Jumaat, 5 Ogos 2022 | 11:00am
Zaiton menganggap tidak salah aktif menyanyi pada majlis kahwin, apatah lagi, kariernya bermula dengan menyanyi bersama ‘live band’. - Foto IG Zaiton Sameon
Zaiton menganggap tidak salah aktif menyanyi pada majlis kahwin, apatah lagi, kariernya bermula dengan menyanyi bersama ‘live band’. - Foto IG Zaiton Sameon

Kak Eton selesa bersendiri

KUALA LUMPUR: Lebih tiga dekad hidup solo, penyanyi veteran yang popular dengan lagu Menaruh Harapan, Zaiton Sameon, 66, selesa bersendiri tanpa ditemani lelaki bergelar suami.

Pernah dua kali berkahwin, namun kecundang, Zaiton akur ketentuan hidup, namun, tidak pernah mematahkan semangat dalam meneruskan survival diri.

"Kalau boleh, saya tidak mahu berkahwin lagi. Sejak hidup solo lebih tiga dekad lalu, keputusan menyendiri lebih baik.

"Saya percaya inilah bahagian hidup yang harus ditempuhi. Saya tidak teringat atau ada keinginan hendak berkahwin lagi. Cukuplah dua perkahwinan terdahulu.

"Saya selesa hidup dengan anak angkat yang membela saya sejak 12 tahun lalu. Susah senang saya dengannya.

"Anak angkat saya, Che Seka Ismail dan berusia 59 tahun. Saya panggil dia dengan panggilan Ika. Dia pun solo macam saya dan bekerja sendiri," katanya kepada BH Online.

Melalui perkahwinan pertama dengan seorang anggota polis, Zaiton dikurniakan seorang anak lelaki, Allahyarham Azirwan Abu Bakar. Permata hatinya itu terkorban dalam nahas jalan raya yang turut membabitkan Zaiton di Batang Kali, Selangor pada 1990.

Zaiton berkata, apa yang penting baginya adalah reda dengan suratan tertulis dan terus menikmati kelangsungan hidup.

"Hingga saat ini, saya tidak pernah terfikir atau terlintas soal bercinta. Apatah lagi mencari pengganti.

"Saya bukan menolak ketentuan atau hukum hidup, namun, beginilah yang saya selesa lalui tanpa prejudis," katanya.

Pernah dua kali berkahwin, namun kecundang, Zaiton akur ketentuan hidup, namun, tidak pernah mematahkan semangat dalam meneruskan survival diri. - Foto IG Zaiton Sameon
Pernah dua kali berkahwin, namun kecundang, Zaiton akur ketentuan hidup, namun, tidak pernah mematahkan semangat dalam meneruskan survival diri. - Foto IG Zaiton Sameon

Zaiton berkata, dia menambah pendapatan dengan menjual rendang atas jenama Rendang Nasib.

"Aktiviti merendang banyak dibantu adik angkat saya, Zul. Sesekali, saya yang menetap di Ampang akan pergi ke Klang bersama anak angkat untuk menguruskan perniagaan itu," katanya.

Zaiton menambah, selain itu, dia masih memenuhi undangan menyanyi.

"Saya masih terima tawaran menyanyi, termasuk di rumah orang kahwin. Bagi saya, tiada salahnya menyanyi pada majlis kahwin. Apatah lagi, karier saya bermula dengan menyanyi bersama 'live band'," katanya.

Dalam perkembangan lain, penyanyi Kabut Serangkai Mawar ini sudah merakamkan lagu komposer Allahyarham A Ali yang diberi judul Redha, Ramadan lalu.

Single berkenaan menyaksikan Zaiton kembali merakamkan lagu arwah yang mengangkat dirinya di puncak populariti apabila meraih trofi Juara Lagu pada Anugerah Juara Lagu 1987 melalui lagu Menaruh Harapan.

Tambah manis, single baharu ini juga liriknya dihasilkan penulis tersohor, Datuk Habsah Hassan yang melakar bait indah dalam lagu balada malar segar, Menaruh Harapan.

Zaiton sebelum ini memberitahu, lagu Redha mengetengahkan konsep sama seperti Menaruh Harapan.

"Melodinya sangat menyentuh hati. Saya percaya lirik juga begitu kerana dihasilkan Habsah.

"Tetapi, tidaklah saya meletakkan harapan tinggi lagu berkenaan menerima sambutan sehebat Menaruh Harapan. Saya pun tak tahu lagi macam mana, jadi lihatlah nanti," katanya.

Kali terakhir Zaiton menghasilkan single adalah menerusi lagu Menadah Impian ciptaan Eddie Hamid pada 1995.

Selain itu, Zaiton turut merakamkan lagu duet bersama Syed Wafa.

Zaiton memulakan karier seni pada era 1980-an dengan membuat persembahan bersama 'live band' di hotel dan premis hiburan.

Merakamkan tiga album iaitu Menaruh Harapan pada 1987, Kabut Serangkai Mawar (1988) dan Kembali Lagi (1997)

Antara lagu popular Berendam Airmata, Diriku Yang Tersingkir, Lupakan Saja, Turutkan Hati, Semalam Satu Cerita dan Rentak Jantung.

Berita Harian X