Selasa, 28 Jun 2022 | 5:45pm
Tegar bersama isteri kelihatan romantis dalam media sosial, namun, ramai tidak tahu kerunsingannya berdepan dengan tekanan mencari duit. - Foto IG Tegar Septian
Tegar bersama isteri kelihatan romantis dalam media sosial, namun, ramai tidak tahu kerunsingannya berdepan dengan tekanan mencari duit. - Foto IG Tegar Septian

Tegar bercerai akibat masalah kewangan

KUALA LUMPUR: Penyanyi lagu Aku Yang Dulu Bukanlah Yang Sekarang, Tegar Septian, 21, mendedahkan perkahwinannya dengan Sarah Sheilka sudah berakhir.

Menerusi Instagram (IG) Story, Tegar membuat pendedahan mengenai keruntuhan rumah tangga, namun, tidak berkongsi tarikh perceraian.

Tegar berkata, dia mengalami depresi akibat sukar mencari wang sehingga menyebabkan tubuhnya menjadi kurus.

"Aku sudah tidak bersama Sara lagi. Aku sudah terlalu penat.

"Dan, aku berjanji tidak mahu terulang lagi seperti ini," tulisnya.

Katanya, dia dan isteri kelihatan romantis dalam media sosial, namun, hakikatnya ramai tidak tahu kerunsingan berdepan dengan pelbagai tekanan.

"Aku memang manusia tidak sempurna. Kalau anda mahu tahu, aku tertekan memikirkan banyak hal.

"Sekali lagi, mulai detik ini, aku sudah tidak sama Sarah lagi.

"Aku memilih untuk hidup baharu dan bermula dengan kosong," katanya yang kini banyak menghabiskan masa di rumah.

Menerusi IG Story, Tegar buat pendedahan mengenai keruntuhan rumah tangga, namun, tidak berkongsi tarikh perceraian. - Foto IG Tegar Septian
Menerusi IG Story, Tegar buat pendedahan mengenai keruntuhan rumah tangga, namun, tidak berkongsi tarikh perceraian. - Foto IG Tegar Septian

Bakat yang diangkat ketika bergelar penyanyi jalanan pada usia 11 tahun hingga menjadi penyanyi popular itu berkata, dia tidak betah apabila terpaksa duduk di rumah.

"Kalian harus tahu, aku selalu berada di rumah sahaja. Jujurnya, aku orang yang tidak betah duduk di rumah.

"Aku jadi kurus terlalu banyak berfikir. Sukar cari duit membuatkan aku benar-benar depresi," tulisnya.

Bekas peserta Big Stage 2022 itu mendirikan rumah tangga dengan Sarah pada Mac 2020. Pasangan itu dikurniakan cahaya mata lelaki, Abidzar Oktaviano Putra Septian yang kini berusia dua tahun.

Berita Harian X