Khamis, 4 Ogos 2022 | 2:00am
Di sebalik kelantangannya, Jamal tetap menyokong usaha Khairy dalam menyelamatkan generasi muda daripada tabiat merokok. - Foto IG Jamal Abdillah
Di sebalik kelantangannya, Jamal tetap menyokong usaha Khairy dalam menyelamatkan generasi muda daripada tabiat merokok. - Foto IG Jamal Abdillah

Raja Pop puji KJ pinda RUU tembakau, merokok

KUALA LUMPUR: Dalam menyuarakan pandangan sinikal, Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah tetap memuji usaha Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (KJ) melindungi generasi muda daripada terjebak dengan tabiat merokok.

Ini rentetan Kementerian Kesihatan (KKM) mengadakan kempen kesedaran besar-besaran dan bersetuju membuat empat pindaan ke atas Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022, termasuk mengurangkan kadar denda am.

RUU bakal memperkenalkan inisiatif generasi penamat (GEG) melalui penguatkuasaan larangan merokok ke atas individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya.

Menerusi laman Instagram, penyanyi lagu Kekasih Awal Dan Akhir itu memuat naik video bersama tiga cahaya mata yang masih kecil sambil menyuarakan pendapat.

"Hello, Assalamualaikum YB KJ. Ingat senang nak buat RUU Tembakau?

"Sudah beribu orang hisap rokok, sudah beribu tahun. Tengok anak-anak saya ini.

"Kalau dari dulu lagi Kerajaan Malaysia sudah buat, tak adalah saya hisap rokok.

"Ini, sudah 64 tahun saya hisap rokok, dada bersarang dah," katanya dalam video berkenaan.

Namun, di sebalik kelantangannya, bapa kepada lima cahaya mata itu tetap menyokong usaha Khairy.

"Tapi, YB KJ, saya rasa kamu berani untuk bawa RUU Tembakau demi masa depan anak-anak muda.

"Saya sokong seratus peratus kerana cuba bawa isu ini ke Parlimen. Kalau boleh diluluskan, Alhamdulillah.

"Tengoklah, kasihan mereka, semuanya masih kecil-kecil lagi. Kalaulah daripada dulu, tak adalah saya hisap rokok.

"Lepas ini, jangan lupa RUU arak pula. Okay YB KJ, i love you, saya salute awak," katanya.

Jamal memuat naik video bersama tiga cahaya mata yang masih kecil sambil menyuarakan pendapat mengenai pindaan RUU produk tembakau dan merokok. - Foto IG Jamal Abdillah
Jamal memuat naik video bersama tiga cahaya mata yang masih kecil sambil menyuarakan pendapat mengenai pindaan RUU produk tembakau dan merokok. - Foto IG Jamal Abdillah

Kelmarin, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 untuk dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas.

RUU yang masih di peringkat bacaan kali kedua itu, diluluskan sebulat suara, selepas perbahasan membabitkan 12 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, digulung Khairy.

Khairy ketika mengemukakan usul merujuk RUU berkenaan ke Jawatankuasa Pilihan Khas berkata, cadangan itu dibuat berdasarkan Peraturan Mesyuarat 54(2) bagi membolehkan jawatankuasa terbabit membuat syor mengenai beberapa perkara.

Ia membabitkan penelitian 'Bahagian IX - Penguatkuasaan' dalam RUU dan mencadangkan apa-apa penambahbaikan jika perlu, tertakluk kepada undang-undang yang berkuat kuasa.

Selain itu, antara lain mengetengahkan larangan merokok apa-apa produk tembakau atau pengganti tembakau serta larangan penggunaan peranti merokok, oleh mana-mana individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya serta bagi perkara berkaitan.

RUU itu juga menggariskan peruntukan bagi pendaftaran produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau, selain mengawal pengiklanan, promosi dan penajaan, penjualan serta pembelian produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok.

Pindaan ke atas RUU juga diyakini dapat mengurangkan peratus perokok di Malaysia kepada kurang lima peratus menjelang 2040 berbanding kira-kira 21 peratus ketika ini.

Dalam laporan sebelum ini, Khairy berkata, jika sasaran lima peratus tidak dicapai dalam tempoh itu, negara akan kehilangan dua juta nyawa akibat merokok, termasuk perokok pasif.

Menurut rekod Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), tabiat merokok membunuh lebih lapan juta penduduk dunia setiap tahun, termasuk 1.2 juta perokok pasif.

Khairy yakin pindaan RUU dapat menurunkan kes tiga penyakit utama, barah paru-paru, sakit jantung dan penyakit paru-paru tersumbat kronik (COPD) akibat tabiat merokok.

Berita Harian X