Ahad, 5 Februari 2023 | 3:57pm
Keranda membawa jenazah Allahyarham Julie yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru tahap empat, dibawa ke pusara di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya, hari ini, untuk disemadikan. Foto NSTP Shahril Badri
Keranda membawa jenazah Allahyarham Julie yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru tahap empat, dibawa ke pusara di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya, hari ini, untuk disemadikan. Foto NSTP Shahril Badri

Allahyarham Julie pergi akibat kanser paru-paru tahap empat

SUBANG JAYA : Anak penyanyi legenda, Datin Paduka Julie Sudiro iaitu Jose Irmanto Sudiro Soliano, 45, mengesahkan ibunya yang meninggal dunia di Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam, malam tadi, pergi akibat kanser paru-paru tahap empat.

Allahyarham Julie, 80, yang cukup dikenali sebagai penyanyi jazz dan keroncong, disahkan menghidap kanser paru-paru melalui ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dan keputusan biopsi diperoleh doktor.

Jose berkata, ibunya dikejarkan ke Hospital UITM dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) selepas oksigen dalam badan berada pada paras rendah.

"Arwah ditidurkan kerana doktor mahu melakukan ujian CT Scan. Hasil ujian itu dan keputusan biopsi menunjukkan ibu menghidap kanser paru-paru tahap empat,.

Jenazah Allahyarham Julie selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya, pada jam 2.50 petang tadi. Foto NSTP Shahril Badri
Jenazah Allahyarham Julie selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya, pada jam 2.50 petang tadi. Foto NSTP Shahril Badri

"Sebelum ini, doktor memaklumkan ibu saya ada simptom kanser, tetapi, ketika itu, ujian biopsi belum dibuat," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 di sini, hari ini.

Pada jam 9.30 malam tadi, Allahyarham Julie yang aktif dalam dunia muzik sejak lebih 50 tahun lalu, meninggal dunia ketika dalam rawatan di Hospital UiTM, Puncak Alam, Selangor.

Berkongsi keadaan ibunya sepanjang hampir sebulan dirawat di pusat perubatan itu, Jose berkata, ibunya menunjukkan perkembangan positif.

"Ketika ibu dirawat, beliau menunjukkan perkembangan positif. Ibu masih boleh mendengar apa yang kami cakap.

"Cuma ibu tidak boleh balas kerana masih bergantung dengan bantuan oksigen. Arwah hanya boleh berkomunikasi dengan bahasa tubuh seperti mengangguk dan memegang tangan kami.

"Namun, kira-kira jam 2.30 petang semalam, keadaan ibu kembali kritikal hinggalah ibu menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.30 malam," katanya.

Bercerita mengenai keperibadian insan tersayang itu, Jose berkata, biarpun dilahirkan dalam keluarga seni, namun, legasi itu terhenti selepas ibu melarang dia dan abangnya, menceburi bidang itu.

"Arwah sangat mementingkan pendidikan anak-anak. Alhamdulillah kami berjaya menamatkan pengajian dan bidang profesional.

"Antara alasan arwah untuk tidak mengizinkan kami terbabit dalam bidang seni kerana dia tidak mahu melalui pengalaman perit yang pernah ditempuhinya," katanya.

Sebagai anak yang rapat dengan ibunya, Jose mengakui pemergian arwah cukup membekas dalam hatinya kerana tiada lagi suara insan kesayangannya itu menelefonnya seperti biasa.

"Arwah melayan kami umpama kanak-kanak. Ibu ambil berat terhadap apa yang kami lakukan.

"Sebagai ibu, arwah sangat tegas. Walaupun saya sudah dewasa dan berumahtangga, ibu tetap hubungi dan bertanya bila saya akan pulang ke rumah jika saya bekerja hingga lewat malam.

"Saya pasti akan merindui suara dan panggilannya itu," katanya.

Sementara itu, penyanyi Datuk DJ Dave menyifatkan pemergian Allahyarham Julie sebagai kehilangan besar kepada industri seni.

"Industri seni kehilangan penghibur seni yang berbakat besar dalam bidang seni suara.

"Saya kenal arwah sejak 50 tahun lalu sebelum saya menjadi penyanyi. Saya pernah menonton persembahannya ketika beliau aktif menyanyi di kelab di sebuah hotel.

"Bagi saya, arwah adalah ratu jazz yang hebat, malah mampu menyanyikan pelbagai genre lagu.

"Mengenali keperibadian arwah selain pernah berkongsi pentas dalam beberapa persembahan, beliau insan yang sangat peramah dan tidak suka gosip," katanya.

Sementara itu, jenazah Allahyarham Julie selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, di sini, pada jam 2.50 petang tadi.

Antara yang menziarah adalah Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Datuk Freddie Fernandez; Rozita Rohaizad; Den Wahab serta isteri, Norlee Tamam Idris dan ramai lagi.

Berita Harian X