Selasa, 21 Jun 2022 | 4:09pm
Syamsul menafikan bertunang dengan anak pelakon veteran seperti cerita yang tular, hari ini.
Syamsul menafikan bertunang dengan anak pelakon veteran seperti cerita yang tular, hari ini.

'Saya tak bertunang, kahwin dengan sesiapa' - Syamsul

KUALA LUMPUR: Pengarah dan pelakon sensasi, Syamsul Yusof, 38, hanya mampu ketawa, sekali gus menafikan gosip bertunang dengan wanita dikenali Ira Kazar seperti tular dalam media sosial.

"Ya, saya tak bertunang atau berkahwin dengan sesiapa.

"Tanyalah fasal filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan, asyik cerita hal dalam kain saya sahaja," katanya ringkas ketika dihubungi BH Online, sebentar tadi.

Terdahulu, pada Mei lalu muncul desas-desus mengatakan anak kepada pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam itu didakwa berkahwin senyap-senyap dengan anak pelakon veteran, Kazar Saisi itu.

Namun, bapa kepada dua cahaya mata itu memilih untuk berdiam diri.

Belum lenyap kisah kahwin, timbul pula gosip terbaru mendakwa suami kepada Puteri Sarah Liyana itu melangsungkan pertunangan dengan wanita yang hangat dikaitkan dengannya itu.

Puteri Sarah memuat naik status minta Syamsul tidak melupakan tanggungjawab kepada anak-anak.
Puteri Sarah memuat naik status minta Syamsul tidak melupakan tanggungjawab kepada anak-anak.

Menerusi perkongsian hantaran dibuat oleh seorang pengguna bernama, Hannah Montana dalam laman sosial mendakwa, Syamsul sudah bertunang.

"Syamsul dan Ira Kaza sudah pun bertunang. Selamat bertunang Syamsul!!!!!!!!!," tulis Hannah Montana.

Sementara itu, Puteri Sarah yang menerima mesej langsung mengucapkan terima kasih kepada peminat yang memberitahunya.

"Terima kasih DM (mesej langsung) saya. Kalau betul, Alhamdulillah.

"Jangan lupa tanggungjawab pada anak-anak," tulis Puteri Sarah dalam Instagram Story.

Syamsul dan Puteri Sarah mendirikan rumah tangga pada Mac 2014 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Syaikhul Islam, 5, dan Summayah, 3.

Berita Harian X