Sabtu, 21 Mei 2022 | 1:00pm
Single Suara Lebaran Kita yang dirakamkan bersama Hael adalah lagu raya kedua bagi Dolla selepas Raya Raya Raya. Foto IG Dolla
Single Suara Lebaran Kita yang dirakamkan bersama Hael adalah lagu raya kedua bagi Dolla selepas Raya Raya Raya. Foto IG Dolla

Busana kami tak keterlaluan - Dolla

PETALING JAYA: Kumpulan Dolla mempertahankan busana digayakan dalam video muzik Suara Lebaran Kita dendangan bersama Hael Husaini tidak keterlaluan sebaliknya sesuai dengan imej kumpulan itu.

Mewakili Dolla, Sabronzo berkata, mereka menghormati budaya Melayu dan memilih busana sesuai untuk digayakan dalam video muzik yang diterbitkan sempena menyambut Aidilfitri.

"Dalam perkara ini, setiap orang ada pandangan masing-masing. Ada yang sukakan lagu raya kami dan ada yang sebaliknya.

"Tetapi dalam video muzik itu, kami masih menghormati baju tradisional kita. Tidaklah kami mengenakan baju yang terlalu menonjol, sebaliknya, masih boleh diterima.

Dolla menjelaskan mereka menghormati budaya Melayu dan memilih busana sesuai untuk digayakan dalam video muzik yang diterbitkan sempena menyambut Aidilfitri. Foto IG Dolla
Dolla menjelaskan mereka menghormati budaya Melayu dan memilih busana sesuai untuk digayakan dalam video muzik yang diterbitkan sempena menyambut Aidilfitri. Foto IG Dolla

"Bagi kami, dalam setiap video muzik, kami cuba tonjolkan imej Dolla. Sama macam lagu sebelum ini, kami tonjolkan identiti Dolla," katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, sebaik video muzik Suara Lebaran Kita dendangan bersama Hael dilancarkan, netizen melemparkan kritikan konon gaya kumpulan itu agak seksi dan tidak sesuai dengan suasana Hari Raya.

Selain Sabronzo atau Sabrina, Dolla dianggotai Tabby, Angel dan Syasya.

Sabronzo berkata, setiap komen dan kritikan dijadikan panduan untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik pada masa hadapan.

"Mana yang boleh diperbaiki, kami cuba lakukan. Sejak single pertama kami dapat banyak maklum balas positif dan negatif.

"Tidak kira apa pun, pasti ada sesuatu yang boleh kami pelajari," katanya ditemui pada Rumah Terbuka Rakyat Rangers anjuran Hot FM di Sri Penta di sini, semalam.

Sementara itu, Taby berkata, single Suara Lebaran Kita mendapat sambutan yang sangat baik kerana peminat tidak menyangka mereka akan bekerjasama dengan Hael.

"Lagu itu meriah dan unik. Ia sesuai dengan suasana raya tahun ini. Merakamkan lagu ini memberi pengalaman baharu yang menyeronokkan buat kami.

"Kalau dilihat di laman sosial seperti Instagram (IG) dan TikTok, ramai yang menjadikan single ini sebagai lagu latar sambutan raya.

"Malah, ada yang menyunting seperti video muzik. Tidak hanya kreatif, usaha mereka sangat dihargai. Ia cukup buatkan kami terharu dan teruja," katanya.

Taby berkata, sama seperti single raya tahun lalu, iaitu Raya Raya Raya, Suara Lebaran Kita 'catchy' dan sesuai untuk pendengar muzik semasa.

"Penyanyi veteran, Datuk DJ Dave pernah beritahu kami ketika bertemu di sebuah majlis, lagu kami tidak boleh dibandingkan.

"Ini kerana lagu kami adalah untuk generasi sekarang dan akan jadi lagu 'evergreen' untuk generasi akan datang.

"Jadi, sebagai artis baharu, kami berbangga apabila dapat menyanyikan lagu raya dan memeriahkan sambutan Aidilfitri setiap tahun," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dolla akan tampil dengan single baharu yang berbeza daripada apa yang pernah dihasilkan sebelum ini.

Berita Harian X