Rabu, 3 Ogos 2022 | 4:38pm
Salah satu adegan bersama Alif dalam drama Risik Pada Hati yang dikongsi Ummi melalui hantaran Instagram (IG). Foto IG Ummi Nazeera
Salah satu adegan bersama Alif dalam drama Risik Pada Hati yang dikongsi Ummi melalui hantaran Instagram (IG). Foto IG Ummi Nazeera

Ummi berguru hidupkan watak Hayfa

KUALA LUMPUR: Bukan sedikit usaha diambil Ummi Nazeera sebaik ditawarkan membawa watak Hayfa dalam drama Risik Pada Hati yang disifatkannya cukup berat.

Watak isteri yang mahu menjodohkan suami dengan wanita lain gara-gara tidak dikurniakan zuriat, mencabar minda Ummi, apatah lagi dia kini berstatus isteri dan memiliki anak.

Ummi, 31, bersyukur sambutan positif diterima daripada penonton selepas episod akhir drama Risik Pada Hati ditayangkan di platform Disney+ Hotstar, pagi tadi.

"Alhamdulillah, saya sangat gembira melihat maklum balas yang sangat bagus. Ini bermaksud penonton boleh terima (lakonan saya).

"Apabila melihat maklum balas penonton yang menyaksikan episod terakhir di platform Disney+ Hotstar, pagi tadi, saya terharu.

Lakonan Ummi yang membawa watak Hayfa dalam drama Risik Pada Hati mendapat reaksi positif penonton. Foto Ihsan TV3
Lakonan Ummi yang membawa watak Hayfa dalam drama Risik Pada Hati mendapat reaksi positif penonton. Foto Ihsan TV3

"Terima kasih kepada pasukan Risik Pada Hati, pengarah, Pali Yahya dan TV3 kerana memberi kepercayaan kepada saya membawa watak Hayfa dan membantu saya di set penggambaran," katanya kepada BH Online.

Ummi berkata, sebaik skrip diterima, dia sudah menjangka watak Hayfa berat untuk dibawa.

"Kami melakukan kerja penggambaran pada Ramadan. Jadi, untuk mendapatkan emosi dan menitiskan air mata, memang mencabar. Namun, Alhamdulillah, kami berjaya melakukannya," katanya.

Ummi atau nama sebenar, Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainal Abidin berkata, bagi memastikan karakter Hayfa 'hidup', dia mendapatkan khidmat aktres veteran dan guru lakonan, Fatimah Abu Bakar selama dua hari.

"Hayfa yang membawa cerita ini, jadi, karakternya berat. Disebabkan risau dan mahu melakukannya dengan betul, saya pergi ke kelas lakonan.

"Lagipun, saya sudah lama tidak berlakon selepas melahirkan anak kedua. Apabila ditawarkan drama slot Akasia, saya mahu buat betul-betul," katanya.

Ummi tidak menafikan watak Hayfa sangat mencabar apatah lagi kesengsaraan yang dilaluinya tidak boleh diluahkan melalui air mata.

"Watak Hayfa sangat berat. Dia tidak boleh lepaskan perasaan dan banyak pendam. Itu yang lebih sakit dan memakan diri. Saya tidak boleh tunjuk perasaan itu dengan menangis, sebaliknya, melalui wajah.

"Namun, saya suka karakter ini. Saya banyak buat ulang kaji. Sebagai ibu dan wanita, saya pernah rasa takut pada awal perkahwinan dan berfikir sama ada bolehkah saya hamil.

"Jadi, apabila mengandung anak pertama, saya bersyukur dan sangat gembira. Pada masa sama, saya faham wanita yang cuba hamil. Saya ada sahabat seperti itu dan bertanya perasaan mereka demi menghayati watak," katanya.

Bertanya mengenai kekuatan drama Risik Pada Hati, Ummi berkata, kerjasama pasukan yang sangat baik menjadi penyumbang kejayaan naskhah berkenaan.

"Kerjasama sepasukan sangat penting diikuti proses lain seperti kerja suntingan. Terima kasih kepada penyunting yang memainkan peranan, malah pengarah yang tidak lepas tangan.

"Selain itu, pelakon gandingan kita penting. Seperti saya dan Alif Satar (membawa watak Adam), kami tidak pernah bekerjasama. Jadi, saya agak risau.

"Tetapi sejak awal, kami banyak berbincang supaya selesa bersama.

"Saya risau kami tampak kekok, namun, Alhamdulillah, Alif membantu dan memberi kerjasama yang bagus. Itu yang membuat karya ini menjadi magis," katanya.

Drama 28 episod yang diilhamkan daripada novel judul sama karya Hanni Ramsul ini turut menampilkan Zara Zya dan Izzue Islam.

Kisah berkisar Hayfa dan Adam sebagai pasangan suami isteri yang saling menyayangi. Walaupun sudah lama berkahwin dan mencuba pelbagai cara, mereka masih belum dikurniakan anak.

Hayfa akhirnya membuat keputusan untuk memujuk Adam berkahwin dengan Aisya lakonan Zara bagi mendapatkan zuriat.

Risik Pada Hati disiarkan menerusi slot Akasia TV3 mulai 27 Jun lalu, setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 7 malam. Drama ini juga boleh distrim secara langsung di www.tonton.com.my.

Berita Harian X