalau mahu bawa karakter antagonis dalam keadaan berhijab tidak menjadi masalah.
"Cuma, mungkin penonton jadi skeptikal disebabkan penampilan sopan, tetapi perangai tak baik. Itulah menjadi kerisauan saya kerana ia akan memburukkan wanita berhijab.
"Namun, ia bukan masalah besar kerana kita semua tidak boleh menilai seseorang dari segi luaran. Dalam masa sama, saya akan cuba jaga imej wanita berhijab ketika berlakon," katanya kepada BH Online.
Terdahulu, Ummi mencipta sensasi apabila watak Salina dalam drama Rindu Kasih di TV3 menjadi bualan hangat dalam laman sosial.
Ketika babak pergaduhan bersama ibu mentua lakonan Fazlina Datuk Ahmad Daud yang menyaksikannya berubah menjadi psiko, Ummi berjaya memukau dan meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.
Mengulas lanjut, anak kelahiran Besut, Terengganu itu menyedari hakikat tidak semua watak boleh digalas dalam keadaan dirinya berhijab.
Justeru, katanya, dia perlu tampil dengan pelbagai inisiatif tambahan di samping berusaha lebih menghidupkan watak supaya dapat memberi kelainan.
"Saya terbuka dengan apa sahaja watak diberikan pada masa akan datang. Walaupun pasti akan ada sedikit persamaan, tetapi sebagai pelakon, saya perlu mencari kelainan.
"Disebabkan berhijab, tak semua watak sesuai untuk dibawa. Jadi, tanggungjawab saya membina karakter tersendiri supaya tidak nampak sama.
"Saya mengikuti kelas lakonan untuk menjayakan setiap watak diberikan. Sebagai contoh, saya ambil kelas lakonan terlebih dahulu dengan Fatimah Abu Bakar ketika membintangi drama Risik Pada Hati, tahun lalu.
"Saya bersyukur dengan bimbingan diberikan guru, mentor dan pasukan produksi, ia membantu saya melangkah hingga ke tahap ini," katanya.
Terdahulu, Ummi menunggu selama 16 tahun sebelum diumumkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik, Tonton Anugerah Drama Sangat (TADS) 2023, baru-baru ini.