Isnin, 18 Julai 2022 | 4:40pm
Elizabeth banyak terima tawaran lakonan, namun, tidak mengetepikan bidang nyanyian. - Foto IG Elizabeth Tan
Elizabeth banyak terima tawaran lakonan, namun, tidak mengetepikan bidang nyanyian. - Foto IG Elizabeth Tan

'Lizzy dedah kisah dilayan teruk lelaki narsistik'

KUALA LUMPUR: Mula mengorak langkah sebagai penyanyi, namun, kini, Elizabeth Tan, 30, dilihat lebih selesa sebagai pelakon.

Apa yang pasti, Elizabeth atau lebih mesra disapa Lizzy tidak sesekali meninggalkan dunia nyanyian yang memperkenalkan namanya di persada seni.

Bagi pelantun lagu Knock Knock dan Police Entry itu, bidang lakonan memberikan kepuasan tersendiri, namun, tidak kurang juga nyanyian masih dekat di hatinya.

"Saya minat berlakon, namun, dalam masa yang sama, suka menulis lagu. Apa yang boleh dikatakan, bidang nyanyian dan muzik kini sudah jatuh nombor dua.

"Jujurnya, agak sukar untuk saya membuat keputusan jika disuruh pilih, lakonan mahupun nyanyian.

"Bagi saya, lakonan memberi kepuasan berbeza. Ini disebabkan saya berpeluang membawa pelbagai jenis karakter yang sudah tentu ada cabaran. Setiap watak dibawakan ada keistimewaannya," katanya kepada BH Online.

Pelakon filem Misteri Dilaila dan Abang Long Fadil 3 itu berkata, dia dapat memberi inspirasi kepada pendengar menerusi bidang nyanyian dan penulisan lagu.

"Contohnya, lagu Tabah yang saya nyanyikan dahulu. Ada peminat memberitahu lagu Tabah berjaya membantu mereka yang dalam kemurungan untuk bangkit semula.

"Jadi, itulah istimewanya muzik, ia menjadi alatan luar biasa yang dapat menyembuhkan seseorang daripada pengalaman yang memberikan trauma," katanya.

Justeru, kata Elizabeth atau nama sebenarnya, Elizabeth Tan Su Mei, tidak mungkin dirinya meninggalkan dunia muzik dan akan sentiasa berusaha untuk tampil dengan karya baharu.

Terbaharu, Lizzy tampil berbeza dengan memilih berduet bersama penyanyi dan komposer muda berbakat besar, Zynakal.

Bidang muzik kini sudah jatuh nombor dua buat Elizabeth selepas sibuk di lokasi penggambaran. - Foto IG Elizabeth Tan
Bidang muzik kini sudah jatuh nombor dua buat Elizabeth selepas sibuk di lokasi penggambaran. - Foto IG Elizabeth Tan

Bergabung menerusi lagu berkonsep pop dansa ala Korea diberi judul Narsis, Lizzy berkata, kolaborasi itu dicetuskan Warner Music yang mahukan menggabungkan mereka dengan muzik lebih segar dalam memenuhi selera pendengar.

"Selepas mendengar demo diberikan oleh komposer, MFMF, saya merasakan ada kekurangan sesuatu. Jadi, Warner Music mencadangkan agar dimasukkan rangkap rap yang dinyanyikan Zynakal.

"Dari situlah terhasilnya lagu Narsis. Lagipun, saya sudah lama tidak dengan single baharu. Ketika itu, saya juga baru sahaja selesai dengan penggambaran drama, jadi, berpeluang memasuki studio untuk merakamkan lagu.

"Sebenarnya, saya lebih banyak menerima tawaran berlakon. Kebanyakan proses penggambaran pula mengambil masa yang lama, selain itu saya perlu lebih fokus dengan keluarga selepas berumah tangga, tahun lalu.

"Namun, dalam pada sibuk, saya tetap berkesempatan menyiapkan rakaman lagu ini," katanya.

Kata Lizzy, lagu Narsis mengisahkan manusia bersifat narsistik yang sememangnya wujud di kalangan masyarakat.

Malah, katanya, dia juga pernah berhadapan dengan individu bersikap narsistik.

"Lirik lagu ini sangat ringkas, kalau dengar ia mengenai seorang lelaki 'narsis' yang mementingkan diri dan tidak mempedulikan orang lain.

"Saya mengakui lagu Narsis agak peribadi kerana saya berdepan dengan manusia di mana saya diperlakukan dengan teruk dan tidak adil. Namun, ia adalah pengalaman silam yang mendewasakan saya," katanya.

Selain itu, Lizzy sangat berharap Narsis mendapat sambutan positif selepas kali terakhir tampil dengan lagu duet bersama Hazama berjudul Beku, tahun lalu.

"Saya berharap peminat semua sukakan lagu Narsis, sebagaimana lagu-lagu saya terdahulu. Walaupun pendek, mesejnya terpampang jelas.

"Dan ia juga single pop dansa ala Korea yang bersesuaian dengan selera pendengar, jadi, saya optimis lagu ini boleh menambat hati pendengar," katanya.

Berita Harian X