Sabtu, 18 Jun 2022 | 8:41pm

Adibah Noor meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Penyanyi lagu Terlalu Istimewa, Adibah Noor, 52, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles dipercayai akibat penyakit kanser ovari tahap empat, jam 7.30 malam ini.

Berita duka disahkan rakan artis, Datin Emylia Rosnaida yang juga isteri kepada Datuk AC Mizal menerusi laman Facebook.

"Ya, betul arwah baru sahaja meninggal dunia di hospital sebentar tadi," katanya yang dalam perjalanan ke pusat perubatan swasta itu.

Mengikut sumber, Allahyarham Adibah atau nama sebenarnya, Adibah Noor Mohd Omar menghidap kanser ovari dan kini berada pada tahap empat, namun, merahsiakannya.

Arwah dilahirkan di Kuala Lumpur pada 3 September 1970.

Beliau dikenali sebagai penyanyi, pelakon, pengacara, pengisi suara dan bakat iklan yang terkenal di Malaysia.

Berkelulusan pengajian Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL), Universiti Kebangsaan Malaysia dan pernah menjadi guru bahasa Inggeris.

Pada 1994, arwah kali pertama menyertai pertandingan nyanyian, Suara 90-an Nescafe dan diangkat sebagai juara.

Namun, nama arwah semakin melonjak apabila muncul dengan lagu Terlalu Istimewa dicipta khas sebagai solidariti kepada kes rogol dan pembunuhan ngeri seorang gadis berusia 12 tahun di Johor Bahru.

Beliau sempat merakamkan dua album studio, Terlalu Istimewa pada 2005 dan Teman (2010), selain merakamkan banyak single khas, termasuk duet bersama penyanyi lain.

Kemunculan arwah dalam layar perak bermula pada 2005 apabila membintangi filem Sepet arahan Allahyarham Yasmin Ahmad dengan membawa watak Kak Yam.

Arwah turut membintangi 23 lain termasuklah membintangi filem Gubra, Mukhsin, Buli Balik, Talentime, Jin Notti, Magika, Hooperz, Crayon, Aku Tak Bodoh, Nasi Lemak 2.0, Pontianak vs Orang Minyak, Hoore! Hoore!, Mamak, Fundamentally Happy, Mencari Rahmat, Rumahku, The Code of Happiness, Selamat Hari X Jadi dan Hantu Ke Lima.

Tiga filem arwah yang masih dalam pos-produksi ialah Juang, Baik Punya Ah Long dan Sekolahaha.

Selain filem, arwah turut membintangi banyak drama dan telefilem termasuklah Phua Chu Kang Sdn Bhd, Oh My English!, Lafazkan Kalimah Cintamu, Kampung People 2, Covid Oh Covid, Keluarga Untuk Disewa dan terakhir, Mem & Bibik Bibik yang disiarkan di TV3 pada April lalu.

Terdahulu, jenazah arwah dibawa ke kediaman keluarganya di AU1, Taman Keramat Permai. Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Keramat Permai, Taman Keramat, jam 11.30 pagi, esok (Ahad).

Adibah Noor.
Adibah Noor.
Berita Harian X