Ahad, 19 Jun 2022 | 4:27pm
Nani menyifatkan arwah Adibah insan penyayang dan prihatin terhadap orang lain. Foto NSTP Fatin Farhana Ariffin
Nani menyifatkan arwah Adibah insan penyayang dan prihatin terhadap orang lain. Foto NSTP Fatin Farhana Ariffin

Nani ingat nasihat Kak Dib

KUALA LUMPUR: 'Tak mengapa sayang, Allah ada...'

Itu sebaris ayat yang sering dikongsi Allahyarham Adibah Noor, 52, kepada Sharifah Amani, yang tidak akan dilupakan bintang filem Sepet ini, sampai bila-bila.

Mengenang arwah Adibah, Sharifah Amani atau mesra disapa Nani memberitahu, arwah ibarat kakak dan dirinya penuh kasih sayang.

Nani berkongsi paparan skrin ciapan dilayangkan arwah Adibah yang berjanji mahu terus menyayanginya melalui Instagram Story (IGs). Dalam mesej itu, arwah membahasakan dirinya Kak Yam, iaitu watak dibawa dalam filem Sepet manakala Nani dipanggil Orked. Foto IG Sharifah Amani
Nani berkongsi paparan skrin ciapan dilayangkan arwah Adibah yang berjanji mahu terus menyayanginya melalui Instagram Story (IGs). Dalam mesej itu, arwah membahasakan dirinya Kak Yam, iaitu watak dibawa dalam filem Sepet manakala Nani dipanggil Orked. Foto IG Sharifah Amani

"Kak Dib layan semua orang sama. Cara dia menyayangi sesama manusia dan haiwan juga sama.

"Dia sangat penyayang dan penuh dengan kasih sayang," katanya ditemui sejurus pengebumian arwah Adibah di Tanah Perkuburan Islam Keramat Permai, Taman Keramat di sini, hari ini.

Pernah berganding dalam filem Sepet arahan Allahyarham Yasmin Ahmad, Nani menyifatkan arwah insan prihatin.

"Kami dalam kumpulan sama yang menjayakan filem arwah Yasmin. Jadi, sejak itu kami sudah seperti sebuah keluarga.

"Arwah antara insan yang memberi kembali pada komuniti dan dia sangat sayangkan kerjayanya," katanya.

Sukar menahan sebak, Nani akan sentiasa ingat nasihat dikongsi Allahyarham Adibah sebagai panduan hidup.

Sementara itu, penyanyi yang pernah sama-sama menyertai musim kelapan program realiti, Gegar Vaganza (GV8), Nikki Palikat mengaku tidak dapat menyembunyikan emosinya.

"Semalam, kami ada persembahan di PJPAC @ 1Utama. Sebelum persembahan bermula, kami terima berita pemergian Kak Dib daripada Ani Mayuni.

"Apabila dapat tahu, saya, Dina Nadzir dan Elvira masing-masing berjurai air mata kerana kami rapat dengan Kak Dib.

"Saya terpaksa menjarakkan diri daripada mereka kerana kalau menangis, saya tidak boleh naik ke pentas menyanyi," katanya.

Nikki tidak menyangka arwah Adibah menanggung kesakitan teruk selama ini.

"Sebelum ini, arwah ada beritahu dia sakit. Tetapi, saya fikirkan arwah terlalu penat. Ini kerana saya pernah masuk hospital disebabkan terlalu penat. Tetapi sebenarnya, arwah sakit.

"Jadi, saya tidak dapat kawal emosi. Saya tidak sangka arwah sakit sampai begitu sekali. Baharu saja dapat tahu arwah sakit, semalam, arwah sudah pergi," katanya.

Nikki akan sentiasa mengingati Adibah sebagai insan yang dekat di hatinya.

"Kak Dib penyayang dalam tegas. Arwah selalu beritahu, kalau ada sesuatu yang saya tidak suka, cakap. Arwah 'vokal', kalau dia rasa tidak adil, dia bersuara.

"Namun, dalam menegur, arwah ada cara yang penyayang sampai kita dapat rasa niatnya baik. Arwah sangat percaya dengan bakat dalam GV8.

"Setiap kali buat persembahan, arwah puji saya sudah buat yang terbaik. Ramalan arwah juga selalu tepat apabila dia menyatakan saya bakal jadi juara mingguan," katanya yang merindui hilai tawa arwah.

Jenazah Allahyarham Adibah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat Permai, Taman Keramat di sini, pada jam 11.30 pagi tadi.

Malam tadi, Allahyarham Adibah atau nama sebenar, Adibah Noor Mohd Omar menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles, Jalan Ampang, di sini, dipercayai akibat penyakit kanser ovari tahap empat, pada jam 7.30 malam.

Berita Harian X