Jumaat, 24 Jun 2022 | 6:49pm

A Aida saman dua pelakon drama

KUALA LUMPUR: Dua pelakon drama berdepan tindakan saman ekoran melanggar kontrak perjanjian sebuah penggambaran drama terbitan A Aida Production.

Penerbitnya, A Aida berkata, dua pelakon yang juga hero dan heroin untuk drama didakwa menarik diri pada saat akhir dengan alasan tidak munasabah.

"Sebenarnya, ini kali ketiga saya kena 'kencing' dengan hero dan heroin yang membintangi drama terbitan syarikat.

"Dahulu saya tak ambil tindakan. Namun, kali saya bertindak disebabkan penarikan diri pelakon lelaki dan wanita berlaku pada saat akhir.

"Penggambaran sepatutnya bermula 16 Jun lalu, tetapi pihak pengurusan memaklumkan pelakon wanita ingin menarik diri, sehari sebelum penggambaran.

"Disebabkan pelakon wanita menarik diri, pelakon lelaki pun mengikut jejak sama. Apabila saya tanya pihak pengurusan pelakon lelaki kenapa tarik diri, alasan diberikan sebab pelakon wanita tidak jadi berlakon," katanya kepada BH Online.

A Aida berkata, dia tidak tahu betul atau tidak, kononnya pelakon lelaki menerima tawaran drama disebabkan pelakon wanita berkenaan.

"Apabila pelakon wanita tarik diri, dia ikut sama.

"Saya memang terkedu kerana sikap tidak profesional dua pelakon ini. Mereka menandatangani kontrak sudah lama sekitar dua hingga tiga bulan lalu.

"Pada Mei lalu, saya sudah 'lock' sebab nak cari hero dan heroin bukan senang. Mereka sudah menandatangani kontrak dan lima peratus bayaran pendahuluan sudah diambil," katanya kepada BH Online.

A Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 52, memaklumkan pengarah drama, Riza Baharudin sudah menghubungi pihak pengurusan dua pelakon berkenaan, tetapi bagaimanapun panggilan tidak dijawab.

A Aida menanggung kerugian lebih RM150,000 akibat sikap tidak profesional dua pelakon berkenaan.
A Aida menanggung kerugian lebih RM150,000 akibat sikap tidak profesional dua pelakon berkenaan.

Ekoran penarikan diri itu, A Aida berkata, dia menanggung kerugian lebih RM150,000.

"Banyak kerugian sebab seminggu nak buat penggambaran saya sudah bayar banyak benda dari segi kelengkapan, pengarah, lokasi dan sebagainya.

"Semuanya membabitkan kos ratusan ribu, bukan main-main. Ini drama 28 episod dan projek bernilai RM1 juta, bukan projek ratusan ribu.

"Anggaran bayaran yang saya sudah bawa keluar sekitar RM150,000 untuk produksi ini. Jadi, saya sangat sedih apabila dua pelakon bersikap tidak profesional seperti ini.

"Selaku Timbalan Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), saya akan mengarahkan kepada semua ahli dalam 1,000 orang untuk 'blacklist' dua pelakon berkenaan kerana menyusahkan produser," katanya.

Tambah A Aida, tindakan itu juga menjadi pengajaran dan mereka perlu menanggung semula kerugian dihadapi.

Wakil peguam dari Zulpadli dan Edham, Ashmadi Othman berkata, tujuan sidang media diadakan lebih kepada menjelaskan tindakan bakal diambil A Aida ke atas dua pelakon berkenaan.

"Saya diberi arahan A Aida untuk mengambil tindakan dan proses tuntutan sudah berlaku. Kami sedang dalam tindakan lanjut membawa kes ke mahkamah.

"Pelanggaran kontrak memang berlaku. Artis sudah mengambil bayaran pendahuluan dan maklumat jadual sudah pun diberikan, jadi, terang-terangan mereka ingkar dengan kontrak," katanya.

Ashmasi berkata, proses tindakan akan mengambil masa selama sebulan dan pihak peguam sudah mengeluarkan surat makluman kepada dua pelakon berkenaan, Rabu lalu.

"Kami dan A Aida Production mengambil langkah pantas dengan mengemukakan surat pada Rabu lalu.

"Dalam tuntutan saman, A Aida Production mendakwa dua pelakon berkenaan langgar kontrak perjanjian dan ada beberapa perkara lain menyusul," katanya.

A Aida, Ashmadi dan Riza ditemui pada sidang media tindakan undang-undang terhadap dua pelakon popular di Restoran Rebung, di sini, hari ini.

A Aida bersama peguamnya, Ashmadi (kiri) dan pengarah drama, Riza Baharudin.
A Aida bersama peguamnya, Ashmadi (kiri) dan pengarah drama, Riza Baharudin.
Berita Harian X