Khamis, 26 Mei 2022 | 11:00am
 The Assistant mencuri tumpuan pembikin dan pengkritik filem antarabangsa pada Far East Film Festival (FEFF) Ke-24 di Udine, Itali, baru-baru ini. - Foto IG Adrian Teh
The Assistant mencuri tumpuan pembikin dan pengkritik filem antarabangsa pada Far East Film Festival (FEFF) Ke-24 di Udine, Itali, baru-baru ini. - Foto IG Adrian Teh

Jangkaan Adrian meleset

KUALA LUMPUR: Tiada yang lebih menggembirakan Adrian Teh apabila ramalan '50-50' yang diletakkan kepada filem arahannya, The Assistant, meleset, apabila naskhah yang sedang 'meledak' di pawagam itu mengaut jualan tiket lebih RM1 juta selepas empat hari tayangan.

Adrian tidak meletakkan sasaran tinggi terhadap filem aksi dan 'thriller' itu berikutan negara masih dalam fasa peralihan ke endemik dan berusaha mengawal penularan COVID-19.

Tidak hairanlah, Adrian yang pernah melakar kejayaan kutipan RM30 juta melalui filem Paskal pada 2018, sekadar meletakkan 50 peratus harapan terhadap The Assistant yang menampilkan Iedil Dzuhrie Alaudin dan Hairul Azreen itu.

"Saya hanya letak '50-50' harapan apabila The Assistant memasuki panggung wayang. Separuh keyakinan saya letakkan kepada pasaran semasa. Separuh lagi, saya bimbang dengan kesan pandemik.

"Tetapi tidak sangka, baru empat hari ditayangkan mulai Khamis lalu, sambutan yang diterima cukup baik. Kami tidak sangka The Assistant diterima penonton.

"Apa yang membuatkan saya lebih gembira dan terharu apabila mendapat maklum balas ada ibu bapa kecewa tidak dapat membawa anak-anak menonton bersama kerana The Assistant diklasifikasikan untuk khalayak berusia lebih 18 tahun," katanya kepada BH Online.

Adrian berkata, maklumat diperoleh daripada pengusaha pawagam menunjukkan The Assistant berada pada kedudukan kukuh selepas genap seminggu ditayangkan.

"Angka tidak boleh menipu. Selain strategi promosi dan pemasaran, perkongsian mulut ke mulut mempengaruhi penonton ke panggung wayang.

"Saya juga yakin dengan kemampuan barisan pelakon yang membintangi filem ini. Tarikan dan kemampuan mereka menghayati watak menarik penonton ke pawagam, biarpun kami tidak membariskan pelakon popular atau mempunyai ramai pengikut ramai media sosial," katanya.

Barisan pelakon utama dan pengarah The Assistant, Hairul Azreen, Adrian Teh, Iedil Dzhurie, Hanley Hill dan Farali Khan pada malam gala pratonton di GSC The Starling, 12 Mei lalu. - NSTP/Hazreen Mohamad
Barisan pelakon utama dan pengarah The Assistant, Hairul Azreen, Adrian Teh, Iedil Dzhurie, Hanley Hill dan Farali Khan pada malam gala pratonton di GSC The Starling, 12 Mei lalu. - NSTP/Hazreen Mohamad

Adrian mengaku selepas dua tahun 'berperang' dengan COVID-19, penonton dahagakan filem tempatan, namun, percaya, naskhah perlulah datang dalam pakej lengkap.

"Kejayaan sesebuah filem tidak hanya terletak kepada teraju utama. Naskhah perlu tampil dengan pakej lengkap termasuk jalan cerita, pemasaran, promosi dan lain-lain.

"Melihat kepada sambutan penonton terhadap The Assistant, ia seakan memberi bayangan baik kepada industri filem tempatan.

"Walaupun industri filem belum berada di kemuncak, saya percaya, ia kembali pulih sedikit demi sedikit. Tidak kisahlah perkembangannya perlahan, asalkan kita nampak peningkatan itu.

"Apa yang saya nampak, penonton rindukan filem tempatan yang berkualiti," katanya.

Selain meraih kutipan lebih RM1 juta dalam tempoh empat hari tayangan, The Assistant mencuri tumpuan pembikin dan pengkritik filem antarabangsa pada Far East Film Festival (FEFF) Ke-24 di Udine, Itali, baru-baru ini.

Sementara itu, Julai ini, The Assistant akan menyertai Neuchatel International Fantastic Film Festival di Switzerland, diikuti satu lagi festival filem di Brussels, Belgium.

Menelan kos RM6 juta, The Assistant mengisahkan Zafik lakonan Iedil yang terpaksa merengkuk dalam penjara atas kesalahan tidak dilakukan.

Selepas hilang segala-galanya, Zafik bertemu Feroz (Hairul Azreen) yang sering muncul pada waktu yang tepat. The Assistant adalah kolaborasi Sony Pictures Entertainment Malaysia dan Act 2 Pictures.

Berita Harian X