Sabtu, 21 Mei 2022 | 8:30am
Donovan (dua dari kiri) pada sesi perkongsian pandangan selepas persidangan bertajuk The Heartbeat Of Asia pada Marche Du Film 2022 di Cannes, Itali, baru-baru ini. Foto BERNAMA
Donovan (dua dari kiri) pada sesi perkongsian pandangan selepas persidangan bertajuk The Heartbeat Of Asia pada Marche Du Film 2022 di Cannes, Itali, baru-baru ini. Foto BERNAMA

Malaysia ada tarikan jadi lokasi penggambaran

CANNES: Malaysia boleh menawarkan pelbagai perkara kepada syarikat penerbitan antarabangsa agar dapat menarik mereka melakukan penggambaran filem di Malaysia, akui penerbit dan pengarah Syarikat Biscuit Film, Bill Donovan.

Donovan berkata, Malaysia memiliki infrastruktur yang amat baik, lokasi fantastik daripada bandar moden sehingga Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) selain kru penggambaran yang dedikasi serta berpengalaman yang boleh ditawarkan kepada syarikat produksi luar negara.

Donovan (kiri) berpendapat Malaysia boleh menawarkan pelbagai perkara kepada syarikat penerbitan antarabangsa agar dapat menarik mereka melakukan penggambaran filem di Malaysia. Foto BERNAMA
Donovan (kiri) berpendapat Malaysia boleh menawarkan pelbagai perkara kepada syarikat penerbitan antarabangsa agar dapat menarik mereka melakukan penggambaran filem di Malaysia. Foto BERNAMA

"Malaysia boleh tawarkan banyak perkara yang ada dalam senarai semak penerbit. Makanan Malaysia suatu tarikan besar dan tambahan pula dengan cara hidup Malaysia," katanya kepada media selepas persidangan bertajuk The Heartbeat Of Asia pada Marche Du Film 2022 di Cannes, Itali, baru-baru ini.

Donovan adalah salah seorang penceramah diundang selain Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS), Prof Dr Md Nasir Ibrahim; CEO Iskandar Malaysia Studio (IMS), Rashid Karim dan Pengurus Besar Base FX, Datuk Azmir Saiuddin Mutalib.

Donovan berkata, rebat 30 peratus yang ditawarkan menerusi Insentif Filem Malaysia (FIMI) dan tambahan lima peratus lagi rebat 'cultural test' dianggap idea bagus yang menjadi tarikan untuk lebih banyak syarikat produksi luar negara menjadikan Malaysia sebagai lokasi penggambaran.

"Kami menggunakan insentif ini dengan jayanya sejak dimulakan. Sehingga sekarang, setiap projek tanpa gagal menerima wang itu,

"Saya fikir ini suatu insentif yang bagus. Pada kadar 30 peratus, ia agak banyak untuk perbelanjaan tempatan termasuk wang anda dan kru yang membuatkan insentif itu amat menarik," katanya.

Bagaimanapun, Donovan berkata, kerajaan perlu meningkatkan kesedaran mengenai FIMI kerana masih ramai pihak perlu tahu mengenai Malaysia dan apa yang dapat ditawarkan kepada mereka.

"Itu suatu perkara yang penting di mana kita perlu maklumkan kepada orang ramai mengenai apa yang Malaysia boleh tawarkan daripada segi budaya, makanan, cuaca, lokasi dan lain-lain," katanya.

Sementara itu, Md Nasir mengakui kekurangan promosi menjadi punca mengapa banyak penerbit tidak tahu tentang wujudnya rebat tunai menerusi FIMI.

Beliau berkata, FINAS akan mempergiatkan promosi melalui platform seperti media sosial, akhbar dan aktiviti tertentu selain menyertai beberapa pasaran filem antarabangsa.

"Kita akan sertai tidak kurang tiga pasaran antarabangsa dalam masa terdekat sehingga tahun depan.

"Dengan penyertaan kita di pasaran antarabangsa, kita bukan sahaja dapat memperluaskan filem kita ke luar negara, malah, memperkenalkan negara kita yang ada pelbagai bangsa, budaya dan cara hidup.

"Melalui FIMI, kita berharap, ekonomi negara dapat dipertingkatkan melalui aktiviti penggambaran di Malaysia. Setiap perbelanjaan yang dibuat di Malaysia menjana pendapatan kepada negara," katanya.

Dalam perkembangan sama, Md Nasir berkata, tawaran rebat tunai 30 peratus melalui FIMI dan tambahan sehingga lima peratus melalui 'cultural test' mampu menarik lebih banyak syarikat produksi asing memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran.

"Tidak ramai pihak luar, penerbit khususnya, tahu bahawa kita menawarkan insentif yang tinggi rebatnya sehingga 35 peratus di mana negara jiran seperti Thailand, tawarkan 25 peratus.

"Jadi, kita nampak ini kelebihan yang perlu kita tonjolkan supaya lebih banyak pihak asing tahu mengenai rebat yang kita ada," katanya.

Md Nasir berkata, mana-mana penggiat industri yang menjalani penggambaran di Malaysia dengan perbelanjaan minimum RM1 juta bagi penerbit filem tempatan manakala RM5 juta bagi penerbit antarabangsa, layak mendapat rebat tunai 30 peratus.

Rebat tambahan sehingga lima peratus melalui 'cultural test' boleh dimanfaatkan jika penerbit filem memaparkan elemen kenegaraan, kesenian dan kebudayaan dalam naskhah dihasilkan.

Sebanyak 250 syarikat dari 110 negara menyertai Marche Du Film 2022 selama sembilan hari mulai Selasa lalu. - BERNAMA

Berita Harian X