Selasa, 21 Jun 2022 | 1:39pm
Todd dan keluarga akan terus memelihara dan memanjakan kucing kesayangan seperti dilakukan Allahyarham Adibah selama ini. - Foto IG Todd Harry
Todd dan keluarga akan terus memelihara dan memanjakan kucing kesayangan seperti dilakukan Allahyarham Adibah selama ini. - Foto IG Todd Harry

Rindu terubat pelihara 24 anak 'bulus' arwah Adibah

KUALA LUMPUR: Pengurus Allahyarham Adibah Noor, Todd Harry mengambil alih tugas menjaga dan memelihara 24 kucing kesayangan yang ditinggalkan artis serba boleh itu.

Barangkali, katanya, ia sedikit sebanyak mengubat kerinduan terhadap penyanyi lagu Terlalu Istimewa itu.

"Saya pihak keluarga dan sahabat handai mengucapkan ribuan terima kasih atas kasih sayang dan doa yang kalian hulurkan ketika kami amat berduka dengan pemergian arwah. Beliau insan yang terlalu dikasihi.

"Semoga kecekalan, semangat juang dan sifat pemurah yang arwah tunjukkan ketika hayatnya akan terus dikenang dan menjadi teladan dan amalan hidup kita juga.

"Meskipun masa mungkin mengubat duka, namun, masa tidak akan mungkin memudarkan cinta dan kerinduan kami terhadapnya," kata Todd.

Todd berkata, sikap arwah yang sentiasa menunjukkan kasih sayang membuatkannya berasa bertanggungjawab untuk terus memberikan kasih sayang kepada kucing peliharaannya.

"Bukan hanya sesama manusia, arwah juga sentiasa menunjukkan kasih sayang terhadap makhluk ciptaan Allah yang lain.

"Justeru, saya dan keluarga arwah akan terus memelihara dan memanjakan semua kucing kucing kesayangannya seperti mana dilakukan selama ini," katanya.

Menerusi ciapan dalam Twitter, Todd berkongsi pesanan agar peminat tidak terpedaya dengan berita palsu mengenai kebajikan kucing peliharaan arwah Allahyarham Adibah. - Foto Twitter Adibah Noor.
Menerusi ciapan dalam Twitter, Todd berkongsi pesanan agar peminat tidak terpedaya dengan berita palsu mengenai kebajikan kucing peliharaan arwah Allahyarham Adibah. - Foto Twitter Adibah Noor.

Banyak pihak menyatakan keprihatinan terhadap kucing peliharaan sejak pemergian Allahyarham Adibah, 52, pada Sabtu lalu.

Malah, pusat perlindungan haiwan, Anugerah Mahligai Arah Nasib Abadi Haiwan (AMANAH) yang terletak di Hulu Langat turut menyatakan kesudian membela kucing peninggalan arwah tanpa sebarang syarat.

Dalam satu ciapan di Twitter Adibah, Todd turut berkongsi pesanan agar tidak terpedaya dengan berita palsu.

"Sila ambil maklum, kebajikan kucing-kucing arwah Adibah Noor terpelihara dengan baik di bawah jagaan pembantu peribadi dan keluarga.

"Mohon jangan terpedaya dengan berita palsu mengenai kebajikan anak-anak kucing itu," tulis Todd.

Ciapan itu mendapat reaksi positif netizen yang rata-rata pencinta kucing dan meluahkan rasa syukur.

Terdahulu, Allahyarham Adibah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles, Jalan Ampang, jam 7.30 malam, dipercayai akibat penyakit kanser ovari tahap empat, Sabtu lalu.

Jenazah arwah Adibah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Keramat Permai, Taman Keramat, jam 11.30 pagi, kelmarin.

Berita Harian X