Selasa, 24 Januari 2023 | 10:30pm
Atas status hubungan sepupu mengikut syarat ditetapkan TV3, Naim dan Sissy bersaing di pentas Famili Duo sejak enam minggu lalu. Foto IG Naim Daniel
Atas status hubungan sepupu mengikut syarat ditetapkan TV3, Naim dan Sissy bersaing di pentas Famili Duo sejak enam minggu lalu. Foto IG Naim Daniel

Tak mengapa, saya ada - Naim Daniel

KUALA LUMPUR : Kesedihan Sissy Imann yang kecewa gagal memberi persembahan terbaik pada konsert minggu keenam program realti, Famili Duo, Ahad lalu, turut dirasai pasangan duetnya, Naim Daniel.

Menerusi hantaran Instagram (IG), malam tadi, Naim bukan sahaja cuba memujuk Sissy, malah, berkongsi pengalaman suka duka sejak menyertai program realiti terbitan TV3 itu.

"Kadang, ada ketika di mana kita menjalani tuntutan tugasan kita dalam keadaan yang kita sendiri tidak sehebat mana dalam

menjayakannya, tapi kita tetap cuba.

"Walau kadang kita dua tidak pasti sama ada orang akan suka bagai nak gila atau benci mencuka... Tidak mengapa, saya ada.

"Kadang, ada ketika di mana kita berdua berhadapan dalam satu keadaan sama ada ingin menyahut cabaran atau kekal dalam selesanya landasan, tetapi, tetap juga kita teruskan walau kita sama-sama takut dengan pelbagai penerimaan," tulisnya.

Tambah penyanyi Mainan ini, dirinya akur tidak semua orang mampu menerima perubahan. Namun, bagi Naim, perkara itu tidak pernah menyekat kreativiti untuk terus berkarya demi kepuasan penonton.

"Biasalah, darah mudakan suka perubahan? Pasti adanya penentangan. Itu adat pertandingan... Tidak mengapa, saya ada.

"Kadang, ada hari di mana kita berdua mati akal, kaedah apa dan lagu apa lagi yang kita nak 'bedal' supaya terhiburnya semua tanpa disangkal-sangkal.

Naim berkongsi kata-kata semangat kepada Sissy yang kecewa atas aksinya di pentas konsert keenam program realiti, Famili Duo, melalui hantaran Instagram (IG), malam tadi. Foto IG Naim Daniel
Naim berkongsi kata-kata semangat kepada Sissy yang kecewa atas aksinya di pentas konsert keenam program realiti, Famili Duo, melalui hantaran Instagram (IG), malam tadi. Foto IG Naim Daniel

"Kita tetap cuba cekal walau tahu penat minggu demi minggu kian menebal. Tak mengapa, saya ada," ungkapnya lagi.

Sebelum menamatkan luahannya, bekas juara Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34 ini sempat menitipkan kata-kata semangat kepada Sissy yang juga sepupunya, agar tidak putus apa dengan apa yang berlaku.

"Dan jangan risau, walau ada hari di mana riang awak terhakis, menangis tak habis bagai pisau menghiris.

"Tetap tak hilang peribadi awak yang umum tahu, seorang yang manis. Tak mengapa, saya ada," luah Naim.

Terdahulu Sissy yang popular menerusi lagu Mungkin Kamu ini meluahkan rasa kecewa di IG berikutan kegagalan menyajikan persembahan terbaik hingga menerima kritikan 'pedas' juri tetap, Mas Idayu.

Di pentas Famili Duo, Ahad lalu, Sissy dilihat gagal menahan air mata dan insiden itu mengundang perdebatan netizen.

Berita Harian X