Selasa, 21 Jun 2022 | 1:00pm
Allahyarham Adibah sanggup menggadai barang kemas demi membiayai makanan dan keperluan 41 kucing kesayangannya ketika era pandemik COVID-19 disebabkan tiada projek kerja. - Foto IG Adibah Noor
Allahyarham Adibah sanggup menggadai barang kemas demi membiayai makanan dan keperluan 41 kucing kesayangannya ketika era pandemik COVID-19 disebabkan tiada projek kerja. - Foto IG Adibah Noor

Adibah bergolok-bergadai pelihara kucing

KUALA LUMPUR: Kucing, haiwan peliharaan 'terlalu istimewa' di hati artis serba boleh, Allahyarham Adibah Noor.

Masakan tidak, penyanyi, pelakon, pengacara, pengisi suara dan bakat iklan yang terkenal di Malaysia itu sanggup menggadai barang kemas demi membiayai makanan dan keperluan 41 kucing kesayangannya ketika era pandemik COVID-19 disebabkan tiada projek kerja.

Malah, juara pertandingan Suara 90-an Nescafe pada 1994 itu tidak pernah berkira soal wang ringgit yang dihabiskan bagi membeli makanan berkhasiat dan keperluan kucing peliharaannya itu.

Ramai insan prihatin mula memikirkan nasib kucing peliharaan arwah apabila penyanyi lagu Terlalu Istimewa itu 'tutup mata' dalam usia 52 tahun, Sabtu lalu.

Siapakah mahu mengambil alih tugas menjaga binatang peliharaannya. Adakah ahli keluarga dan rakan akan menguruskan anak-anak 'bulus' yang menjadi kesayangan arwah?

Ahli keluarga yang ditemui pada hari pengebumian, kelmarin, masih belum memikirkan soal anak-anak 'bulus' itu kerana mahu menyelesaikan urusan pengebumian arwah terlebih dahulu.

Namun, kebimbangan terhadap nasib kucing arwah mendapat pembelaan apabila pusat perlindungan haiwan, Anugerah Mahligai Arah Nasib Abadi Haiwan (AMANAH) bersedia mengambil alih tanggungjawab menjaga kucing berkenaan.

Menerusi satu kenyataan dalam Facebook (FB), AMANAH tidak mempunyai masalah mengambil alih dan memelihara kucing arwah untuk berteduh di rumah AMANAH yang terletak di Hulu Langat, Selangor.

"Salam takziah buat Adibah Noor. Kami tiada masalah jika kucing arwah sebanyak lebih 40 ekor hendak berteduh di rumah AMANAH.

"Syarat nombor utama disebabkan kematian tuan kucing.

"Waris (keluarga Adibah) boleh menghubungi saya. Tidak perlu bayar apa-apa dan tidak perlu beri makanan kucing, setiap bulan. Malah, setiap Ahad dari jam 2.30 hingga 6.30 petang adalah hari melawat. Terbuka kepada umum," tulis AMANAH dalam FB.

Pemilik rumah AMANAH, Hashman Don, berkata pihaknya bersedia menjaga semua kucing arwah tanpa syarat.

Menerusi satu kenyataan dalam FB, AMANAH tidak mempunyai masalah mengambil alih dan memelihara kucing arwah untuk berteduh di rumah AMANAH yang terletak di Hulu Langat, Selangor.
Menerusi satu kenyataan dalam FB, AMANAH tidak mempunyai masalah mengambil alih dan memelihara kucing arwah untuk berteduh di rumah AMANAH yang terletak di Hulu Langat, Selangor.

Namun, katanya, AMANAH masih menanti panggilan keluarga arwah untuk berbincang lebih lanjut.

"Setakat ini, saya masih belum dihubungi waris terdekat arwah lagi. Rumah AMANAH bersedia menjaga kucing yang kematian tuan seperti kes arwah Adibah.

"Selain tuan kucing meninggal dunia, kami juga menerima sekiranya pemilik kucing dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan uzur tanpa mengenakan sebarang syarat.

"Kami juga tidak menetapkan bayaran atau waris perlu menyediakan makanan kucing, setiap bulan," katanya ketika dihubungi BH Online.

Hashman enggan mendedahkan lokasi pusat perlindungan haiwan yang dikendalikan sejak tiga tahun lalu. Ia bermula di Dengkil, sebelum berpindah ke Hulu Langat pada Januari lalu.

Selain Hulu Langat, AMANAH juga mempunyai sebuah lagi pusat perlindungan haiwan yang terletak di USJ, Subang.

Katanya, lebih 350 ekor kucing dan dua ekor anjing berada di bawah rumah AMANH yang diuruskannya bersama seorang rakan dan empat pembantu.

"Maaf, kami tidak sedia berkongsi lokasi pusat perlindungan haiwan ini kerana tidak mahu orang ramai menggunakan kesempatan untuk membuang kucing mereka," katanya yang turut tidak bersedia berkongsi nombor akaun kepada umum.

Sementara itu, kecintaan penyanyi kelahiran Kuala Lumpur itu terhadap kucing memang diketahui ramai kerana kekerapannya memuat naik foto bersama kucing peliharaan.

Tahun lalu, pelakon filem Sepet, Gubra dan Talentime itu berkongsi kedukaan apabila kehilangan kucing kesayangan bernama Bobby yang dibela sejak 15 tahun lalu.

Dalam hantaran dimuat naik dalam Instagram (IG) pada Disember lalu, arwah meminta Bobby mendoakannya.

"Bobby mesti gembira di syurga ya sayang. Bobby doa untuk Ma, ya sayang," tulis Adibah.

Namun, arwah pula mengikut jejak langkah kucing kesayangannya itu, Sabtu lalu.

Selain Bobby, arwah turut memiliki beberapa kucing peliharaan yang diberi nama Along, Marco dan Billy. Arwah juga tidak memilih kerana memelihara pelbagai baka termasuk kucing jalanan.

Kecintaan Allahyarham Adibah terhadap kucing memang diketahui ramai kerana kekerapannya memuat naik foto bersama kucing peliharaan. - Foto IG Adibah Noor
Kecintaan Allahyarham Adibah terhadap kucing memang diketahui ramai kerana kekerapannya memuat naik foto bersama kucing peliharaan. - Foto IG Adibah Noor

Menerusi kenyataannya lalu, Adibah mengakui, tidak mudah memelihara lebih 40 ekor kucing dan menyifatkan tanggungjawab dipikul amat besar.

Namun, Adibah atau nama sebenarnya, Adibah Noor Mohd Omar tidak pernah mengambil mudah dalam urusan penjagaan kucing kerana ia ibarat menganiaya binatang kesayangan junjungan besar Nabi Muhammad SAW sekiranya tidak menjaganya dengan baik.

Adibah mengakui, sifatnya yang terlalu menyayangi haiwan itu membuatkannya tidak berkira mengenai wang yang dihabiskan untuk keperluan kucing belaannya.

"Sejujurnya, saya kurang pasti berapa banyak saya berhabis bagi membayar makanan, kos bulanan dan perubatan untuk kucing yang dibela. Apa yang pasti, saya tidak pernah berkira jumlah wang untuk kegunaan mereka.

"Bukan mudah menjaga 41 ekor kucing kerana saya membeli makanan berkhasiat. Tanggungjawab dipikul tidak seharusnya dipandang mudah kerana ia ibarat menganiaya sekiranya tidak dilakukan dengan baik.

"Oleh itu, saya tidak sewenang-wenangnya memberikan kucing kepada peminat yang memintanya daripada saya. Bukan sekadar comel pada pandangan mata, ia adalah tanggungjawab yang sangat memerlukan komitmen jitu," katanya yang mengingati setiap nama kucing peliharaannya.

Arwah Adibah melancarkan buku kanak-kanak yang ditulis berjudul Bintang & Tompok. Menerusi IG, arwah mendedahkan, ia adalah buku cerita pertama yang ditulis dalam bahasa Malaysia dan Inggeris pada 22 Februari lalu.

Menerusi laman Twitter pada 13 Jun lalu, arwah memaklumkan tidak berupaya menghulurkan bantuan. Tidak dinyatakan jawapan ditujukan kepada mana-mana individu, namun, ia dipercayai balasan kepada pihak yang mengharapkan pertolongan bagi menjaga kucing peliharaan.

Sabtu lalu, peminat dikejutkan berita pemergian arwah yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles, Jalan Ampang, di sini, pada jam 7.30 malam, dipercayai akibat penyakit kanser ovari tahap empat.

Jenazah Allahyarham Adibah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Keramat Permai, Taman Keramat, jam 11.30 pagi, kelmarin.

Berita Harian X