Khamis, 24 November 2022 | 5:56pm
Ungku Ismail tidak dapat menyembunyikan perasaannya, namun lebih fokus mendoakan kesembuhan Nad, berbanding perhubungan peribadi mereka.
Ungku Ismail tidak dapat menyembunyikan perasaannya, namun lebih fokus mendoakan kesembuhan Nad, berbanding perhubungan peribadi mereka.

Ungku Ismail dedah makin rapat dengan Nad

AMPANG: Aktor Ungku Ismail Aziz, 36, mengakui semakin rapat dengan pelakon, Nad Zainal, 32, jadi tidak kisah menjadi individu bertanggungjawab berkongsi perkembangan terkini aktres berkenaan.

Bagaimanapun, Ungku Ismail berkata, dia memohon orang ramai lebih fokus mendoakan kesembuhan Nad, berbanding perhubungan peribadi mereka.

"Cerita kami bermula selepas Nad bercerai. Tak mungkin kami rapat jika Nad masih isteri orang.

"Kami mula rapat ketika menjayakan penggambaran drama Cina Buta. Kemudiannya, saya mengajak Nad merakamkan program travelog.

"Nad okay walaupun penggambaran membabitkan kos. Dia sanggup melabur bersama saya.

"Saya tahu sukar mahu mencari pelakon yang boleh melakukan perkara ini bersama, tetapi Nad setuju dan suka. Dia pun ada kualiti untuk menjayakan program travelog ini.

"Jadi, hubungan makin rapat selepas penggambaran program travelog ini," katanya kepada BH Online.

Pelakon yang melonjak populariti menerusi drama Teman Lelaki Upahan dan Adellea Sofea itu berkata, dia tidak dapat menyembunyikan perasaannya terhadap Nad.

"Tipulah, jika saya tiada hati pada Nad. Cuma, sekarang saya tidak mahu memberikan kata putus mengenai hubungan saya dengan Nad.

"Saya sekarang mahu fokus pada kerja dan menjayakan travelog ini. Malah, kami sepatutnya ke Jepun, esok tetapi ia terpaksa ditunda dalam keadaan begini," katanya ketika ditemui di sebuah pusat perubatan, petang ini.

Ungku Ismail mengakui hubungannya dengan Nad semakin rapat selepas menjayakan penggambaran drama Cina Buta dan travelog.
Ungku Ismail mengakui hubungannya dengan Nad semakin rapat selepas menjayakan penggambaran drama Cina Buta dan travelog.

Terdahulu, Ungku Ismail kerap berkongsi perkembangan Nad yang kini dirawat di sebuah pusat perubatan sejak Isnin lalu akibat paru-paru berdarah.

Kata Ungku Ismail, dia berbuat demikian juga kerana merasakan tanggungjawabnya sebagai sahabat.

"Takkanlah bila Nad jatuh sakit, saya pula menghilang seperti itu sahaja. Ibu bapa saya tak ajar begitu.

"Ya, hubungan kami rapat, bila bangun pagi dapat mesej daripada Nad. Jadi, bila perkara ini tiada, tentunya saya rasa sunyi.

"Tetapi, saya tak nak komen soal hati dan perasaan. Jujurnya, 'spark' antara kami kuat. Namun, sejauh mana hubungan ini, kita doakan yang terbaik.

"Boleh cakap kami memang rapat dan sedang mencari sesuatu yang terbaik. Saya juga tahu ramai nak tengok sama ada betulkah saya akan bertahan, jadi ini adalah ujian buat saya dan Nad.

"Disebabkan itu, saya mohon doa orang ramai," katanya.

Sementara itu, mengulas keadaan terkini Nad, Ungku Ismail berkata, doktor memaklumkan pihak hospital memutuskan untuk menambah rawatan baharu.

"Nad sudah ada perubahan positif, cuma doktor tidak mahu ambil mudah perkara ini.

"Ada penambahan rawatan baharu selain sedia ada untuk mempercepatkan proses penyembuhan.

"Sekarang doktor cuba memberikan rawatan dengan lebih efisyen lagi. Maksudnya, kalau ada rawatan diperlukan terus bertanyakan kepada keluarga.

"Yang lain semua masih sama. Saya mohon doakan Nad supaya diberikan kesembuhan.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan Nad yang membuat bacaan Yasin," katanya.

Dengan itu, Ungku Ismail berharap, orang ramai berterusan mendoakan kesembuhan Nad dan semoga doa-doa baik diangkat serta dimakbulkan Allah.

Semalam, Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin dilaporkan kritikal susulan pendarahan pada bahagian paru-paru.

Ungku Ismail turut memaklumkan doktor mengesyaki Nad mengalami autoimun.

Berita Harian X