Selasa, 7 Februari 2023 | 6:00pm
Walaupun bajet dikeluarkan tidak berbaloi dengan wang kemenangan RM25,000 selepas menduduki tempat kedua, namun Ayda dan Fyna tetap berbangga menjadi ‘trend setter’ sehingga menjadi ikutan peserta lain. - NSTP/Saifulizam Tamadi
Walaupun bajet dikeluarkan tidak berbaloi dengan wang kemenangan RM25,000 selepas menduduki tempat kedua, namun Ayda dan Fyna tetap berbangga menjadi ‘trend setter’ sehingga menjadi ikutan peserta lain. - NSTP/Saifulizam Tamadi

Menang RM25,000, Ayda dan Fyna lebur RM150,000

KUALA LUMPUR: Pasangan adik-beradik, Ayda Jebat dan Fyna Jebat tak kisah lebur RM150,000 ketika menyertai program realiti, Famili Duo selama lapan minggu demi kepuasan diri.

Walaupun bajet dikeluarkan tidak berbaloi dengan wang kemenangan RM25,000 yang dimenangi selepas menduduki tempat kedua, namun Ayda tetap berbangga berjaya menjadi 'trend setter' sehingga menjadi ikutan peserta lain.

"Apa yang kami bawakan sepanjang bertanding seperti kapal terbang, sarkas, tapak pembinaan dan macam-macam lagi. Jika dihitung kos dikeluarkan memang tidak berbaloi termasuk dari segi usaha, kreativiti, masa, tenaga dan sebagainya.

"Namun, saya tetap gembira dan puas dapat menghiburkan orang ramai dan memberikan persembahan terbaik.

"Paling utama, dapat berkongsi rezeki dengan pemuzik, kru balik tabir yang menyediakan prop, tetamu undangan, jurusolek, pereka fesyen, penata gaya, juru audio dan ramai lagi.

"Semua kos yang dikeluarkan adalah rezeki orang lain," katanya kepada BH Online.

Ditanya perasaannya apabila hanya menduduki tempat kedua, sedangkan dicanang sebagai calon juara, Ayda reda dan menganggap rezekinya hanya setakat itu.

"Saya dan Fyna sudah buat sehabis baik, setiap minggu untuk mengejar gelaran juara, tetapi tiada rezeki.

"Kami percaya aturan Allah yang terbaik dan pasti ada hikmah di sebaliknya. Apa yang penting, apa yang dilakukan demi peminat yang selama tidak berhenti menyokong," katanya.

Ayda dan Fyna yang mempersembahkan lagu Pada Syurga Di Wajahmu dan medley, Let's Get Loud dan Gangnam Style tewas kepada pasangan adik-beradik, Yamani Abdillah dan Zaki Yamani.

Sementara itu, Ayda berkata dia tidak akan menyertai program realiti yang memerlukannya memberikan komitmen mingguan.

Ayda dan Fyna memenangi tempat kedua dengan membawa pulang wang RM25,000 tetap berpuas hati dengan kemenangan mereka. - NSTP/Saifulizam Tamadi
Ayda dan Fyna memenangi tempat kedua dengan membawa pulang wang RM25,000 tetap berpuas hati dengan kemenangan mereka. - NSTP/Saifulizam Tamadi

Katanya, kehilangan berat badan sebanyak lima kilogram sejak menyertai program realiti bukannya bermakna serik atau tidak dapat menerima kekalahan, sebaliknya ia terlalu memenatkan.

"Ini kerana walaupun acara mingguan, tetapi komitmen kerja perlu dirancang sejak awal minggu sehingga menjelangnya konsert pada setiap Ahad.

"Saya rasa cukuplah untuk program realiti. Bukan serik, tetapi banyak masa, tenaga dan kreativiti yang sudah dicurahkan untuk program ini.

"Rasanya saya tidak mampu lagi untuk melakukan perkara sama jika terbabit dalam program realiti.

"Jika pertandingan lain seperti Anugerah Juara Lagu, itu lain kerana tidak memerlukan komitmen mingguan.

"Setakat ini, saya belum berbincang dengan suami, tetapi saya yakin dia mengenali saya orang yang bagaimana," kata Ayda.

Program Famili Duo musim kedua bersiaran selama lapan minggu dan bagi edisi kali ini, ia menampilkan tujuh pasangan selebriti yang berentap setiap minggu yang membawakan tema berbeza untuk merebut hadiah mingguan.

Pemarkahan ditentukan oleh juri tetap, Ajai dan Mas Idayu sebanyak 80 peratus, sementara 20 peratus lagi berdasarkan undian dalam talian oleh peminat.

Berita Harian X