Sabtu, 13 Ogos 2022 | 4:11pm
Abdul Rahman menjelaskan syarikat belum menetapkan secara terperinci amaun agihan bonus yang dianggap sagu hati kepada kru dan pelakon atas kejayaan filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan. Foto Ihsan Studio Kembara Sdn Bhd
Abdul Rahman menjelaskan syarikat belum menetapkan secara terperinci amaun agihan bonus yang dianggap sagu hati kepada kru dan pelakon atas kejayaan filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan. Foto Ihsan Studio Kembara Sdn Bhd

Kontroversi bukan sebab bonus - Penerbit filem Mat Kilau

KUALA LUMPUR: Studio Kembara Sdn Bhd menafikan kontroversi dicetuskan bintang utama filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan, Datuk Adi Putra ada kaitan dengan rasa tidak puas hati berhubung agihan bonus atas kejayaan filem 'box office' itu.

Pengarah Urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mt Dali yakin isu bonus tiada kaitan kerana butiran terperinci mengenai imbuhan dijanjikan belum diputuskan selepas diumum, bulan lalu.

"Saya tidak fikir tindakan Adi ada kaitan dengan rasa tidak puas hati mengenai bonus. Malah, saya yakin perkara ini tidak ada ada kena-mengena dengan isu itu seperti yang dibangkitkan ramai.

"Pemberian bonus lebih kepada sagu hati yang diberi penerbit kerana hasil jualan bagus. Sehingga kini, tidak ada sesiapa yang membangkitkan isu kepada kami termasuk pelakon, kru dan kakitangan syarikat.

"Lagipun maklumat mengenai bonus seperti bila bayaran dibuat dan berapa agihan yang bakal diberi masih belum dibincangkan," katanya kepada BH Online.

Kontroversi antara antara Studio Kembara Sdn Bhd dengan Adi Putra timbul selepas pelakon itu membuat perkongsian berbaur sindiran di Instagram (IG), kelmarin.

Entri berkenaan menarik perhatian ramai kerana seolah memberi bayangan dua pihak terbabit berdepan konflik.

Abdul Rahman berkata, penerbit belum menerima sesen pun daripada kutipan filem yang masih ditayangkan itu.

"Proses untuk mendapatkan pulangan daripada jualan tiket mengambil masa dua bulan.

"Selepas itu barulah maklumat mengenai agihan bonus diputuskan," katanya.

Abdul Rahman berkata, seperti yang pernah dinyatakan, bonus juga akan disalurkan dalam pelbagai bentuk serta membabitkan banyak pihak, bukannya pelakon dan kru produksi semata-mata.

"Bonus ini bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit, malah insentif lain seperti peluang mengerjakan umrah serta bentuk biasiswa kecil kepada mereka yang kurang berkemampuan menerusi yayasan.

"Selain itu, bantuan juga diberi kepada mana-mana pihak untuk membuat kajian bagi mengangkat pahlawan atau tokoh sejarah sedia ada.

"Kita tahu usaha seperti ini memerlukan dana. Bantuan itu kelak dapat menolong kerja pembangunan kajian yang bakal diusahakan," katanya.

Mengulas tindakan diambil susulan luahan Adi, Abdul Rahman berkata, usaha menghubungi aktor berkenaan gagal.

"Sejujurnya, saya pelik, tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba Adi bertindak sedemikian. Sekali lagi, saya ingin tegaskan, tiada konflik antara kami.

"Pada sebelah petang sebelum Adi memuat naik hantaran itu, dia bersama 'orang kanan' saya untuk berbincang mengenai rombongan ke Jakarta, Indonesia.

"Perbincangan itu lancar tanpa ada isu berbangkit atau berlaku percanggahan pendapat. Namun, mengikut 'line producer' saya, Adi menghubunginya pada jam 10.23 malam, namun, panggilan tidak dapat dijawab kerana dia sedang mesyuarat.

"Usai mesyuarat, dia menghantar mesej kepada Adi dan memaklumkan ingin menelefonnya. Namun, mesej itu tidak berbalas. Dia kemudian terus hubungi Adi dan panggilan tidak dijawab.

"Semalam, selepas hantaran di IG Adi kecoh, dia sekali lagi hubungi Adi. Namun, tidak mendapat maklum balas.

"Empat kali dia cuba hubungi Adi, dari pagi hingga ke petang, namun Adi terus membisu," katanya.

Ditanya apakah Adi perlu bersuara, bukannya mengunci mulut demi mengelak spekulasi, Abdul Rahman percaya aktor itu cukup matang untuk memikirkan hal berkenaan.

"Saya berpendapat Adi sudah cukup matang dan faham apa yang sepatutnya dilakukan. Setakat ini, kami masih tenang-tenang sahaja.

"Disebabkan kami tiada apa-apa isu dengannya, saya anggap tindakan Adi terus berdiam diri mungkin disebabkan dia kurang sihat atau telefon pintarnya rosak," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman teruja filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan berjaya menembusi pasaran Indonesia.

"Mengikut perancangan, filem ini akan ditayangkan di 200 pawagam di Indonesia bermula 31 Ogos ini. Majlis malam gala filem itu akan diadakan di Jakarta pada 26 Ogos.

"Saya percaya filem ini bakal mendapat maklum balas positif daripada penonton di Indonesia. Ini kerana mesej yang dibawakan sangat sesuai untuk rumpun Melayu.

"Filem ini menerapkan unsur jaga agama, bangsa dan perpaduan.

"Saya harap mesej itu diterima baik rakyat Indonesia kerana mereka juga pernah melalui zaman seperti yang dipaparkan dalam Mat Kilau, iaitu ketika era pendudukan Belanda," katanya.

Sejak ditayangkan Jun lalu, filem Mat Kilau : Kebangkitan sudah pun meraih kutipan lebih RM90 juta.

Berita Harian X