Rabu, 27 Julai 2022 | 8:30am
Khalil (tiga dari kiri) dan Mohammed Azman (empat dari kiri) bersama pengurusan tertinggi PERKESO serta PROFIMA pada pertemuan di ibu negara, baru-baru ini. - Foto Ihsan PROFIMA
Khalil (tiga dari kiri) dan Mohammed Azman (empat dari kiri) bersama pengurusan tertinggi PERKESO serta PROFIMA pada pertemuan di ibu negara, baru-baru ini. - Foto Ihsan PROFIMA

Sasar 7,000 ahli carum SKSPS

KUALA LUMPUR: Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) menyasarkan kira-kira 7,000 ahli yang dikategorikan aktif dan masih bekerja mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menjelang pertengahan tahun depan.

Presiden PROFIMA, Khalil Saleh, berkata pihaknya yakin sasaran itu dicapai hasil kerjasama bersepadu dengan PERKESO.

"Sehingga hari ini, jumlah keahlian PROFIMA mencapai 23,000 orang. Daripada jumlah itu, kira-kira 7,000 ahli masih bertugas di lapangan.

"Kami yakin dalam tempoh enam bulan akan datang, iaitu hingga akhir tahun ini, 50 peratus ahli yang bertugas di lapangan mencarum SKSPS, manakala selebihnya dijangka disasar menjelang Jun tahun depan.

"Berdasarkan pertemuan dengan pengurusan tertinggi PERKESO baru-baru ini, kami sepakat untuk menjalin kerjasama seperti memperhebatkan kempen kesedaran secara menyeluruh dalam kalangan ahli melalui aktiviti seperti taklimat dan promosi.

"PERKESO juga akan menyertai aktiviti PROFIMA seperti Karnival Keluarga PROFIMA, Oktober depan dengan membuka ruang bagi menyampaikan maklumat mengenai kelebihan mencarum kepada ahli," katanya kepada BH Online.

Pada pertemuan itu, Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed; Ketua Bahagian SKSPS, Azhar Md Nazri dan barisan jawatankuasa tertinggi PROFIMA berbincang mengenai pelbagai perkara membabitkan badan itu dan perlindungan kepada penggerak industri kreatif.

Mohammed Azman menyerahkan cenderahati kepada Khalil selepas berbincang pelbagai perkara membabitkan perlindungan kepada penggerak industri kreatif. - Foto Ihsan PROFIMA
Mohammed Azman menyerahkan cenderahati kepada Khalil selepas berbincang pelbagai perkara membabitkan perlindungan kepada penggerak industri kreatif. - Foto Ihsan PROFIMA

Khalil berkata, SKSPS yang diperkenalkan PERKESO memberi banyak manfaat kepada pekerja filem.

"Ada 19 sektor pekerjaan sendiri yang mendapat manfaat daripada SKSPS di mana bidang kesenian adalah salah satu daripadanya.

"Menerusi skim itu, kerajaan memberi subsidi sebanyak 80 peratus kepada pencarum. Jadi, pencarum hanya perlu membayar RM45 untuk tempoh setahun.

"Namun, PERKESO menyatakan biarpun inisiatif diskaun ditawarkan, sehingga kini SKSPS masih belum mendapat sambutan menyeluruh dalam kalangan penggiat filem dan seni tanah air.

"Sehubungan itu, kami mahu rebut peluang ini agar sasaran kira-kira 7,000 ahli PROFIMA berdaftar sebagai pencarum dicapai," katanya.

Dalam perkembangan lain, Khalil yang dilantik sebagai Presiden PROFIMA Disember lalu, memberitahu agenda menjaga kebajikan ahli akan diteruskan dengan tumpuan diberi kepada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Selepas selesai urusan PERKESO, fokus kami adalah untuk memastikan semua ahli PROFIMA mencarum KWSP," katanya.

SKSPS diwujudkan untuk memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.

Sebagai permulaan skim ini diwajibkan ke atas Sektor Pengangkutan Penumpang iaitu pemandu teksi, e-hailing dan pemandu bas di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 berkuat kuasa mulai 1 Jun 2017.

Mulai 1 Januari 2020, perlindungan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri diperluaskan kepada 19 sektor pekerjaan sendiri yang lain.

Berita Harian X