Isnin, 1 Ogos 2022 | 8:30am
Selain merekodkan 11 juta penonton, drama Melur Untuk Firdaus mencapai 823 juta interaksi dalam media sosial sepanjang tayangan, berdasarkan sumber penarafan Nielsen 2022 bagi tempoh Mei hingga Julai lalu. Foto Ihsan TV3
Selain merekodkan 11 juta penonton, drama Melur Untuk Firdaus mencapai 823 juta interaksi dalam media sosial sepanjang tayangan, berdasarkan sumber penarafan Nielsen 2022 bagi tempoh Mei hingga Julai lalu. Foto Ihsan TV3

Drama Melur Untuk Firdaus ditonton 11 juta orang

KUALA LUMPUR: Drama rantaian Melur Untuk Firdaus yang disiarkan TV3 melalui slot Lestary, merekodkan 11 juta penonton sehingga episod akhir pada 15 Julai lalu.

TV3 mengumumkan, drama yang menampilkan gandingan mantap Meerqeen dan Anna Jobling itu mencapai 823 juta interaksi dalam media sosial sepanjang tayangan, berdasarkan sumber penarafan Nielsen 2022 bagi tempoh Mei hingga Julai lalu.

Malah, sebanyak 200 akaun kelab peminat turut dibuka sejak drama Melur Untuk Firdaus memulakan siaran.

Drama 28 episod yang disiarkan setiap Rabu hingga Sabtu, pada jam 9 malam sejak 27 Mei lalu itu bukan sahaja mencetuskan fenomena dalam kalangan penonton tempatan, malah peminat di Asia Tenggara seperti Indonesia, Thailand dan Filipina turut tertarik.

Ini dibuktikan melalui lambakan klip drama terbabit yang dimuat naik melalui aplikasi TikTok.

Drama rantaian Melur Untuk Firdaus yang menggandingkan Meerqeen dan Anna, merekodkan 11 juta penonton sehingga episod akhir pada 15 Julai lalu. Foto IG Anna Jobling
Drama rantaian Melur Untuk Firdaus yang menggandingkan Meerqeen dan Anna, merekodkan 11 juta penonton sehingga episod akhir pada 15 Julai lalu. Foto IG Anna Jobling

TV3 dalam kenyataan menyebut, peminat rata-rata memuji barisan pelakon drama Melur Untuk Firdaus, termasuk Fimie Don dan Nesa Idrus yang berjaya menghayati watak dengan baik.

Malah, penonton meminta agar drama berkenaan disambung untuk musim kedua.

Sementara itu, runut bunyi drama Melur Untuk Firdaus berjudul Duka Sebalik Tawa nyanyian Puteri Khareeza meraih 1.8 juta tontonan di YouTube dalam tempoh sebulan.

Single itu 'trending' hingga menduduki tangga ke-23 lagu pilihan ramai. Selain itu, Duka Sebalik Tawa menduduki tempat ketiga dalam carta pop terkini melalui aplikasi penstriman muzik Spotify.

Melur Untuk Firdaus diadaptasi daripada novel karya Cik Nor Cinta arahan Zamri Zakaria,.

Drama ini berkisar jejaka dikenali sebagai Firdaus Iskandar lakonan Meerqeen tidak setuju dengan rancangan ibu bapanya agar dia berkahwin dengan Melur. Ini berikutan Firdaus sudah mempunyai teman wanita iaitu Dee.

Berikutan itu, ibu bapa Firdaus memberi tempoh 48 jam untuk Dee berkahwin dengan Firdaus. Namun, Dee tidak bersedia untuk berkahwin.

Pada masa sama, Melur lakonan Anna, sedih kerana sukakan Firdaus. Melur cuba memikat hati Firdaus dan meletakkan tujuh syarat untuk Firdaus.

Melur Untuk Firdaus terbitan A-Ten Alliance Sdn Bhd turut disiarkan saluran Disney+ Hotstar.

Berita Harian X