Selasa, 7 Februari 2023 | 5:00pm
Liyana kesal, rakan industri persoal karya terbitannya - Foto IG Liyana Jasmay
Liyana kesal, rakan industri persoal karya terbitannya - Foto IG Liyana Jasmay

Kenapa nak matikan kreativiti orang seni? - Liyana

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah, Liyana Jasmay, 35, kesal selepas terdapat segelintir rakan industri yang mempersoalkan karya terbitannya.

Menerusi hantaran dalam Instagram Story, Liyana berkata, soal logik atau tidak dalam sesebuah karya boleh mematikan kreativiti dalam kalangan orang seni.

Malah, katanya, jika karya berbentuk fiksyen soal logik tidak dititikberatkan kerana ia adalah naskhah berlandaskan dunia fantasi.

"Macam mana mahu buat cerita menarik kalau ada orang industri suka bertanya sama ada ia logik atau tidak?

"Kau matikan minda kreativiti orang seni. Kalau logik, tidak payah buat cerita fiksyen.

"Kau buat sahaja cerita yang berlandaskan dunia sebenar," tulisnya.

Susulan perkongsian itu, rata-rata rakan artis dan pengikut Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-22 itu memberikan reaksi positif terhadap kenyataan diberikan.

Terdahulu, Liyana pernah menyuarakan rasa tidak puas hati menerusi tulisan dalam ruangan kapsyen sosial medianya, namun tidak menyebut nama individu dan hantaran itu tidak ditujukan kepada siapa. - XTRA

Berita Harian X