Rabu, 17 Ogos 2022 | 3:00pm
Chacha amalkan memberi salam dan tidak terlalu gembira ketika melakukan babak seram di lokasi penggambaran drama Remang demi mengelak gangguan mistik. - Foto IG Chacha Maembong
Chacha amalkan memberi salam dan tidak terlalu gembira ketika melakukan babak seram di lokasi penggambaran drama Remang demi mengelak gangguan mistik. - Foto IG Chacha Maembong

Chacha buat tak tahu dengar suara seram di lokasi

KUALA LUMPUR: Meskipun tidak banyak berkongsi perkembangan dalam laman sosial, namun, jadual pelakon sensasi, Chacha Maembong, 26, sentiasa padat dengan projek lakonan.

Chacha atau nama sebenarnya, Siti Aisyah Rohani Ismail berkata, dia bukan pelakon cerewet, jadi, akan terus membanting tulang dan bekerja, cuma, kurang berkongsi dalam Instagram (IG).

"Alhamdulillah, saya sebenarnya terima banyak tawaran lakonan. Cuma, saya bukannya seorang yang sentiasa mengemaskini perkembangan dalam IG.

"Saya ada juga berkongsi, tetapi bukanlah setiap hari. Ada masanya, saya terlepas berkongsi dan mempromosikan drama.

"Namun, di sebalik itu, saya berkerja 'back to back' sejak kebelakangan ini.

"Selagi mampu bekerja dan memperoleh kepercayaan, saya akan terus melangkah. Bagi saya, kita tidak boleh memilih sangat kerana tiba masa zaman suram apabila sudah berkahwin atau memiliki anak.

"Lagi pula, saya tak tahu sampai bila bakat saya masih diperlukan. Mana tahu esok atau lusa, orang sudah tak nak," katanya kepada BH Online.

Chacha suka bermain watak dalam kisah seram dan semat keyakinan, tiada kejadian mistik berlaku. - Foto IG Chacha Maembong
Chacha suka bermain watak dalam kisah seram dan semat keyakinan, tiada kejadian mistik berlaku. - Foto IG Chacha Maembong

Mengambil contoh ketika era pandemik, kemudiannya sekatan pergerakan, Chacha berkata, dia tidak akan menolak tawaran selagi ada tarikh kosong.

"Sebab itu, saya katakan selagi pengarah dan penerbit masih memerlukan khidmat, saya jalan sahaja.

"Ada tarikh kosong, saya penuhkan. Selagi sihat juga saya akan terus bekerja," katanya yang baru selesai penggambaran naskhah terbitan Disney+ Hotstar, Special Force.

Chacha ditemui pada sidang media Remang dan Detik 12 Malam di Scream Park, Sunway Lagoon, baru-baru ini.

Berkongsi pembabitan dalam drama Remang, Chacha berkata, dia suka menjayakan naskhah seram dan Remang adalah pengalaman ketiganya.

"Sebenarnya, saya suka watak dalam kisah seram. Namun, nak terima tawaran naskhah seram bukan senang, mental kena kuat, sentiasa berdoa dan bersedia dengan apa sahaja kemungkinan yang berlaku.

"Sebab dunia kita dan alam mistik berbeza. Sebenarnya, apabila berlakon cerita seram, kita umpama mengacau dunia mereka.

"Apa yang kita lakukan, mereka tak suka, tetapi nak buat bagaimana, ini adalah kerja saya sebagai pelakon. Jadi, kena teruskan dengan semat keyakinan, tiada apa yang berlaku," katanya.

Katanya, walaupun dengar suara menyeramkan di lokasi, namun, buat tidak tahu.

"Saya amalkan memberi salam dan tidak terlalu gembira ketika melakukan babak seram di lokasi penggambaran drama Remang," katanya.

Berita Harian X