Ahad, 19 Jun 2022 | 12:40pm

Jenazah Allahyarham Adibah selamat dikebumikan

KUALA LUMPUR: Jenazah Allahyarham Adibah Noor, 52, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Keramat Permai, Taman Keramat di sini, pada jam 11.30 pagi tadi.

Selain bapa Allahyarham Adibah iaitu Mohd Omar Zainal Abidin, 89, ahli keluarga dan sanak-saudara, acara pengebumian itu turut dihadiri Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Turut memberi penghormatan terakhir adalah rakan artis antaranya Datuk M Nasir, Datuk Afdlin Shauki, Anuar Zain, Ziana Zain, Linda Onn, Remy Ishak, Sharifah Amani, Saiful Apek, Nadiya Nissa, Nikki Palikat, Suki dan ramai lagi.

Bapa Allahyarham Adibah, Mohd Omar menyiram air mawar di pusara anaknya yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat Permai, Taman Keramat, Kuala Lumpur, semalam. - NSTP/Aswadi Alias

Mohd Omar Zainal Abidin, 87, (duduk berkerusi) yang juga ayah kepada Allahyarham Adibah melihat saudara mara menyiram air dan menabur bunga di pusara pada pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat Permai. - NSTP/Aswadi Alias

Mohamed Omar ayah kepada Allahyarham Adibah di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat Permai. - NSTP/Aswadi Alias
Mohamed Omar ayah kepada Allahyarham Adibah di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat Permai. - NSTP/Aswadi Alias

Terdahulu, jenazah Allahyarham Adibah dimandi dan disembahyangkan di Masjid Al-Ansar, Taman Keramat, di sini. Bapa arwah turut dilihat memasuki bilik pengurusan jenazah untuk menatap wajah anaknya buat kali terakhir.

Malam tadi, Allahyarham Adibah atau nama sebenar, Adibah Noor Mohd Omar menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles, Jalan Ampang, di sini, dipercayai akibat penyakit kanser ovari tahap empat, pada jam 7.30 malam.

Sementara itu, M Nasir ketika ditemui mengaku melihat jatuh bangun Allahyarham Adibah sebagai penyanyi.

M Nasir mengenali Adibah sejak arwah menjadi penyanyi latar yang mengiringi persembahannya.

"Arwah bermula sebagai penyanyi latar saya. Beliau ada kemahiran dalam menyanyi. Arwah ada kualiti yang tersendiri.

"Malah, arwah dikenali sebagai seorang yang apabila ada sesuatu perkara betul, beliau akan berdiri atas sikapnya yang betul," katanya.

Tambah M Nasir, pembawaan Allahyarham Adibah yang sangat menghormati bahasa membuatkan dirinya sentiasa tegas dalam menjaga kualiti pertuturan atau nyanyian.

"Saya lihat banyak persembahannya dalam industri hiburan menekankan Bahasa Inggeris. Arwah seorang yang moden dan terbuka dengan apa-apa yang moden," katanya.

Sebahagian ahli keluarga dan rakan artis menunaikan solat jenazah Adibah Noor di Masjid Al-Ansar, Keramat, Kuala Lumpur. - NSTP/Azhar Ramli
Sebahagian ahli keluarga dan rakan artis menunaikan solat jenazah Adibah Noor di Masjid Al-Ansar, Keramat, Kuala Lumpur. - NSTP/Azhar Ramli

Bertanya mengenai sifat Allahyarham Adibah yang boleh dicontohi anak muda, M Nasir berkata, arwah cukup menjaga imej dan penampilan.

"Dalam dunia hiburan, kita lihat imej itu penting. Arwah kekalkan apa yang beliau percaya," katanya.

Sementara itu, pengarah dan pelakon, Datuk Hans Isaac menyifatkan Allahyarham Adibah sebagai insan yang ikhlas dan baik hati.

Hans yang memberikan penghormatan terakhir di Masjid Al Ansar, Taman Keramat, di sini, percaya setiap insan mengenali arwah mempunyai pandangan sama.

"Arwah wanita yang sangat ikhlas dan baik. Apabila bekerja, arwah selalu menyokong dan tidak pernah merungut.

"Kadang-kadang keadaan tidak sempurna, tetapi, beliau rileks sahaja. Tak perlu bercakap mengenai bakatnya, itu memang tidak boleh dipersoalkan. Kita kehilangan insan yang hebat.

"Isu yang selalu disebut adalah kebaikan orang lain dalam industri seni dan arwah tidak pernah merungut mengenai diri sendiri.

"Arwah tidak pernah cakap soal bayaran dan tidak berkira langsung," katanya yang sangat menghormati arwah.

Jenazah Allahyarham Adibah Noor dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat Permai. - NSTP/Aswadi Alias
Jenazah Allahyarham Adibah Noor dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat Permai. - NSTP/Aswadi Alias

Sementara itu, penyanyi Suki tidak dapat menahan sebak ketika ditemubual.

"Saya tahu arwah sakit dan beliau ada hantar WhatsApp. Saya ada bertanya apa yang berlaku dan arwah beritahu sedang jalani pembedahan, kemoterapi dan sebagainya.

"Saya bertanya kalau diizinkan, kami mahu melawat. Arwah kata boleh apabila dia sudah okay nanti... Tetapi saya tak sempat berjumpa.

"Kakak (Adibah) sangat membantu dan disenangi. Walaupun kakak nampak tegas, beliau sangat lembut. Kakak beri saya galakan ketika bersaing di GV8. Saya masih ingat, arwah cakap, biar apapun dinyatakan juri, jadilah diri sendiri.

"Saya tak pernah sangka kakak tinggalkan kami sebegitu. Arwah yang mencadangkan mahu buat projek untuk keluarga kami di GV8 kerana mahu terus berhubung... Semuanya tidak sama lagi," katanya.

Semalam, peminat mengucapkan selamat jalan ke negeri abadi buat Allahyarham Adibah yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat Permai, Taman Keramat, di sini, kira-kira jam 11.30 pagi.

Berita Harian X