PETALING JAYA: Bakal membintangi drama bersiri adaptasi dari novel Kerana Cinta Itu Ada, namun, penyanyi dan pelakon, Nabila Razali mengakui penggambaran masih tertangguh disebabkan belum menemui hero yang sesuai.
Menafikan terlalu cerewet dalam memilih gandingan, Nabila berkata, cukuplah sekadar jika aktor yang terpilih bersesuaian dan mampu membawa karakter ditampilkan.
"Hendak cari hero sahaja satu cabaran, itu belum masuk nak dapatkan lokasi sesuai. Bukanlah bermaksud selera tinggi, tetapi dalam fikiran saya adalah gambaran pelakon lelaki bagaimana yang dimahukan.
"Tetapi, tak adalah sampai nak hero 'meletop'. Cukuplah sekadar bersesuaian dengan karakter Tengku seperti yang digambarkan penulis novel ini," katanya kepada BH Online.
Ditanya siapakah pelakon yang ada dalam bayangannya membawakan watak Tengku Aisy Mateen, penyanyi yang baru muncul dengan single Putus ini memberitahu, sosok aktor yang ada dalam fikirannya adalah Shukri Yahya.
"Sejujurnya, memanglah ada beberapa pilihan, tetapi apa yang berjaya menangkap perhatian saya adalah pelakon yang sedang hangat di kaca televisyen, Shukri.
"Saya dapat rasakan Shukri mampu memberi impak kepada watak Tengku Aisy Mateen itu.
"Lagipun, kami pernah bergandingan dalam drama. Jadi, saya tiada masalah dari segi mencari keserasian," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Universal Music Malaysia, kelmarin.
Dilancarkan Mac lalu, novel itu dihasilkan berdasarkan kisah cinta silam pemilik nama sebenar, Nur Nabila Mohd Razali yang tidak kesampaian.
Drama yang menyaksikan Nabila membawakan watak Nabila Aulia itu bakal disiarkan di TV3.