Sabtu, 9 Julai 2022 | 3:00pm
Nora bersama barisan pelakon filem 7 Minggu Sebelum Kahwin di majlis pratonton di ibu negara, baru-baru ini. Foto IG Nora Danish
Nora bersama barisan pelakon filem 7 Minggu Sebelum Kahwin di majlis pratonton di ibu negara, baru-baru ini. Foto IG Nora Danish

Nora fikir dua kali sebelum kongsi

KUALA LUMPUR: Bukan sekali dua pelakon Nora Danish menjadi bahan kecaman dan perbalahan netizen akibat sering tampil seksi dalam media sosial, malah situasi itu bagaikan rutin buatnya setiap kali memuat naik foto di platform itu.

Boleh dikatakan ada sahaja yang tidak kena pada mata warga maya mengenai cara pelakon itu berpakaian. Jika bukan isu seksi, Nora dihukum' hanya kerana gaya dan aksi dipertontonkan.

Jika sebelum ini Nora hanya mengambil sikap enggan melayan atau bertindak menutup ruangan komen, kali ini, aktres yang dikenali melalui drama bersiri Puteri ini mengaku mula mengambil perhatian terhadap teguran diberi.

"Sejujurnya, Nora tidak suka hendak berlawan dengan netizen. Mereka ada hak untuk bersuara. Sebagai selebriti, Nora mengaku apa sahaja yang dilakukan ada kaitan dengan masyarakat.

"Jika sebelum ini, Nora ambil sikap tidak ambil peduli dengan komen yang dilemparkan, kali ini teguran mereka membuatkan Nora lebih berwaspada dalam berpakaian.

Nora lebih berhati-hati sebelum memuat naik sebarang perkongsian dalam media sosial sekarang. Foto IG Nora Danish
Nora lebih berhati-hati sebelum memuat naik sebarang perkongsian dalam media sosial sekarang. Foto IG Nora Danish

"Kalau ikutkan, tidak semua penampilan Nora dalam media sosial tampak seksi tetapi pandangan orang berbeza. Keadaan ini menyebabkan Nora lebih berhati-hati sebelum memuat naik sebarang perkongsian," katanya kepada BH Online.

Tambah Nora, dia bukanlah suka membaca komen dalam media sosial, namun maklum balas negatif itu selalunya diketahui selepas dimaklumkan pihak ketiga.

Ditanya apa reaksinya apabila suami, Nedim Nazri Aziz turut terkena tempias diserang kecaman netizen, Nora atau nama penuhnya, Nora Mohd Danish Hanif, 40, bersyukur suami faham asam garam yang perlu dilalui memperisterikan selebriti sepertinya.

"Mujur suami kuat dan malas melayan komen negatif seperti itu. Apabila berkahwin dengan selebriti, dia kenalah terima dan faham selok-belok dunia seni.

"Alhamdulillah, suami okay dan boleh terima. Lagipun, baginya banyak lagi perkara lebih penting yang perlu difikirkan dan diberi perhatian.

"Daripada peningkan kepala, anggap sahaja komen yang diberikan itu sebagai sesuatu yang positif," katanya ketika ditemui pada majlis pratonton filem berjudul 7 Minggu Sebelum Kahwin lakonannya di ibu negara, baru-baru ini.

Dalam pertemuan itu juga, Nora berkongsi pengalaman mendebarkan apabila matanya berdarah ketika menjalani penggambaran filem arahan Eyra Rahman itu.

Tompokan darah di mata pelakon jelita itu jelas kelihatan dalam filem itu ketika sesi tayangan perdana bersama media tempoh hari.

"Pada hari ketiga penggambaran, tiba-tiba mata saya keluar tompokan darah. Saya tidak pasti bagaimana mata boleh berdarah.

"Saya pergi mendapatkan rawatan di klinik tetapi tiada perubahan. Nasib baik mata saya tidak sakit dan saya dapat menjalani penggambaran filem 7 Minggu Sebelum Kahwin dengan selesa.

"Bagaimanapun, keadaan itu berlanjutan hingga ke penggambaran lain. Dalam cerita itu pun mata saya masih berdarah," katanya.

Menerusi filem terbitan KRU Studios itu, Nora digandingkan dengan penyanyi rap yang semakin meningkat naik, MK K-Clique.

Mengulas gandingannya itu, meskipun jarak usia mereka berbeza, namun kata Nora dia tidak berdepan masalah untuk mencari keserasian.

"Kebetulan kami sudah lama berkenalan. Jadi, kami tidak ada masalah untuk menyesuaikan diri. Dia merendah diri dan sikapnya itu memudahkan saya bekerja dengannya," puji Nora.

Filem 7 Minggu Sebelum Kahwin yang bergenre romantik komedi turut dibintangi Yassin Senario, Ropie, Sham Visa, Azizah Mahzan, Vanessa Reynauld dan Alya Iman.

Filem ini mula ditayangkan di Astro First sejak kelmarin.

Berita Harian X