Sabtu, 2 Julai 2022 | 11:00am
Allahyarham Adibah Noor menghembuskan nafas terakhir pada usia 52 tahun di Hospital Gleneagles dipercayai akibat penyakit kanser ovari tahap empat, jam 7.30 malam pada 18 Jun lalu.
Allahyarham Adibah Noor menghembuskan nafas terakhir pada usia 52 tahun di Hospital Gleneagles dipercayai akibat penyakit kanser ovari tahap empat, jam 7.30 malam pada 18 Jun lalu.

Jiwa kental Adibah jadi inspirasi

KUALA LUMPUR: Perasaan sebak dan linangan air mata panel jemputan mengiringi perjalanan program Bicara BH yang mengetengahkan topik Tribute Insan Terlalu Istimewa Allahyarham Adibah, kelmarin.

Sebagai antara insan yang rapat dan mendapat kepercayaan arwah, dua panel terbabit iaitu bekas editor Hiburan dan Gaya Hidup Malay Mail, Zainal Alam Kadir dan penyanyi dangdut, Ani Mayuni begitu sayu saat berkongsi kenangan bersama arwah Adibah ketika masih bernafas.

Zainal Alam atau lebih mesra disapa Alam dalam kalangan pengamal media, berbicara mengenai sosok wanita yang dikenalinya sejak tiga dekad lalu. Ia ibarat wayang gambar yang memutarkan semula momen suka dan duka yang pernah dilalui bersama pada detik awal perkenalan mereka.

"Saya kenal arwah sebelum beliau menyertai pertandingan nyanyian, Suara 90-an Nescafe pada 1994. Kami bertemu ketika menyertai pertandingan karaoke.

"Saya melihat kelibat seorang wanita berbadan gempal sedang asyik makan kacang ketika saya tiba ke kelab yang menjadi lokasi pertandingan bersama seorang rakan.

"Rakan sempat berbisik mengatakan arwah adalah pencabar saya. Sebaik sahaja mendengar arwah menyanyi, badan saya terus jadi lembik kerana suaranya sangat sedap.

"Nyata tekaan rakan tepat apabila arwah diangkat sebagai juara, manakala saya pula menduduki tempat kedua.

"Sejak itu, kami mula rapat. Beliau bukan sahaja rapat dengan saya, malah dengan keluarga saya. Boleh dikatakan kami bersahabat daripada zaman lapar dan miskin lagi.

"Banyak perkara kami lakukan bersama termasuk menjayakan persembahan dan pelbagai projek lain seperti pembikinan suara latar," cerita Alam membuka bicara pada petang itu.

Zainal Alam tidak dapat menahan sebak apabila berbicara mengenai arwah Adibah yang dikenalinya sejak tiga dekad lalu. - NSTP/Aziah Azmee
Zainal Alam tidak dapat menahan sebak apabila berbicara mengenai arwah Adibah yang dikenalinya sejak tiga dekad lalu. - NSTP/Aziah Azmee

Paling membuat kolam hatinya terusik hingga gagal menahan air mata ketika berkongsi kisah selepas arwah memaklumkan keadaan kesihatannya.

Kongsi Alam, jika bukan disebabkan urusan persembahan, dia tidak akan tahu rakan baiknya itu sedang menderita sakit pada waktu itu.

"Sepatutnya, kami menjayakan persembahan makan malam anjuran alumni sekolah lama saya, Mei lalu.

"Projek ini sudah tertangguh dua tahun berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Namun, selepas kebenaran membuat persembahan dibenarkan, perancangan menjayakan persembahan kembali diteruskan.

"Saya menghubunginya sebelum Ramadan lalu untuk berbincang mengenai persembahan dijanjikan, namun arwah menyatakan baru sahaja menjalani pembedahan membuang tumor dan perlu berpantang.

"Malah, arwah juga ada menyebut perlu melakukan rawatan kimoterapi. Bila mendengar perkataan kimoterapi, tentunya ia berkaitan penyakit kanser, jadi saya mula tak sedap hati," ujar Alam dalam nada sebak.

Bekas pengacara program Wayang Kita itu juga mengambil masa menenangkan diri, sebelum kembali menyambung bicara.

Bobo, Ani dan Zainal Alam ketika program Bicara BH - Tribute Insan Terlalu Istimewa Allahyarham Adibah Noor yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook (FB) dan YouTube BH, kelmarin. - NSTP/Aziah Azmee
Bobo, Ani dan Zainal Alam ketika program Bicara BH - Tribute Insan Terlalu Istimewa Allahyarham Adibah Noor yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook (FB) dan YouTube BH, kelmarin. - NSTP/Aziah Azmee

Mengakui arwah yang berjiwa kental, Alam berharap kejayaan yang dikecapi arwah selepas berdepan kesukaran membina nama dan kerjaya berikutan fizikal lebih diutamakan menjadi contoh terbaik.

"Semua orang tahu nasib arwah bukan seperti penyanyi lain yang pernah memenangi pertandingan nyanyian. Laluannya untuk mendaki puncak kejayaan sangat sukar.

"Disebabkan itu, saya sering menasihatkannya jangan berhenti melakukan apa yang mahu dilakukannya. Jika tiada ruang, kena cipta ruang itu.

"Jangan malu jika kita ada kekurangan kerana sebagai manusia, kita tidak dilahirkan sempurna. Yang buruk boleh jadi baik dan begitu juga sebaliknya," pesannya.

Berkongsi pendapat sama dengan Alam, Ani berkata, jiwa kental dan sikap positif arwah menjadi pembakar semangat untuknya meneruskan perjuangan dalam bidang seni yang cukup mencabar ini.

Namun, Ani juga tidak mampu menahan air mata saat berkongsi kenangan dengan artis serba boleh itu.

Ani sebak apabila berkongsi kebaikan dan sifat ramah arwah Adibah menyebabkan hubungan rapat bagaikan satu keluarga. - NSTP/Aziah Azmee
Ani sebak apabila berkongsi kebaikan dan sifat ramah arwah Adibah menyebabkan hubungan rapat bagaikan satu keluarga. - NSTP/Aziah Azmee

Meskipun perkenalan cukup singkat ketika menyertai program Gegar Vaganza musim kelapan (GV8), namun kebaikan dan sifat ramah arwah menyebabkan mereka rapat bagaikan satu keluarga.

"Semua peserta GV8 anggap arwah seperti kakak. Kami menggelarkan arwah 'Kak Long'. Kami juga mempunyai kumpulan WhatsApp yang dinamakan Famili Kita.

"Di situ, kami berkongsi banyak perkara termasuk masalah. Arwah memang seorang pemurah. Hinggalah satu hari kami terkejut apabila arwah mohon untuk keluar daripada kumpulan WhatsApp.

"Saya terus menghubunginya secara peribadi dan bertanyakan mengapa bertindak sedemikian.

"Namun, saya terkedu apabila arwah memaklumkannya menderita penyakit kanser ovari. Saya tak tahu nak beri reaksi kerana saya tahu arwah tak suka jika ada orang terlalu bersimpati dengannya," ungkap penyanyi lagu Sedap itu.

Bersama hos kapsul BHTV, Apa Kes, Farihad Shalla Mahmud atau Bobo, program Bicara BH - Tribute Insan Terlalu Istimewa Allahyarham Adibah Noor yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook (FB) dan YouTube BH, kelmarin.

Selain Alam dan Ani, program turut menyelitkan temu bual eksklusif bersama pengarah dan penerbit KL Motion Picture, Wan Hasliza Wan Zainuddin dan pereka fesyen, Ezuwan Ismail yang berkongsi pertemuan terakhir sebelum arwah tutup mata.

Penyanyi lagu Terlalu Istimewa itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 52 tahun di Hospital Gleneagles dipercayai akibat penyakit kanser ovari tahap empat, jam 7.30 malam pada 18 Jun lalu.

Jenazah Allahyarham Adibah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Keramat Permai, Taman Keramat, jam 11.30 pagi, keesokannya.

Berita Harian X