Isnin, 1 Ogos 2022 | 3:00pm
Kekurangan naskhah mengetengahkan Fahrin sebagai pelakon antagonis bukan disebabkan sikapnya memilih, sebaliknya diberikan watak berbeza. - Foto IG Fahrin Ahmad
Kekurangan naskhah mengetengahkan Fahrin sebagai pelakon antagonis bukan disebabkan sikapnya memilih, sebaliknya diberikan watak berbeza. - Foto IG Fahrin Ahmad

Usah ketepikan pelakon berpengalaman - Fahrin

KUALA LUMPUR: Dalam mengetengahkan bakat muda, aktor popular, Fahrin Ahmad berpendapat, pelakon berpengalaman sepertinya juga perlu diberi ruang oleh stesen televisyen (TV).

Kata Fahrin, dia percaya pelakon matang sepertinya masih mempunyai pengikut, justeru penampilan menerusi drama TV tidak seharusnya diperkecilkan.

"Saya sudah lama beri pendapat perlu ada drama menampilkan barisan pelakon lebih matang.

"Sebabnya sekarang ini saya tengok 'trend' lebih terarah kepada anak-anak muda. Boleh lihat bakat muda menjayakan watak lebih matang dan seumpamanya.

"Jadi, inisiatif menghasilkan drama seperti Selamanya Suri Cinta yang menampilkan pelakon matang seperti saya, Siti Nordiana, Farahdhiya dan Sham Visa sepatutnya disokong.

"Saya percaya pada zaman platform Over-The-Top (OTT), drama seperti ini tetap ada penonton. Ramai penonton berusia yang mahukan drama dibintangi pelakon berpengalaman," katanya kepada BH Online.

Fahrin menjawab pertanyaan media mengenai pendapat mengenai drama mengetengahkan empat aktor berusia menerusi sidang media drama Selamanya Suri Cinta, baru-baru ini.

Berkongsi mengenai drama 20 episod terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd itu, Fahrin gembira melihat sambutan positif diterima menerusi drama berkenaan.

Antara babak Fahrin dan Farahdhiya dalam drama Selamanya Suri Cinta yang bersiaran di TV9, sejak 15 Julai lalu.
Antara babak Fahrin dan Farahdhiya dalam drama Selamanya Suri Cinta yang bersiaran di TV9, sejak 15 Julai lalu.

Namun, Fahrin berkata, dia agak kekok menjayakan watak antagonis, malah, ramai peminat meluahkan rasa kurang selesa melihatnya menjayakan watak sedemikian.

"Saya membawakan watak antagonis, suami yang jahat. Saya cuba menjayakan dengan sebaik-baiknya walaupun ada yang memberi maklum balas nampak kelakar membawakan watak jahat.

"Saya mencuba memberi sisi lakonan terbaik dan harap boleh diterima. Alhamdulillah, ada juga yang boleh melihat sisi lain dalam lakonan saya," katanya.

Tambah Fahrin lagi, kekurangan naskhah yang mengetengahkannya sebagai pelakon antagonis bukan disebabkan sikapnya memilih.

"Sebelum ini, saya pernah menjayakan watak antagonis, tetapi terima maklum balas makcik-makcik meminta saya tidak melakonkan watak sedemikian.

"Jadi, saya bukanlah memilih watak dan sentiasa terbuka mencuba watak berbeza. Tetapi, saya selalu diberikan watak lain, bukan antagonis," katanya.

Selain Fahrin, drama Selamanya Suri Cinta arahan Zamri Zakaria dan skrip oleh Azilah Wahab, Ramlah Rashid, Hasnita Hamidi dan Haslizawaty Hassan turut menampilkan barisan pelakon seperti Siti Nordiana, Sham Visa dan Farahdhiya.

Selamanya Suri Cinta ditayangkan setiap Khamis dan Jumaat, jam 9.30 malam di TV9 sejak 15 Julai lalu.

Berita Harian X