Khamis, 23 Jun 2022 | 6:13pm
Bad dan Ashira masing-masing tenang ketika mengumumkan perceraian mereka di Instagram (IG), petang tadi. - Foto IG Bad Indigo Official
Bad dan Ashira masing-masing tenang ketika mengumumkan perceraian mereka di Instagram (IG), petang tadi. - Foto IG Bad Indigo Official

Bad Indigo, Ashira bercerai

KUALA LUMPUR: Pasangan penyanyi, Bad Indigo dan Ashira Aziz mengumumkan perceraian mereka melalui hantaran video di Instagram (IG), petang tadi.

Melalui video kira-kira dua minit itu, Bad dan Ashira masing-masing tenang mengumumkan perpisahan mereka.

Bad atau nama sebenar, Badrul Izhan Yeop Abdullah, 47, mengesahkan mereka bercerai, bagaimanapun, tidak berkongsi butirannya.

Bad menafikan kehadiran insan ketiga jadi punca perceraiannya dengan Ashira. - Foto IG Bad Indigo Official
Bad menafikan kehadiran insan ketiga jadi punca perceraiannya dengan Ashira. - Foto IG Bad Indigo Official

"Kami sudah capai persetujuan bersama, kami tadi sudah sah berpisah.

"Tetapi kami tetap berkawan sebab kami memang nak berkawan sampai bila-bila… Insya-Allah," katanya.

Tambah Bad, perpisahan mereka bukanlah disebabkan kehadiran insan ketiga dan lebih selesa untuk tidak berkongsi punca perceraian.

"Kami tetap baik, tiada masalah antara kami. Saya tetap sayang dia. Apa yang penting, tiada orang ketiga, keempat, kelima dan keenam.

"Sebenarnya, apa sebab semua ini (berlaku), tak boleh cerita. Sebab apa-apa yang berlaku dalam perkahwinan adalah aib. Mendedahkan aib walaupun aib sendiri adalah dosa. Jadi, hanya Allah yang tahu," katanya.

Sementara itu, Ashira atau nama sebenar, Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz, 37, berharap hantaran video itu menjawab persoalan mengenai hubungan rumah tangga mereka.

"Kami nak beritahu dululah sebelum keluar daripada mulut orang lain sebab banyak sangat cerita di luar yang tak betul. Jadi, harap video ini jelaslah untuk semua orang.

"Hendak minta maaf kalau ada kawan-kawan wartawan yang nak hubungi, tak perlu.

"Hendak tanya kenapa, apa punca dan bila, itu biarlah saya, dia, keluarga dan yang di atas (Allah) sahaja yang tahu.

"Harap jelas dan tiada lagi pertanyaan mengapa saya dan Bad sudah lama tidak nampak.

"Saya minta sangat pada semua untuk tidak bercerita benda-benda yang tidak betul pasal kami. Terima kasih juga kepada semua yang mendoakan kami selama ini," katanya.

Bad dan Ashira berumah tangga pada 11 Mac tahun lalu selepas bertemu ketika menyertai musim ketujuh program realiti, Gegar Vaganza (GV7).

Berita Harian X