KUALA LUMPUR: Penyanyi Fyna Jebat, 30, bersyukur madunya, Datin Zalina Zaini menarik balik laporan polis membabitkan pertelingkahan yang berlaku di sebuah restoran di Shah Alam, Selangor pada Januari lalu.
Bagaimanapun, Fyna yang juga adik kepada penyanyi Ayda Jebat enggan mengulas siapa memulakan langkah berdamai.
Namun, Fyna berharap orang ramai terus mendoakan yang terbaik untuknya dan ahli keluarga.
"Berkenaan laporan polis yang ditarik balik, Alhamdulillah….. itu sahaja yang boleh saya katakan.
"Siapa memulakan langkah berdamai, apa yang boleh saya katakan hanya 'no komen'
"Saya tahu ramai mendoakan kami. Jadi, harapan saya terus doakan yang terbaik untuk saya dan keluarga," katanya pada majlis pelancaran produk Eodos Serum dan memperkenalkan dutanya, Hannah Delisha di sebuah hotel di Bangi, semalam.
Ujar Fyna lagi, adegan memalukan yang berlaku pada Januari lalu juga tidak akan berulang lagi.
Mengulas adakah sudah bertemu dengan madunya, Fyna berkata, mereka belum sempat berjumpa berikutan jadual kerjanya yang padat.
Bagaimanapun, Fyna berkata, dia tiada masalah duduk semeja dengan isteri pertama bekas pemain bola sepak legenda, Datuk Zainal Abidin Hassan itu.
"Saya tidak kisah jika hendak duduk atau makan semeja. Cuma, kami masih belum berkesempatan berjumpa berikutan jadual saya yang agak sibuk.
"Saya tidak berani memberikan komen bagi pihak sana," katanya.
Terdahulu, kecoh di media sosial apabila Zalina didakwa berang disindir Fyna dalam satu program rancangan realiti televisyen sehingga mencetuskan pergaduhan di sebuah restoran di Shah Alam.
Difahamkan, berlaku pertengkaran mulut apabila isteri pertama mendakwa Fyna berkahwin dengan Zainal tanpa pengetahuannya.
Fyna mengaku sudah bernikah dengan Zainal pada awal Januari lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Assisten Komisioner, Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan Zalina Saini menarik balik laporan polis dibuat, baru-baru ini.
Susulan tindakan itu, pihak polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) selepas menyemak semula kertas siasatan.