Rabu, 22 Jun 2022 | 1:00pm
Fattah percaya lagu berunsur Islamik terus relevan dalam masyarakat kerana mesej bermanfaat yang terkandung dalam setiap karya. - NSTP/Rohanis Shukri
Fattah percaya lagu berunsur Islamik terus relevan dalam masyarakat kerana mesej bermanfaat yang terkandung dalam setiap karya. - NSTP/Rohanis Shukri

'Era lagu cinta sudah berlalu'

KUALA LUMPUR: Tiada lagi dendangan berunsur cinta, sebaliknya, pelakon yang kini bergelar penyanyi, Fattah Amin semakin selesa mendendangkan lagu berkonsep kerohanian untuk semua single dirakamkan.

Malah, Fattah atau nama penuh, Abdul Fattah Mohd Amin, 32, tidak kisah jika peminat memberi gelaran penyanyi ketuhanan atas kecenderungannya itu.

"Selepas merakamkan lagu berunsur ketuhanan, saya makin selesa dengan genre muzik begini. Kalau ada orang hendak kata saya penyanyi lagu ketuhanan pun, saya tak kisah.

"Lagipun, syarikat rakaman berpendapat vokal saya sesuai untuk lagu begini. Lagu kerohanian cukup dekat di hati saya.

"Bukan saya seorang saya sukakan lagu begini, malah, isteri, Nur Fazura berkongsi cita rasa sama. Lagu genre kerohanian penuh dalam 'playlist' kami antaranya dendangan penyanyi Indonesia, Opick," katanya kepada BH Online.

Berkongsi lanjut, pemenang trofi Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 pada 2017 ini menyifatkan lagu ketuhanan sebagai terapi jiwa.

"Dalam kehidupan seharian, kita melalui banyak situasi yang cukup memberi tekanan.

"Macam saya, dengan jadual kerja padat dan bisnes yang perlu diurus, keadaan itu sedikit sebanyak memberi kesan terhadap emosi.

"Apabila mendengar lagu ketuhanan, secara automatik ia memberi ketenangan dalam diri dan menghilangkan penat serta segala tekanan," katanya pada majlis pelancaran single Padamu di pejabat Universal Music Malaysia, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Lagu Padamu dicipta komposer dan penyanyi, Ikhwan Fatana bersama Wan Salleh.

Fattah menyifatkan lagu ketuhanan sebagai terapi jiwa dan cukup dekat di hatinya. - NSTP/Rohanis Shukri
Fattah menyifatkan lagu ketuhanan sebagai terapi jiwa dan cukup dekat di hatinya. - NSTP/Rohanis Shukri

Biarpun menyedari lagu ketuhanan sifatnya bermusim, kurang diputarkan di corong radio dan mempunyai kelompok peminat terhad, Fattah yang membintangi filem kepahlawanan, Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan ini enggan mengambil pusing.

Alasan Fattah, lagu berunsur Islamik terus relevan dalam masyarakat kerana mesej bermanfaat yang terkandung dalam setiap karya.

"Lagu berunsur ketuhanan tetap didengar kerana ada kaitan dengan agama. Lagu begini adalah antara kita dengan Yang Maha Esa, jadi saya tak fikir lagu ketuhanan akan lenyap," katanya.

Beralih kepada kerjaya lakonan, bapa kepada Nur Fatima Aisya ini lebih selektif dalam memilih watak.

Walaupun terpaksa menolak banyak tawaran berlakon disebabkan sikap cerewetnya itu, jelas Fattah, sebagai pelakon yang mempunyai misi dan visi, dia perlukan pembaharuan dalam setiap karakter dibawa.

"Saya terima banyak tawaran berlakon, tetapi terpaksa ditolak. Kebanyakan watak ditawarkan sama seperti yang pernah saya buat.

"Untuk menambah baik kualiti lakonan, saya perlu cuba sesuatu yang belum pernah saya buat. Saya terima tawaran untuk berlakon dalam drama Khilaf Asmara kerana tidak pernah bawa watak seberani itu.

"Kalau boleh, selepas ini, saya begitu teringin berlakon dalam filem aksi dan mempunyai banyak babak pertarungan," katanya.

Berguru dengan Cikgu Syafi dan Mark Adam untuk memantapkan vokal.

Antara lagu bergenre kerohanian yang pernah dirakamkan Fattah adalah Kiriman Tuhan, Sinar Selawat dan Hamba.

Berita Harian X