Khamis, 28 Julai 2022 | 11:00am
Single Tak Terganti sangat dekat dengan hati Farahdhiya kerana berkisar perasaannya terhadap ayah yang juga dianggap sahabatnya. - Foto IG Farahdhiya
Single Tak Terganti sangat dekat dengan hati Farahdhiya kerana berkisar perasaannya terhadap ayah yang juga dianggap sahabatnya. - Foto IG Farahdhiya

Farahdhiya abadi cinta kepada bapa dalam lagu baharu

KUALA LUMPUR: Masih terasa kehilangan ayah biarpun sudah dua tahun berlalu, penyanyi, Farahdhiya, 38, mengabdikan kasih sayangnya terhadap insan tercinta itu melalui lagu ciptaan sendiri, Tak Terganti.

Farahdhiya atau nama penuh, Farahdhiya Mohd Amin, berkata lagu berkenaan tercipta secara spontan.

"Selama 18 tahun bergiat dalam industri seni, saya tidak pernah terfikir untuk menulis lagu atau menghasilkan lirik. Selama ini, saya serahkan tugas itu kepada komposer dan penulis lirik.

"Saya juga tidak merancang menghasilkan lagu buat arwah ayah. Namun, melodi lagu ini hadir ketika saya hendak membersihkan diri dan bermalam di sebuah hotel selepas menyudahkan kerja penggambaran, tahun lalu.

"Ketika membasahkan diri di bawah pancuran air, saya menangis teringatkan arwah. Keluar dari bilik mandi saya terus rakam melodi itu," katanya kepada BH Online.

Pada 9 Januari 2020, Farahdhiya kehilangan bapa, Mohd Amin Zubir, 68, yang meninggal dunia selepas mengalami masalah Sekatan Pulmonari Kronik (COPD), iaitu sejenis penyakit paru-paru yang mempengaruhi pernafasannya.

Membuktikan lagi kasih sayangnya terhadap ayah, Farahdhiya mencabar diri menghasilkan lirik lagu berkenaan.

Akuinya, single Tak Terganti sangat dekat dengan hatinya kerana berkisar perasaannya terhadap ayah yang juga dianggap sahabatnya.

"Arwah ayah sangat rapat dengan saya. Dia bukan sahaja ayah, malah, kawan. Saya tidak boleh luahkan dengan kata-kata. Sudah dua tahun berlalu, namun, kesan kehilangannya masih besar.

"Insya-Allah, kita akan cari masa untuk melancarkan single itu. Saya juga sedang merancang menghasilkan video muzik, diharapkan tahun ini juga," katanya.

Farahdhiya dan Siti Nordiana membawa watak kawan baik dalam drama Selamanya Suri Cinta siaran TV9.
Farahdhiya dan Siti Nordiana membawa watak kawan baik dalam drama Selamanya Suri Cinta siaran TV9.

Berkongsi cabaran merakamkan lagu penuh emosi itu, Farahdhiya mengaku tugas itu bukan mudah.

"Susah hendak rakam lagu ini sebab rasa sedih masih ada. Cuma saya kena kawal. Sebenarnya, saya lebih risau apabila hendak menyanyikan lagu itu secara langsung, berbanding dalam studio rakaman.

"Bukan apa, saya sangat sensitif apabila teringatkan arwah ayah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Farahdhiya tampil dalam drama terbaru, Selamanya Suri Cinta yang disiarkan TV9 sejak 15 Julai lalu.

Berkongsi mengenai drama 20 episod terbitan Suhan Movies itu, Farahdhiya yang popular dengan lagu Bertakhta Di Hati, melakonkan watak Maisarah.

"Maisarah adalah kawan baik kepada Wanda lakonan Siti Nordiana. Mereka berkawan dari zaman kolej hingga selepas masing-masing berkahwin.

"Mereka juga saling berkongsi masalah rumah tangga. Namun, timbul isu salah faham dalam persahabatan mereka apabila Maisarah mula bekerja dengan suami Wanda," katanya.

Selain Farahdhiya dan Siti Nordiana, drama Selamanya Suri Cinta arahan Zamri Zakaria turut menampilkan Sham Visa dan Fahrin Ahmad.

Drama ini ditayangkan setiap Khamis dan Jumaat pada jam 9.30 malam di TV9.

Berita Harian X