Khamis, 11 Ogos 2022 | 3:00pm
Farawahida dan suami tidak pernah putus berusaha, cuma belum rezeki dikurniakan zuriat, walaupun membuat pemeriksaan dan proses rawatan. - NSTP/Aziah Azmee
Farawahida dan suami tidak pernah putus berusaha, cuma belum rezeki dikurniakan zuriat, walaupun membuat pemeriksaan dan proses rawatan. - NSTP/Aziah Azmee

Farawahida ingin berduet dengan Khai Bahar

KUALA LUMPUR: Jika diberi pilihan, penyanyi jolokan Kajol Malaysia, Farawahida, 37, memilih untuk berduet dengan Khai Bahar.

Farawahida menyifatkan penyanyi lagu Luluh itu bukan sekadar popular, malah, memiliki bakat besar dan boleh pergi jauh dalam bidang seni.

"Soalan keinginan berduet dengan artis baharu atau Budak Baru Nak UP (BBNU) antara yang diajukan kepada saya.

"Saya perhatikan tidak semua penyanyi yang bakat digilap menerusi aplikasi media sosial tidak berkualiti. Ada yang bagus, termasuklah Khai.

"Malah, ada ramai penyanyi seangkatan Khai boleh menyanyi dengan baik.

"Namun, jika diberi peluang nak berkolaborasi, saya pilih Khai. Saya mengenali Khai daripada aplikasi Smule dan pernah berduet bersamanya," katanya kepada BH Online.

Farawahida ditemui pada sidang media drama Demi arahan Rahila Ali, baru-baru ini.

Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada 2007 itu dipilih menyanyikan lagu Aku Tak Sempurna yang dijadikan runut bunyi drama Demi siaran TV Okey.

Katanya, Khai juga penyanyi BBNU baharu yang memiliki vokal bagus, malah menunjukkan peningkatan ketara sejak mula diperkenalkan sehingga hari ini.

Farawahida menganggap lagu Aku Tak Sempurna sebagai buah tangan terbaharu, sekali gus membuktikan survival seninya masih bernyawa. - NSTP/Aziah Azmee
Farawahida menganggap lagu Aku Tak Sempurna sebagai buah tangan terbaharu, sekali gus membuktikan survival seninya masih bernyawa. - NSTP/Aziah Azmee

Penyanyi yang popular menerusi lagu Jangan Tanya Aku Lagi itu menganggap Khai mempunyai 'tona' suara yang sedap.

"Saya bayangkan jika ada rezeki berduet dengannya kemungkinan vokal kami boleh diadun baik. Tetapi, ini hanya sekadar angan-angan.

"Jika jadi kenyataan, tentu ia sesuatu yang cukup menggembirakan saya," katanya.

Mengulas lagu Aku Tak Sempurna ciptaan Azlan & The Typewriter, karya berkenaan direka khas mengikut jalan cerita drama terbitan produksi Elisa Vision Sdn Bhd.

"Lagu Aku Tak Sempurna dirakamkan, tahun lalu. Memang sudah lama saya tidak menyanyikan lagu runut bunyi sesebuah drama mahupun filem.

"Saya sendiri bermula dengan menyanyikan lagu runut bunyi sejak 2006. Jadi, saya anggap lagu Aku Tak Sempurna sebagai kesinambungan kepada apa yang diusahakan dahulu.

"Malah, saya percaya apabila karya dijadikan runut bunyi, ia adalah satu promosi terbaik. Ini kerana lagu akan disiarkan di kaca televisyen dengan kadar lebih kerap," katanya.

Kata pemilik nama penuh Farawahida Razali, lagu Aku Tak Sempurna dianggap sebagai buah tangan terbaharu, sekali gus membuktikan survival seninya masih bernyawa.

"Sambil menyelam, minum air. Selain menyanyi lagu runut bunyi drama, ia juga dijadikan single baharu saya.

"Jika dahulu, lagu Tanpamu menjadi penanda aras yang memperkenalkan nama Farawahida. Selepas itu, ada yang anggap lagu yang dikeluarkan kurang menyengat.

"Memang tidak boleh menjangkakan penerimaan lagu. Seperti trend sekarang, lagu lama pula kembali popular," katanya.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin (tengah) bersama Farawahida dan barisan pelakon, pengarah serta penerbit drama Demi, baru-baru ini. - NSTP/Aziah Azmee
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin (tengah) bersama Farawahida dan barisan pelakon, pengarah serta penerbit drama Demi, baru-baru ini. - NSTP/Aziah Azmee

Bercerita lanjut mengenai lagu Aku Tak Sempurna, Farawahida berkata, ia mengenai kehidupan manusia yang tidak pernah sempurna.

Azlan sebagai komposer lebih memahami kerana dia juga penyanyi. Kehidupan manusia tiada yang sempurna.

"Kehidupan saya juga diuji dengan kegagalan perkahwinan pertama. Namun, apa yang jadi bukan penamat hidup.

"Kita kena reda dan pasti ada penghujung yang baik," katanya.

Diusik kembali mengulit bahagia selepas mendirikan rumah tangga dengan pegawai kerajaan, Zulkifli Alias, tahun lalu, Farawahida berkata, dia dan suami belum ada rezeki dikurniakan cahaya mata.

"Saya dan suami tidak meletakkan sasaran. Dengan umur sekarang, sudah kami inginkan cahaya mata.

"Kami tidak pernah putus berusaha, cuma belum ada rezeki. Malah, kami sudah berjumpa doktor untuk membuat pemeriksaan dan proses rawatan.

"Setakat ini, saya dan suami tiada masalah untuk mendapatkan anak. Cuma, usaha kami belum sampai ke arah cara moden termasuklah melakukan rawatan kesuburan in-vitro (IVF)," katanya yang kali terakhir muncul dengan lagu duet Mengapa Harus Aku pada 2017.

Berita Harian X