KUALA LUMPUR: Penyampai radio popular, DJ Lin terharu apabila ahli kelab peminat, DJLINFollowers dari selatan tanah air menganjurkan majlis ulang tahun kelahirannya ke-47, baru-baru ini.
Majlis yang diadakan di Restoran Rumah Makan 100 Tahun, Ujong Pasir, Melaka itu menjadi destinasi pertama DJ Lin atau nama sebenarnya, Roslinda Abdul Majid dalam siri jelajah bertemu peminat, tahun ini.
Penyampai radio yang terkenal menerusi segmen Suria Cinta di Suria FM itu berkata, ia adalah kali pertama sesi bertemu peminat diadakan di selatan dan Melaka menjadi negeri pertama.
"Saya terharu atas sambutan hebat diberikan peminat di Melaka. Ini lebih bermakna apabila ada yang sanggup datang dari Johor Bahru, Pahang, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan.
"Nyata sokongan peminat tidak berbelah terhadap saya kerana bukan sahaja dalam kalangan peminat baharu, malah antara yang hadir terdiri daripada peminat setia sejak kelab peminat, DJLINFollowers mula ditubuhkan pada 2010," katanya kepada BH Online.
Majlis bertemakan tradisional dimulakan dengan bacaan doa selamat oleh Ustaz Safwan Matsani.
Lebih menarik, majlis itu dimeriahkan dengan kehadiran lebih 100 peminat setia.
Biarpun masih bergelut dengan kesihatan sejak dimasukkan ke hospital, minggu lalu, DJ Lin berkata, dia tetap kuatkan semangat untuk hadir bagi menyempurnakan majlis berkenaan.
"Tanpa peminat, saya bukan sesiapa. Sokongan padu peminat yang tidak berbelah bagi selama 23 tahun berada dalam industri penyiaran radio di Malaysia adalah tunjang kekuatan untuk saya berdepan apa juga cabaran.
"Saya kuat demi peminat dan terus bertahan dengan berkat doa mereka. Oleh itu, saya akan cuba sedaya upaya untuk sentiasa berusaha memberikan terbaik.
"Disember lalu sangat istimewa kerana dapat meraikan sambutan ulang tahun saya ke-47 bersama peminat. Doakan supaya saya dapat terus fokus mengemudi Suria FM dan mencipta lebih banyak kejayaan," katanya.