Isnin, 20 Jun 2022 | 11:00am
Berkongsi kesedihan, Aliff memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Adibah melalui perkongsian di Instagram Story (IGs). Foto IG Aliff Aziz
Berkongsi kesedihan, Aliff memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Adibah melalui perkongsian di Instagram Story (IGs). Foto IG Aliff Aziz

Adibah 'Kak Long' dalam keluarga GV8

KUALA LUMPUR: Teman seperjuangan Allahyarham Adibah Noor ketika menyertai musim kelapan program realiti Gegar Vaganza (GV8), tahun lalu, menganggap arwah seperti kakak sendiri yang bersifat penyayang dan mengambil berat hal orang lain.

Usahawan dan penyanyi, Datuk Fazley Yaakob atau nama sebenar, Ahmad Fadzli Yaakob mendapat tahu arwah berdepan masalah kesihatan pada minggu pertama GV8.

"Pada minggu pertama GV8, saya mengadu kepada Kak Dib (panggilan kepada Adibah), pentas GV terlalu besar untuk saya. Tetapi arwah beri semangat dan mengaku dirinya sakit tetapi boleh teruskan.

Fazley mendapat tahu arwah berdepan masalah kesihatan pada minggu pertama GV8. Foto IG Fazley Yaakob
Fazley mendapat tahu arwah berdepan masalah kesihatan pada minggu pertama GV8. Foto IG Fazley Yaakob

"Saya terkejut dengan kata-katanya. Dari situ, saya tahu dia sakit. Cuma kami diberitahu agar tidak berbicara mengenai keadaannya," katanya ketika ditemui selepas menziarah jenazah Allahyarham Adibah di Hospital Gleaneagles, Jalan Ampang, di sini, kelmarin.

Fazley bersyukur berpeluang menatap jenazah arwah Adibah buat kali terakhir di wad.

"Saya arwah seperti kakak sendiri dalam dunia seni ini. Ketiadaannya amat berat untuk diterima sebab terlalu mengejutkan," katanya.

Sementara itu, artis kelahiran Singapura, Aliff Aziz yang bergegas ke hospital sebaik mendapat tahu keadaan terkini arwah, mengaku sukar menerima hakikat, Adibah tiada lagi.

"Walaupun kita sudah tahu, ajal kita semua akan sampai bila-bila masa, tetapi agak sukar untuk kami sekeluarga di GV8 menerima berita pemergiannya.

"Selepas saya dapat tahu daripada keluarga GV8 kami, saya terus bergegas dari Cyberjaya. Alhamdulillah, Allah izinkan untuk saya melihat wajahnya buat kali terakhir dan mengusung jenazah ke van.

"Secara jujur, ini sangat memilukan. Bagi saya, sebenarnya dia merahsiakan kesakitannya daripada orang ramai kerana tidak mahu kita risau," katanya.

Berkongsi keperibadian Allahyarham Adibah, Aliff berkata, arwah sangat tegas tetapi penyayang.

"Arwah wanita berdikari. Allahyarham banyak berkongsi cerita mengenai kehidupan dan bagaimana dia menjalani rutin harian bersama kucing-kucingnya.

"Ketika bersaing di GV8, arwah banyak membantu peserta memperbetulkan Bahasa Inggeris kami. Di situ memperlihatkan sisinya yang penyayang dan mengambil berat hal orang lain," katanya.

Bekas vokalis kumpulan Scan, Azan juga bersyukur mengenali Adibah walaupun dalam tempoh masa singkat.

"Arwah sangat 'straight forward' dan apabila tidak berpuas hati, dia luahkan. Namun, apa yang dinyatakan adalah fakta. Arwah tidak suka bermuka-muka atau bercakap belakang.

"Arwah hamba Allah yang sangat baik, pemurah dan suka berkongsi lawak jenaka. Jujurnya, sebelum ini, saya tidak pernah berjumpa dengannya. Apabila saya sertai GV8, barulah saya tahu siapa Adibah.

"Biarpun baru kenal, kami selesa berkawan. Kata-kata arwah yang paling tidak dapat dilupakan adalah ketika pentas akhir GV8 apabila dia beritahu beruntung dapat berduet dengan saya.

"Itulah ayat yang masih segar dalam ingatan saya," katanya.

Pada GV8, Allahyarham Adibah mara ke pentas akhir dan menduduki tempat keempat dalam pertandingan yang

mengangkat artis kelahiran Singapura, Aliff Aziz sebagai juara.

Malam kelmarin, Allahyarham Adibah atau nama sebenar, Adibah Noor Mohd Omar menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles dipercayai akibat penyakit kanser ovari tahap empat, pada jam 7.30 malam.

Berita Harian X