Rabu, 20 Julai 2022 | 5:26pm
Aisha ibarat sedang bermimpi apabila melihat wajah sendiri terpampang di papan iklan digital di kota tumpuan dunia, New York. - Foto IG Aisha Retno
Aisha ibarat sedang bermimpi apabila melihat wajah sendiri terpampang di papan iklan digital di kota tumpuan dunia, New York. - Foto IG Aisha Retno

Ibarat mimpi wajah hiasi New York Times Square

KUALA LUMPUR: Penyanyi remaja, Aisha Retno, 21, menyifatkan peluang wajahnya menghiasi papan iklan digital gergasi di Times Square, New York, Amerika Syarikat (AS) ibarat mimpi.

Kegembiraan Aisha atau nama sebenar, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam diluahkan menerusi laman Instagram, hari ini.

Menerusi hantaran dimuat naik penyanyi lagu W.H.U.T itu, Aisha merakamkan ucapan terima kasihnya kepada Spotify Asia kerana memberi peluang keemasan sempena kempen meraikan Wanita dan Equal oleh wadah penstriman digital tersohor dunia, Spotify.

"Ini adalah pencapaian tertinggi diraih sepanjang dua tahun bergelar anak seni. Ia juga boleh disifatkan pencapaian terbaik sepanjang hidup.

"Saya terharu dan ibarat sedang bermimpi apabila melihat wajah sendiri terpampang di papan iklan digital di kota tumpuan dunia itu.

"Semestinya pencapaian ini membuatkan saya ingin terus menghasilkan lebih banyak lagu berkualiti pada masa hadapan dan tidak mahu sekadar suka-suka," katanya kepada BH Online.

Aisha menganggap wajah menghiasi New York Times Square pencapaian tertinggi diraih sepanjang dua tahun bergelar penyanyi. - Foto IG Aisha Retno
Aisha menganggap wajah menghiasi New York Times Square pencapaian tertinggi diraih sepanjang dua tahun bergelar penyanyi. - Foto IG Aisha Retno

Pemenang tempat ketiga pertandingan nyanyian program realiti, Big Stage musim keempat itu berterima kasih kepada syarikat pengurusan dan label rakaman Sony Music Malaysia kerana merealisasikan impiannya.

Aisha berkata, syarikat rakaman ada memberi bayangan wajahnya mungkin terpampang di papan iklan ikonik itu, tetapi penyanyi kelahiran Kuala Lumpur itu enggan menaruh harapan.

"Saya tidak dapat mengawal emosi apabila syarikat pengurusan memaklumkan mengenai perkara ini, pagi tadi," katanya.

Lagu dendangannya W.H.U.T yang disiarkan di platform Spotity berjaya meraih penstriman lebih 30 juta.

Selain Aisha, beberapa wajah penyanyi tempatan juga pernah muncul di papan iklan gergasi itu termasuklah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Dolla, Aina Abdul, Yuna, Vanessa Reynauld, Iman Troye dan beberapa artis lagi.

Berita Harian X