Ahad, 19 Jun 2022 | 11:21am
Adibah bersama kucing peliharaannya.
Adibah bersama kucing peliharaannya.

'Maaf... Kali ini aku tak dapat tolong'

KUALA LUMPUR: "Maaf. Kali ini aku tak dapat tolong. Kerana aku sendiri dalam keadaan yang memerlukan. Moga Allah permudahkan urusan mu."

Itu kata-kata ditinggalkan Allahyarham Adibah Noor dalam kemas kini di Twitter, Isnin lalu, yang antara lain memaklumkan arwah yang juga pencinta kucing, sudah tidak berupaya untuk menghulurkan bantuan.

Tidak dinyatakan jawapan itu ditujukan kepada mana-mana individu, namun, kata-kata itu dipercayai balasan kepada pihak yang mengharapkan pertolongan bagi menjaga kucing peliharaan.

Ciapan itu kemudian viral dan menyentuh hati peminat Allahyarham Adibah yang tidak menyangka bintang kesayangan mereka pergi selepas dipercayai bertarung dengan kanser ovari tahap empat, malam tadi.

Selepas berita pemergian Allahyarham Adibah tersebar, ciapan penyanyi ini kembali diperkatakan dalam media sosial hingga meraih lebih 12,000 tanda suka dan diulang kicau lebih 7,200 kali. - Foto Twitter Adibah Noor
Selepas berita pemergian Allahyarham Adibah tersebar, ciapan penyanyi ini kembali diperkatakan dalam media sosial hingga meraih lebih 12,000 tanda suka dan diulang kicau lebih 7,200 kali. - Foto Twitter Adibah Noor

Selepas berita pemergian Allahyarham Adibah tersebar, ciapan terbabit kembali diperkatakan dalam media sosial hingga meraih lebih 12,000 tanda suka dan diulang kicau lebih 7,200 kali.

Malam tadi, peminat dikejutkan dengan berita pemergian penyanyi lagu Terlalu Istimewa ini yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles, Jalan Ampang, di sini, pada jam 7.30 malam, dipercayai akibat penyakit kanser ovari tahap empat.

Sementara itu, semakan BH Online mendapati, Allahyarham Adibah memuat naik status terakhir di Twitter, Rabu lalu, di mana arwah menyampaikan ucapan takziah dan rasa sedih atas pemergian pelawak dan pelakon veteran, Allahyarham Hamid Gurkha.

Dalam temuramah bersama BH Online pada 2016, Allahyarham Adibah mengaku cukup menyayangi kucing peliharaannya sehingga sanggup memperuntukkan sejumlah wang bagi menampung perbelanjaan membela 41 ekor haiwan itu di rumah.

Adibah mengaku sifatnya yang terlalu menyayangi haiwan itu membuatkan beliau tidak berkira mengenai wang yang dihabiskan untuk keperluan kucing belaannya.

"Sejujurnya, saya kurang pasti berapa banyak saya berhabis bagi membayar makanan, kos bulanan dan perubatan untuk kucing-kucing yang dibela. Apa yang pasti, saya tidak pernah berkira jumlah wang untuk kegunaan mereka.

"Bukan mudah untuk menjaga 41 ekor kucing kerana saya membeli makanan yang berkhasiat untuk mereka. Tanggungjawab yang dipikul tidak seharusnya dipandang mudah kerana ia ibarat menganiaya sekiranya tidak dibuat dengan baik.

"Oleh itu, saya tidak sewenang-wenangnya memberikan kucing kepada peminat yang memintanya daripada saya. Bukan sekadar comel pada pandangan mata, ia adalah tanggungjawab yang sangat memerlukan komitmen jitu," katanya yang mengingati setiap nama kucing peliharaannya itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Adibah dan menganggap beliau bukan sahaja sangat berbakat dalam bidang nyanyian, tetapi menyerlah dalam industri lakonan serta pengacaraan. - Foto FB Ismail Sabri
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Adibah dan menganggap beliau bukan sahaja sangat berbakat dalam bidang nyanyian, tetapi menyerlah dalam industri lakonan serta pengacaraan. - Foto FB Ismail Sabri

Berita Harian X