Sabtu, 21 Mei 2022 | 11:00am
Mawi bersama isteri, Ekin Rahmat dan anak mereka. Foto IG Mawi
Mawi bersama isteri, Ekin Rahmat dan anak mereka. Foto IG Mawi

Sakit Ustaz Kazim bukan gimik

KUALA LUMPUR: Tindakan pendakwah selebriti, Datuk Mohd Kazim Elias berkongsi penyakit misteri dihidapi di Facebook (FB) mengejutkan sehingga ada peminat mendakwa aksi itu tidak lebih daripada gimik mempromosikan filem Zim Zim Ala Kazim yang sedang dalam pembikinan.

Ketika perkara itu hangat diperkatakan, bukan sahaja netizen, malah selebriti meragui hantaran dimuat naik pendakwah berkenaan yang disunting Mawi untuk membintangi filem berkisar kisah hidupnya.

Namun, Mawi atau nama sebenar, Asmawi Ani menjelaskan, perkongsian Mohd Kazim berhubung penyakit dihidapi adalah betul.

"Memang Ustaz Kazim kena penyakit kulit. Apa yang dikongsi di laman sosial beliau semalam (kelmarin), adalah benar. Dengan keadaan kulit Ustaz Kazim begitu, kami jadikan sebagai jalan cerita untuk filem saya.

Mawi bersama Ustaz Kazim di lokasi penggambaran filem Zim Zim Ala Kazim yang bakal ditayangkan di Astro First, Oktober depan. Foto IG Mawi
Mawi bersama Ustaz Kazim di lokasi penggambaran filem Zim Zim Ala Kazim yang bakal ditayangkan di Astro First, Oktober depan. Foto IG Mawi

"Saya memang mengikut apa yang terjadi kepada Ustaz Kazim bagi menjadikan filem itu lebih realistik. Cuma kami memang ada menambah sedikit kesan solekan," katanya kepada BH Online.

Hantaran dimuat naik Mohd Kazim mengenai keadaan kesihatannya itu tular apabila pendakwah terbabit berkongsi foto tangan kirinya yang 'tumbuh' ketulan kecil.

Melalui keterangan gambar, pendakwah terkenal itu merayu mana-mana pihak yang mampu mengubati penyakit misteri untuk membantunya yang sudah tidak tahan menanggung derita.

Namun, Mawi bersyukur Mohd Kazim masih mampu meneruskan penggambaran filem berkenaan biarpun dalam kesakitan.

"Dalam keadaan yang tidak berapa sihat, Alhamdulillah, Ustaz Kazim masih mampu memberi komitmen menyiapkan filem itu. Malah, beliau kuatkan diri untuk meneruskan penggambaran," katanya.

Barangkali menyedari hantaran dimuat naik di FB menimbulkan tanda tanya sehingga ada yang menuduhnya sengaja mahu mempromosikan filem lakonannya, Mohd Kazim tampil membuat penjelasan.

Mohd Kazim mendakwa, beliau sengaja menyembunyikan perkara itu, selama ini.

Namun, selepas pelbagai usaha dilakukan sejak lapan bulan lalu, gagal, termasuk mendapatkan rawatan secara moden dan tradisional, Mohd Kazim tidak dapat menyembunyikan lagi masalah dihadapi.

"Ini keadaan wajah saya sekarang. Selama ini, saya sembunyikan melalui tampalan solekan apabila muncul di khalayak ramai.

"Luka itu bukan hanya pada wajah, sebaliknya, seluruh tubuh. Ia terjadi dengan sendiri sehingga mengeluarkan darah dengan tidak semena-mena.

"Saya tidak boleh siarkan keadaan (anggota badan lain) yang lain kerana malu dan rendah diri. Saya hanya siarkan bahagian lengan sebagai kiasan mengenai keadaan badan dan dengan harapan ada yang sudi membantu.

"Saya perlukan pertolongan siapa sahaja, baik doktor atau pakar perubatan alternatif bagi merawat saya," katanya.

Jelas Mohd Kazim lagi, kulitnya bukan saja sakit dan gatal, malah turut dirundung emosi pedih dan gelisah.

Malah tidurnya turut terganggu sejak beberapa bulan lalu kesan daripada penyakit dihadapi.

"Saya bimbang keadaan itu akan menghilangkan saya dari dunia dakwah. Walaupun sakit, saya tetap menerima semua jemputan ceramah dan program.

"Kadang-kala saya masuk dan keluar dari tempat ceramah dengan tergesa-gesa kerana tidak dapat menahan kepedihan dan kesakitan yang ditanggung.

"Walaupun pernah dilabel sombong kerana tidak beramah mesra dengan pendengar seperti dahulu, saya tabahkan hati. Saya yakin orang ramai tidak tahu keadaan sebenar diri ini," katanya yang turut memohon maaf sekiranya perkataan dan tingkah lakunya mengguris hati mana-mana pihak.

Penggambaran filem Zim Zim Ala Kazim sedang rancak dikendalikan di Ipoh, Perak dan sudah memasuki hari ke-10.

Filem mengangkat kisah hidup Ustaz Kazim menampilkan Mawi bersama Along Cham, Anas Tahir, Santesh, Zarina Anjoulie, Syanie Hisham dan ramai lagi.

Zim Zim Ala Kazim akan ditayangkan menerusi saluran Astro First, Oktober depan sempena Maulidur Rasul.

Berita Harian X