Isnin, 23 Mei 2022 | 11:00am
Md Nasir (tengah) bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mendengar taklimat mengenai produk kandungan kreatif di Pavilion Malaysia. - Foto IG FINAS
Md Nasir (tengah) bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mendengar taklimat mengenai produk kandungan kreatif di Pavilion Malaysia. - Foto IG FINAS

FINAS sasar RM50 juta pelaburan asing

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyasarkan penyertaan 30 rumah produksi menyertai pasaran filem terbesar di dunia, Marche Du Film, Cannes, Perancis berbanding 12 syarikat tahun ini.

Sehubungan itu, FINAS menjalin kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC); Kementerian Luar Negeri serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebagai usaha mempromosi negara ke peringkat antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim, berkata perkongsian pintar semua kementerian akan dapat memperluaskan pasaran filem negara ke peringkat global, sekali gus menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia.

"Penyertaan produk tempatan ke pasaran filem antarabangsa ini perlu dimaksimumkan agar dapat menonjolkan lokasi menarik di samping menunjukkan budaya, kesenian dan tradisi. Kita juga mempunyai pelbagai etnik yang boleh ditonjolkan.

"Berdasarkan pengalaman kali ini tidak banyak penerbit filem yang terbabit dalam pasaran filem terbesar dunia ini. Jadi, FINAS merancang memperluas promosi kepada rumah produksi untuk turut serta," katanya kepada BERNAMA.

Marche Du Film adalah perhimpunan terbesar industri filem bagi pengeluar, pembiaya, penyiar, pengedar, pembekal dan pembeli dari seluruh dunia untuk bertemu, berkongsi idea serta membuat pelbagai tawaran.

Sebanyak 250 syarikat dari 110 negara menyertai pasaran filem selama sembilan hari sejak 17 Mei lalu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (tengah) bersama penggiat seni yang menghadiri Marche Du Film, Cannes, Perancis. - Foto IG FINAS
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (tengah) bersama penggiat seni yang menghadiri Marche Du Film, Cannes, Perancis. - Foto IG FINAS

Bagi edisi kali ini, sebanyak 12 syarikat tempatan menampilkan pelbagai produk kandungan kreatif seperti filem cereka, animasi, dokumentari dan lain-lain menghadiri pasaran pameran filem itu dengan sembilan syarikat hadir secara fizikal, manakala tiga syarikat dalam talian.

Md Nasir berkata, pihaknya akan bertemu Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi memperkenal dan mempromosi insentif daripada badan itu bagi membolehkan lebih ramai pengeluar filem tempatan menyertai pameran filem antarabangsa terbesar di dunia itu, tahun depan.

"FINAS merancang membuat promosi lebih awal di samping bekerjasama dengan MATRADE untuk mendapatkan insentif bersesuaian untuk masa akan datang.

"Insya-Allah, FINAS akan dapat menambah penyertaan menerusi pendekatan bersesuaian dan berkesan. Ini kerana lebih banyak penyertaan dan pelbagai kandungan ditawarkan dijangka menarik perhatian lebih ramai pengunjung penggiat seni seluruh dunia ke Pavilion Malaysia," katanya.

Mengulas sasaran RM50 juta pelaburan asing ke Malaysia melalui Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) pada Marche Du Film tahun ini, Md Nasir optimis sasaran mampu dicapai sebelum pasaran filem berakhir pada Rabu ini.

Beliau berkata, setakat ini, beberapa syarikat luar negara juga menunjukkan minat membeli kandungan kreatif negara. - BERNAMA

Berita Harian X