Khamis, 30 Jun 2022 | 1:00pm
Naim mengaku MIALYPSPAB lagu syok sendiri, namun tidak takut menampilkan kelainan, apatah lagi bersama Dolla yang mempunyai potensi besar dalam dunia muzik tempatan.
Naim mengaku MIALYPSPAB lagu syok sendiri, namun tidak takut menampilkan kelainan, apatah lagi bersama Dolla yang mempunyai potensi besar dalam dunia muzik tempatan.

Naim tak kisah dilabel syok sendiri

KUALA LUMPUR: Dengan judul unik dan kolaborasi yang dianggap janggal, tidak hairanlah taruhan baharu penyanyi dan komposer, Naim Daniel cukup berbeza, malah dianggap di luar kotak pemikiran.

Tidak mahu mengehadkan kreativiti dalam berkarya, Naim memilih kumpulan sensasi, Dolla berduet menerusi lagu berjudul Mungkin Ini Adalah Lagu Yang Paling Sedih Pernah Aku Buat (MIALYPSPAB).

Single MIALYPSPAB yang dicipta Naim sejak dua tahun lalu, pasti memberi kelainan kepada profil seni jejaka ini, malah, menjadikan genre pop sebagai 'mainan' baharu Dolla.

Naim atau nama sebenar, Muhammad Naim Daniel Baharin mengaku MIALYPSPAB lagu syok sendiri, namun dia tidak takut menampilkan kelainan apatah lagi bersama Dolla yang mempunyai potensi besar dalam dunia muzik tempatan.

"Sejujurnya, saya berani mati dan syok sendiri cipta lagu itu. Single itu adalah lagu sedih. Saya sengaja mengajak Dolla berduet.

"Kita semua tahu, dalam soal menari, sudah menjadi kepakaran Dolla. Tetapi mana tahu, mereka ada sisi berbeza yang tidak diketengahkan.

"Saya tidak mahu mengehadkan diri dalam berkarya. Mungkin menerusi lagu ini, peminat Dolla nampak kelainan mereka," katanya pada majlis pelancaran Fiesta TV3 di Sri Pentas, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Naim memilih kumpulan sensasi, Dolla berduet menerusi lagu MIALYPSPAB.
Naim memilih kumpulan sensasi, Dolla berduet menerusi lagu MIALYPSPAB.

Naim berharap single MIALYPSPAB yang dirakam bersama Dolla dapat menyumbang kepada kepelbagaian karya segar anak muda yang menceburi dunia muzik.

"Saya hendak cuba pelbagaikan karya muzik. Saya mahu semua orang tahu anak muda, terutama yang baharu berjinak dalam industri ini, bahawa mereka ada sesuatu untuk diberi kepada industri seni.

"Saya cuba jadikan industri ini lebih meriah dengan apa yang kita boleh buat. Jadi, timbullah idea kolaborasi bersama Dolla. Saya sudah sedia dengan komen apakah kerjasama ini berjaya?" katanya.

Naim berkata, biar apa pun maklum balas diterima, baginya, tidak rugi mencuba.

"Sekurang-kurangnya saya berani mencuba. Saya percaya kita akan bosan dengan sesuatu yang biasa, jadi saya hendak beri kelainan dan benda baharu," katanya.

Berita Harian X