Selasa, 24 Mei 2022 | 11:00am
Barisan juri panel penyiasat tetap program I Can See Your Voice Malaysia musim kelima, iaitu Rosyam, Janna dan Andi. - Foto Ihsan TV3
Barisan juri panel penyiasat tetap program I Can See Your Voice Malaysia musim kelima, iaitu Rosyam, Janna dan Andi. - Foto Ihsan TV3

Dua episod ICSYVMY5 raih 3 juta tontonan

KUALA LUMPUR: Program hiburan bercorak muzik misteri nombor satu di Malaysia, I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) yang diadaptasikan menerusi program popular Korea Selatan kembali rancak untuk musim kelima dengan barisan hos dan panel penyiasat baharu.

Mengikut sumber Nielsen, ICSYVMY5 mendapat sambutan luar biasa dengan mencatatkan rating terkumpul melebihi 3 juta penonton menerusi dua episod baharu ketika bersiaran.

Menerusi episod istimewa edisi Syawal menampilkan Naim Daniel dan Tajul sebagai artis jemputan, manakala episod kedua menyaksikan Nabila Razali dan MK berjaya mendapatkan penyanyi sebenar pada pusingan akhir.

Bersama hos baharu, Izzue Islam dan Ain Edruce, ICSYVMY5 menampilkan Datuk Rosyam Nor, Andi Bernadee dan Janna Nick sebagai panel penyiasat tetap.

Kali pertama digandingkan atas pentas sama, keserasian Izzue dan Ain mengendalikan program ICSYVMY5 berjaya merancakkan suasana studio dengan cara penyampaian bersahaja dan ceria.

Tidak ketinggalan, pelbagai gelagat lucu dan kerenah panel penyiasat tetap, Rosyam, Janna dan Andi yang 'bersungguh-sungguh' membantu artis jemputan untuk mengenal pasti siapakah penyanyi sebenar dan penyamar bersuara sumbang dalam kalangan penyanyi misteri.

Edisi Syawal ICSYVMY5 menampilkan Naim dan Tajul ceria dengan telatah Izzue dan Ain. - Foto Ihsan TV3
Edisi Syawal ICSYVMY5 menampilkan Naim dan Tajul ceria dengan telatah Izzue dan Ain. - Foto Ihsan TV3

Musim baharu ICSYVMY5 bersiaran selama 13 episod pada setiap Ahad, jam 9 malam di TV3.

Ia juga boleh ditonton menerusi strim live secara HD di www.tonton.com.my sejak 8 Mei lalu.

ICSYVMY5 mempunyai empat pusingan untuk artis jemputan mengenal pasti dan menyingkirkan penyamar bersuara sumbang menerusi tiga pusingan awal.

Peserta yang berjaya mara ke pusingan akhir sebagai penyamar bakal memenangi hadiah wang tunai RM3,000, manakala penyanyi sebenar mempunyai peluang merakamkan single bersama penyanyi popular tanah air.

Jangan ketinggalan untuk terus menyaksikan I Can See Your Voice Malaysia 5 dengan menampilkan penyanyi tersohor seperti

Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ella, Misha Omar, Dolla, Shila Amzah, SOG, Zamani dan Iman Troye sebagai artis jemputan yang bakal menceriakan hujung minggu menerusi program muzik misteri ini pada episod akan datang.

ICSYVMY5 menampilkan Digi sebagai penaja utama, Kinohimitsu dan Nivea sebagai penaja bersama, stesen Hot FM sebagai rakan penyiaran radio, Oh Bulan, Xtra dan Senang Terhibur sebagai rakan digital.

Gunakan #ICSYVMY untuk merancakkan perbualan menerusi laman media sosial.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram dan Twitter menerusi @TV3Malaysia.

Berita Harian X