Ahad, 19 Jun 2022 | 1:40pm

Adibah rahsiakan kesakitan daripada ayah

KUALA LUMPUR: Bapa Allahyarham Adibah Noor, Mohd Omar Zainal Abidin, 89, mengaku tidak tahu menahu penderitaan dialami arwah, namun, reda dengan pemergian anak ketiganya itu.

Mohd Omar berkata, arwah tidak memberitahu apa-apa mengenai keadaan kesihatannya.

"Saya tak tahu... Arwah tidak beritahu walaupun saya ayahnya. Saya pergi ke hospital pun, dia tidak beritahu.

"Tetapi kalau Tuhan hendak ambil, Dia ambil juga," katanya kepada pemberita sebaik selesai pengebumian jenazah Allahyarham Adibah di Tanah Perkuburan Islam Keramat Peramai, Taman Keramat di sini, kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Malam tadi, Allahyarham Adibah atau nama sebenar, Adibah Noor Mohd Omar, 52, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles, Jalan Ampang, di sini, dipercayai akibat penyakit kanser ovari tahap empat, pada jam 7.30 malam.

Mohd Omar menganggap Allahyarham Adibah anak yang bersifat taat dan pemurah. Foto NSTP Sudirman Mohd Tahir
Mohd Omar menganggap Allahyarham Adibah anak yang bersifat taat dan pemurah. Foto NSTP Sudirman Mohd Tahir

Mohd Omar (duduk berkerusi) melihat saudara mara menyiram air dan menabur bunga di pusara pada pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat Permai. - NSTP/Aswadi Alias
Mohd Omar (duduk berkerusi) melihat saudara mara menyiram air dan menabur bunga di pusara pada pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat Permai. - NSTP/Aswadi Alias

Mohd Omar berkata, Allahyarham Adibah adalah anak yang bersifat taat dan pemurah.

"Kalau orang lain hendak kata dia kedekut, terpulanglah. Bagi saya arwah okay, semuanya okay.

"Saya tiada apa-apa nak cerita, tiada apa yang hendak dipanjangkan. Mohon doakan yang baik-baik untuk anak saya," katanya.

Sementara itu, abang Allahyarham Adibah yang hanya mahu dikenali sebagai Angah berkata, keluarga dimaklumkan mengenai penyakit yang dihidapi arwah, beberapa bulan lalu.

"Adik saya beritahu kami dia sakit pun, lambat. Dia baharu beritahu kami beberapa bulan lalu kerana dia sendiri tahu dia sakit pun sudah terlambat.

"Rawatan dan pembedahannya sudah lancar. Tetapi rezeki dia sudah begitu, kita pun tidak tahu. Baru-baru ini, kami ada keluar makan bersama, dia boleh berjalan, makan dan sebagainya.

"Khamis lalu, kami diberitahu dia melakukan sesi kemoterapi kali keenam atau ketujuh, saya tak pasti. Dos pun lebih sedikit untuk membuang sel kanser.

"Jadi, mungkin dos itu terlalu kuat untuk dia. Tetapi saya tidak pasti, itu kena tanya doktor," katanya.

Berkongsi mengenai keperibadian adiknya, Angah berkata, arwah peramah dan mesra dengan saudara-mara.

"Malah, dengan anak-anak saudara pun arwah baik. Dia berpesan kepada mereka untuk belajar baik-baik," katanya.

Bertanya mengenai kucing peliharaan arwah, Angah berkata, keluarganya belum memikirkan perkara itu.

Angah menjelaskan arwah Adibah memaklumkan keluarga mengenai penyakit dihidapinya, beberapa bulan lalu. Foto NSTP Sudirman Mohd Tahir
Angah menjelaskan arwah Adibah memaklumkan keluarga mengenai penyakit dihidapinya, beberapa bulan lalu. Foto NSTP Sudirman Mohd Tahir

"Kita belum fikir lagi. Kita uruskan arwah dahulu hari ini. Mungkin selepas ini kami mahu jumpa kawan-kawan arwah untuk uruskan perkara itu. Tidak silap saya, kucing peliharaannya ada kira-kira 30 ekor," katanya.

Bapa Allahyarham Adibah, Mohd Omar menyiram air mawar di pusara anaknya yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Keramat Permai, Taman Keramat, Kuala Lumpur. Foto NSTP Aswadi Alias
Bapa Allahyarham Adibah, Mohd Omar menyiram air mawar di pusara anaknya yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Keramat Permai, Taman Keramat, Kuala Lumpur. Foto NSTP Aswadi Alias
Berita Harian X