Selasa, 24 Mei 2022 | 8:30am
Zakaria dan Norman bersama ahli perbadanan FINAS penggal 2020-2022 berusaha membantu warga industri kreatif terutama ketika berdepan ujian getir era pandemik COVID-19. - Foto Ihsan FINAS
Zakaria dan Norman bersama ahli perbadanan FINAS penggal 2020-2022 berusaha membantu warga industri kreatif terutama ketika berdepan ujian getir era pandemik COVID-19. - Foto Ihsan FINAS

FINAS bina landasan lebih kukuh

KUALA LUMPUR: Pengerusi, ahli lembaga dan ketua pegawai eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) datang dan pergi, kebanyakannya dalam tempoh yang singkat.

Ada yang berjaya melaksanakan tanggungjawab ke arah kebaikan organisasi dan industri perfileman negara, ada pula mengecewakan. Paling terkesan adalah warga industri perfileman dan FINAS sendiri jika berlaku kegagalan.

Sudah tentu penggiat seni berdepan tempoh sukar pada era pandemik selama dua tahun.

Sepanjang tempoh itu, pasukan FINAS juga berdepan cabaran besar dan pelbagai masalah yang belum pernah berlaku dalam industri perfileman dan negara.

Sebelum mengucapkan selamat tinggal, bekas Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid bersama timbalannya, Datuk Norman Abdul Halim dan ahli perbadanan penggal 2020-2022 yang mengakhiri kontrak pada 22 Mei lalu merangka Pelan Pemerkasaan dan Tranformasi FINAS yang diluluskan menerusi Mesyuarat Khas Ahli Perbadanan pada 10 Mei lalu untuk tempoh sasaran selama tiga tahun.

Bagi Zakaria, Pelan Pemerkasaan dan Tranformasi amat penting bagi membina landasan dan struktur FINAS yang akan bertahan serta menjangkau tempoh perkhidmatan mana-mana individu.

Katanya, Jawatankuasa Transformasi FINAS diwujudkan bagi mencapai objektif seperti mencadang dan mengesyorkan perancangan, pelan, hala tuju, strategi serta tindakan komprehensif terkini untuk kelulusan ahli perbadanan sebagai dokumen rasmi kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM).

"Pelan ini bakal menganalisis potensi, kelemahan, cabaran dan peluang pemerkasaan bagi inisiatif, program serta projek yang digerakkan FINAS pada era pandemik.

"Ia juga bakal menyelaras komunikasi efektif dan berkesan antara ahli perbadanan dan pihak pengurusan bagi memastikan penyampaian serta perkhidmatan organisasi yang cekap kepada pemain industri.

"Selain itu, pelan ini menyelaras sinergi dua hala antara FINAS dan pemegang taruh industri sebagai medium rujukan serta data sokongan dalam proses penjenamaan organisasi dan pemerkasaan industri," katanya kepada BH Online.

Zakaria berkata, input bagi pemerkasaan dan transformasi ini diperoleh ketika sesi libat urus yang diadakan selama tiga bulan sejak Oktober, tahun lalu.

"Dalam tempoh tiga tahun akan datang, pasti ada isu dan cadangan baharu dari semasa ke semasa yang boleh dijadikan penambahbaikan syor sedia ada.

"Namun, ia juga tertakluk kepada cadangan baharu untuk kekal selari dengan matlamat tertera dalam pelan induk ini.

"Dengan adanya perubahan hasil pelaksanaan pelan ini, FINAS akan ditransformasi kepada organisasi lebih cekap, telus, proaktif, responsif dan berintegriti dengan autonomi menguruskan dana, memperkukuhkan kuasa perundangan, mentadbir hal ehwal dalaman dan menyediakan platform strategik bagi industri perfileman tanah air dalam mencapai sasaran sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) industri kreatif kepada ekonomi negara," katanya.

Zakaria (dari kiri) dan Norman bersama Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim. - Foto Ihsan FINAS
Zakaria (dari kiri) dan Norman bersama Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim. - Foto Ihsan FINAS

Beliau berkata, Pelan Pemerkasaan dan Transformasi FINAS itu seiring dengan dasar, polisi, perancangan, aspirasi, hala tuju dan arahan kerajaan yang masih berkuat kuasa berkaitan pembangunan dan pemerkasaan industri perfileman.

"Ia bersifat transformatif berpandukan landskap, teknologi dan ekosistem semasa industri filem tempatan dan antarabangsa.

"Pelaksanaan tugas juga berpandukan pematuhan tugas dan kuasa diperuntukkan di bawah Akta 244 serta Pekeliling Kerajaan yang berkuat kuasa.

"Selain itu, penetapan fokus, skop, keutamaan, sasaran, indikator prestasi dan garis masa bagi tujuan perancangan, pengurusan, penyeliaan, pemantauan dan pelaksanaan oleh jawatankuasa.

"Pelan ini juga boleh mengenal pasti dan mencadangkan pasukan petugas khas pada peringkat pengurusan FINAS yang difikirkan mempunyai kepakaran, pengalaman dan kecekapan dalam perkhidmatan untuk melaksanakan pelan, hala tuju, strategi serta tindakan pemerkasaan industri," katanya.

Katanya, perancangan itu turut mampu meningkatkan daya saing, ekonomi, produktiviti industri perfileman tanah air berteraskan pemerkasaan modal insan ke arah menjadi jaguh di peringkat global.

"Misi utama mahu menjadikan ekonomi industri kreatif dan budaya berpendapatan tinggi, selain memperkasakan FINAS sebagai badan peneraju industri perfileman yang kompeten dan progresif.

"Apa yang ditekankan demi membina ekosistem industri perfileman tanah air dengan ekonomi berdaya saing dan bertaraf global," katanya.

Terdahulu, Zakaria bersama timbalannya, Norman dan ahli perbadanan lain menamatkan kontrak pada 22 Mei lalu selepas dua tahun perkhidmatan.

Zakaria mewakili ahli perbadanan penggal 2020-2022 mengucapkan selamat maju jaya kepada warga industri perfileman dan kakitangan FINAS.

"Semoga warga industri perfileman dan FINAS akan terus berganding bahu menjadikan industri kreatif sebagai salah satu penyumbang utama kepada KDNK dalam masa yang terdekat.

"Penghargaan juga kepada rakan media yang terus memberi sokongan padu dalam tempoh perkhidmatan kami," katanya.

Turut meluahkan penghargaan, Norman dan ahli perbadanan dari industri perfileman seperti Profesor Datuk Razak Mohaideen, Datuk Norhayati Mohd Ismail, Tuan Ku Mohamad Haris Ku Sulong, Lina Tan Suan Jeu dan Denes Kumar Ragupathy.

Berita Harian X