Khamis, 8 September 2022 | 10:00am
Daniel nekad menamatkan kontrak dengan Aries Music disebabkan tiada perancangan kerjaya. - Foto IG Danial Chuer
Daniel nekad menamatkan kontrak dengan Aries Music disebabkan tiada perancangan kerjaya. - Foto IG Danial Chuer

Tak popular, dianaktiri syarikat rakaman?

KUALA LUMPUR: Melihat rakan seangkatan semakin menempa nama dan populariti menerbitkan perasaan cemburu dalam hati penyanyi Danial Chuer, 21.

Hatinya terjentik mengenangkan nasib tidak senaik rakan seangkatan yang ditatang bagai minyak penuh oleh syarikat rakaman dinaungi, sebaliknya, Daniel pula dianaktirikan.

Pemilik nama lengkap Danial Chuer Hamasiah @ Samsudin itu nekad menamatkan kontrak dengan label dinaungi, Aries Music lebih awal daripada tarikh sepatutnya.

Danial berkata, punca utama nak keluar dari Aries Music kerana berasakan kerjaya tiada peningkatan jika terus bernaung di bawah syarikat rakaman itu.

"Selepas menghasilkan single tahun lalu, syarikat rakaman langsung tidak mempunyai perancangan mengembangkan kerjaya nyanyian saya.

"Setiap kali buat 'live' dalam media sosial, ramai peminat bertanyakan bila mahu keluar dengan single baharu. Malah, ada juga membandingkan saya dengan peserta program realiti, Big Stage lain yang sudah keluar dengan lagu baharu.

"Beberapa kali saya mengeluarkan 'teaser' lagu, tetapi hingga hari ini, tiada usaha untuk menerbitkan lagu. Saya masih muda dan banyak benda baharu yang saya mahu terokai," katanya kepada BH Online.

Danial terkilan peminat bertanyakan bila mahu keluar dengan single baharu, malah, ada juga membandingkannya dengan peserta program realiti, Big Stage lain. - Foto IG Danial Chuer
Danial terkilan peminat bertanyakan bila mahu keluar dengan single baharu, malah, ada juga membandingkannya dengan peserta program realiti, Big Stage lain. - Foto IG Danial Chuer

Penyanyi kelahiran Tuaran, Sabah itu berkata, syarikat rakaman sepatutnya menyediakan ruang publisiti untuk artis, namun, perkara itu tidak berlaku.

"Selama ini, orang hanya kenal saya sebagai penyanyi lagu saduran. Saya teringin dikenali dengan single sendiri.

"Saya sudah memaklumkan perkara kepada syarikat rakaman. Cuma, ia belum dibuat secara rasmi. Mereka ada bertanya kenapa saya nak tinggalkan syarikat rakaman.

"Saya jelaskan alasan di sebalik keputusan dibuat. Saya akan bertemu dengan pihak pengurusan tertinggi label untuk membincangkan perkara ini.

"Sejujurnya, saya tidak bertemu dengan wakil syarikat rakaman sudah lebih setahun. Saya berharap pertemuan membuahkan hasil positif," katanya.

Namun, penuntut jurusan muzik di Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu berkata, ia tidaklah bermaksud buang masa.

"Nak kata buang masa tidak sama sekali. Ini kerana saya menggunakan populariti ketika dalam program Big Stage untuk terus menempatkan diri dalam industri walaupun tidak mendapat sokongan sepenuhnya daripada syarikat rakaman.

"Sejujurnya, saya sudah berhubung dengan beberapa syarikat lain sebelum memutuskan menamatkan kontrak. Pelan sokongan sangat penting untuk kelangsungan kerjaya seni.

"Jika selesai, saya tetap akan akan mencari syarikat rakaman. Bila ada label sekurang-kurangnya urusan publisiti dan video muzik akan terjamin.

"Dahulu, saya masih muda dan banyak perkara tidak faham ketika menandatangani kontrak, sekarang saya sudah matang," katanya yang mewarisi bakat bapanya, Chuer Niang yang juga penyanyi kelab dan pemuzik di Tawau.

Berita Harian X