Isnin, 30 Mei 2022 | 3:00pm
Md Nasir (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. - Foto IG FINAS
Md Nasir (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. - Foto IG FINAS

Jaminan kelangsungan hidup penggiat seni

KUALA LUMPUR: Dengan rekod hanya 886 individu atau 0.45 peratus daripada komuniti penggiat seni mencarum di bawah skim i-Saraan kendalian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mencari jalan meningkatkan kesedaran pekerja seni menabung untuk persaraan.

Melihat jumlah pencarum skim i-Saraan dalam kalangan penggiat seni amat kecil, apatah lagi, sejak dua tahun lalu, ramai kru dan pekerja belakang tabir terhimpit dan terjejas pendapatan akibat penularan pandemik COVID-19, FINAS tidak mahu bertangguh dalam merangka tindakan proaktif membantu pekerja seni membuat persediaan menghadapi hari tua.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim, berkata FINAS mengadakan perbincangan bersama KWSP, sejak akhir April lalu bagi mencari jalan meningkatkan kesedaran penggiat seni untuk menabung di bawah skim i-Saraan.

"Kami berkunjung ke KWSP untuk mencari jalan penyelesaian jangka panjang membantu penggiat seni yang kita lihat sangat kurang kurang mencarum KWSP.

"Keadaan ini memberi kesan jangka panjang yang tidak baik kepada mereka. Jadi, apabila penggiat seni tiada simpanan masa depan, FINAS rasa perlu lakukan sesuatu agar mereka ada masa depan yang lebih terjamin.

"Kita sendiri tahu, penggiat seni hanya mempunyai pendapatan jika ada 'job'. Apabila tiada 'job', tiadalah gaji.

"Hakikatnya, tawaran kerja yang diterima bukan sepanjang masa. Pada hari tua, mungkin tawaran berkurangan.

"Lebih teruk apabila penggiat seni ditimpa kemalangan atau jatuh sakit. Disebabkan itulah, FINAS perlu mengambil langkah menjaga kebajikan masa depan pekerja seni," katanya kepada BH Online.

Skim i-Saraan adalah caruman sukarela yang membolehkan individu yang bekerja dalam ekonomi gig dan juga yang bekerja sendiri menabung untuk simpanan persaraan mereka menerusi caruman di KWSP.

Mereka yang mencarum dalam i-Saraan dilaporkan menerima insentif kerajaan sebanyak 15 peratus berdasarkan jumlah caruman individu setahun, sehingga maksimum RM250 setahun.

Md Nasir berkata, FINAS dan KWSP mengkaji kemungkinan syarat mewajibkan syarikat produksi membuat caruman kepada badan itu.

"Kita menimbang melaksanakan cadangan itu kepada semua syarikat produksi tempatan yang menerima Dana Kandungan Digital (DKD) atau tidak.

"Konsepnya tidak sama dengan penjawat awam atau pekerja swasta yang mencarum dengan KWSP, di mana mereka mencarum setiap bulan.

"Kaedah yang diusahakan ini membabitkan projek yang mana pekerja seni bekerja atau mengambil upah. Semua yang terbabit dalam sesuatu projek produksi, wajib dicarumkan di bawah KWSP," katanya.

Md Nasir mengadakan perbincangan bersama KWSP, sejak akhir April lalu bagi mencari jalan meningkatkan kesedaran penggiat seni untuk menabung di bawah skim i-Saraan. - Foto IG FINAS
Md Nasir mengadakan perbincangan bersama KWSP, sejak akhir April lalu bagi mencari jalan meningkatkan kesedaran penggiat seni untuk menabung di bawah skim i-Saraan. - Foto IG FINAS

Namun, Md Nasir sedar perkara itu bukan mudah hendak dilakukan.

"Tidak semua syarikat produksi mempunyai pekerja tetap dan melakukan projek sepanjang masa. Operasi mereka juga bergantung kepada dana yang diperoleh, contohnya dari RTM atau FINAS.

"Bagi yang tidak menerima dana, ada yang menggunakan pelaburan sendiri. Jadi, perkara itu tidak konsisten. Maka, mereka tidak boleh mencarum secara tetap.

"Disebabkan itu, kami letakkan sebagai caruman berkala dan bergantung kepada projek," katanya memperincikan cadangan yang dibawa kepada KWSP.

Md Nasir berkata, penggiat seni bebas membuat caruman sendiri, namun kesedarannya tidak tinggi.

Dalam meningkat kesedaran pekerja seni, FINAS bercadang menghasilkan dokumentari atau filem pendek mengenai kepentingan dan faedah mencarum dengan KWSP.

"Dokumentari atau filem pendek itu akan menceritakan kebaikan mencarum dengan KWSP. Insya-Allah, projek ini akan dilancarkan dalam masa terdekat," katanya.

Md Nasir berharap dengan usaha itu, FINAS dapat meluaskan kesedaran penggiat seni apatah lagi ketika pandemik COVID-19, ramai terjejas.

"Kami mahu memastikan kelangsungan hidup penggiat seni. Pandemik COVID-19 menjadi faktor kuat untuk kami laksanakan cadangan ini," katanya yang meletakkan sasaran jumlah caruman i-Saraan meningkat tiga peratus berbanding 0.45 peratus sekarang.

Skim i-Saraan turut menawarkan khairat kematian yang tidak diketahui ramai. Di bawah program caruman sukarela, individu boleh mencarum sendiri pada bila-bila masa sehingga RM60,000 setahun.

Berita Harian X