Isnin, 28 November 2022 | 2:33pm
Sifat ambil berat, kelakar dan bergaya membuatkan A Aida tertarik kepada Wak Doyok. - Foto IG Wak Doyok
Sifat ambil berat, kelakar dan bergaya membuatkan A Aida tertarik kepada Wak Doyok. - Foto IG Wak Doyok

A Aida, Wak Doyok serius?

KUALA LUMPUR: Penerbit Datuk A Aida menyerahkan urusan jodoh bersama pempengaruh media sosial yang juga pelakon, Wak Doyok di tangan Tuhan susulan video kemesraan tersebar, baru-baru ini.

A Aida, 52, enggan mengulas lanjut hubungan dengan Wak Doyok, 43, tetapi tidak menafikan rapat dengan personaliti fesyen itu sejak 2016 lagi.

"Kami sudah lama kenal. Wak Doyok adalah 'best friend forever' dan sangat penyayang.

"Mengenai sejauh mana perhubungan kami, saya tidak mahu komen lanjut, tetapi meminta doakanlah. Sekiranya ada jodoh, adalah...," katanya ketika dihubungi BH Online.

Bagi penerbit filem Ratu Kala Jengking itu, sifat Wak Doyok yang mengambil berat, kelakar dan bergaya membuatkannya tertarik kepada jejaka berkenaan.

"Dia seorang yang 'loving', mengambil berat dan bergaya.

"Saya sukakan lelaki bergaya kerana saya juga suka bergaya dan menjaga penampilan diri," katanya.

A Aida enggan mengulas lanjut hubungan dengan Wak Doyok, tetapi rapat dengan personaliti fesyen itu sejak enam tahun lalu. - Foto IG A Aida
A Aida enggan mengulas lanjut hubungan dengan Wak Doyok, tetapi rapat dengan personaliti fesyen itu sejak enam tahun lalu. - Foto IG A Aida

Mengulas kenyataan dikeluarkan ibu Wak Doyok yang keberatan menerima menantu berstatus 'janda', A Aida mengakui, dia sedar mengenai perkara itu.

"Saya tahu mengenainya, sebab itulah saya hanya berserah kepada jodoh.

"Sekiranya ibu Wak Doyok memberikan lampu hijau, adalah jodoh kami.

"Namun, setakat ini, saya masih belum bertemu dengan ibunya lagi," katanya.

Ditanya tidakkah serik berkahwin lagi, A Aida akui, tentunya dirinya serik untuk berkahwin selepas beberapa kali berdepan kegagalan dalam rumah tangga, termasuk kali terakhir pada 2019.

Bagaimanapun, katanya, keinginan kembali hidup berpasangan kembali menerpa selepas tiga tahun hidup sendiri.

"Sebelum ini, saya pernah rasa serik mahu berkahwin lagi, tetapi terasa sunyi pula apabila tiga tahun hidup sendiri.

"Walaupun sentiasa sibuk dengan kerja, tetapi saya juga tidak boleh lari daripada rasa sunyi dan memerlukan seorang lelaki untuk berkongsi suka duka.

"Cuma, anak-anak sudah berpesan agar mencari pasangan bekerjaya. Jadi, Wak Doyok memiliki kriteria yang saya inginkan," kata A Aida.

Bukan memilih, sebaliknya, A Aida berkata, ia bagi menjaga rasa hormat pada pasangan apabila memiliki kemampuan sama.

Berita Harian X