Sabtu, 25 Jun 2022 | 3:00pm
Liyana tidak berkompromi dengan pelakon baharu yang hanya mengejar populariti, berbanding kualiti lakonan. - Foto IG Liyana Jasmay
Liyana tidak berkompromi dengan pelakon baharu yang hanya mengejar populariti, berbanding kualiti lakonan. - Foto IG Liyana Jasmay

Liyana 'melenting' pelakon tak hafal dialog

KUALA LUMPUR: Dinobatkan Aktres Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-22 ketika berusia 21 tahun dan bekerjasama dengan pelakon handalan menjadi lesen kepada pelakon yang kini bergelar pengarah, Liyana Jasmay 'lebih cerewet' dalam soal kerja.

Berdasarkan pengalaman dan sifat profesional lebih mengutamakan kualiti, Liyana menegaskan, dia tidak akan berkompromi dengan pelakon baharu yang hanya mengejar populariti, berbanding kualiti lakonan.

Tanpa berselindung, Liyana mengakui, dia memang bersikap biasa dengan memberi keistimewaan kepada pelakon yang dilihat mempunyai potensi untuk lebih menyerlah.

"Saya suka dengan pelakon baharu yang ada asas dalam lakonan. Bakat tetap nombor satu, namun, golongan pelakon seperti inilah wajar diberi perhatian, bukannya mereka yang mahu mengejar kemasyhuran semata-mata.

"Mereka inilah yang wajar diundang ke acara hiburan dan wajah diabadikan sebagai sampul muka depan majalah atau akhbar.

"Sebagai pengarah, jika saya bertemu dengan pelakon berbakat dan berpotensi, saya akan bantu mengasah bakatnya menjadi lebih baik.

"Namun, itu bukan bermakna saya mengabaikan pelakon yang tidak mempunyai aura ini. Cuma, tiadalah saya buat berlebihan.

"Memang ada sikap pilih kasih di situ," ujar Liyana atau lebih mesra disapa Nana ini sambil ketawa.

Histeria The Series arahan James Lee adalah kesinambungan filem Histeria yang ditayangkan di pawagam pada 2008.
Histeria The Series arahan James Lee adalah kesinambungan filem Histeria yang ditayangkan di pawagam pada 2008.

Berkongsi pengalaman sejak bergelar sutradara, pelakon filem Histeria dan Papadom itu turut mendedahkan, ada sikap segelintir pelakon pelapis yang disifatkan mencabar kesabarannya.

Memperincikan perkara itu, Liyana memaklumkan, antara yang menjadi kepantangannya apabila pelakon masuk set penggambaran tanpa membuat sebarang persediaan.

"Sebagai pelakon, mereka kena tahu bagaimana cara nak sampaikan dialog dengan penuh rasa dan jiwa. Bukannya sekadar membaca skrip semata-mata.

"Pernahlah berlaku ada pelakon tidak menghafal dialog ketika datang lokasi. Penolong pengarah beri amaran agar tidak membaca skrip di hadapan saya jika tidak mahu kena marah.

"Apabila berlaku perkara ini, sudah tentu saya melenting. Bagi saya, tak salah berangan, asalkan tidak berlebihan hingga menjejaskan kerjaya sendiri," nasihatnya ketika ditemui pada majlis pratonton drama Histeria The Series, baru-baru ini.

Drama bergenre seram, Histeria The Series arahan James Lee adalah kesinambungan filem Histeria yang ditayangkan di pawagam pada 2008.

Selain Liyana, drama itu turut dibintangi Mia Sara Shauki, Sharifah Aryana, Ziana Zain, Nam Ron dan Farah Ahmad.

Berita Harian X