Isnin, 16 Mei 2022 | 5:00pm
Halim dan Sharifah Husna kali pertama digandingkan dalam drama Kasih Tak Terungkap pada 2020. Foto IG Halim Radzi
Halim dan Sharifah Husna kali pertama digandingkan dalam drama Kasih Tak Terungkap pada 2020. Foto IG Halim Radzi

Halim, Sharifah Husna rancang hari bahagia

KUALA LUMPUR: Aktor yang sedang popular dengan drama Jangan Menangis Cinta, Halim Radzi, 26, mengaku merancang mendirikan rumah tangga dengan tunangnya yang juga pelakon, Sharifah Husna selepas dua tahun mengenali hati budi masing-masing.

Halim yang juga bekas peserta Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2014 memberitahu, keluarga mereka masih berbincang mendapatkan tarikh sesuai untuk melangsungkan pernikahan.

"Memang ada perancangan (berkahwin) dan kalau ada rezeki, Insya-Allah. Hendak kata tahun ini, saya kena tengok dahulu kerana keputusan ini terletak kepada kedua-dua keluarga.

Merancang hari bahagia, Sharifah Husna dan Halim menunggu tarikh sesuai diatur keluarga untuk majlis pernikahan. Foto IG Halim Radzi
Merancang hari bahagia, Sharifah Husna dan Halim menunggu tarikh sesuai diatur keluarga untuk majlis pernikahan. Foto IG Halim Radzi

"Keluarga kami perlu berbincang sebelum diputuskan tarikh. Sekarang, kami masih memilih tarikh sesuai. Kalau okay, saya akan umumkan... Insya-Allah," katanya kepada BH Online.

Berkongsi detik perkenalannya mereka, Halim dan Sharifah Husna digandingkan dalam drama Kasih Tak Terungkap.

"Kami berkawan selepas berlakon bersama. Ketika itu, dia jadi heroin manakala saya bawa watak pembantu. Masa itulah kami mula berkawan.

"Kemudian kami digandingkan memegang teraju utama drama Dia Bidadari Dari Syurga. Dari situ, perkenalan kami jadi lebih dekat. Alhamdulillah, sekarang sudah dua tahun kami berkawan," katanya.

Mengenai wajahnya yang dikatakan mirip dengan pelakon gandingannya dalam Jangan Menangis Cinta, Remy Ishak, Halim mengaku menerima tempias populariti aktor sasa berkenaan.

"Saya pernah bekerjasama dengan Remy di mana saya jadi adiknya. Sekarang, menerusi Jangan Menangis Cinta, saya jadi abang Remy pula," katanya.

Halim mengaku selepas membintangi Jangan Menangis Cinta, dia banyak terima 'direct message' (DM) daripada peminat wanita di Instagram (IG).

"Ada yang menghantar rakaman video dan bertanya sama ada saya sudah berkahwin atau sebaliknya. Saya jawab terima kasih kerana menonton drama saya.

"Alhamdulillah, saya bersyukur sebab orang terima lakonan saya sebagai Hariz dan beri maklum balas yang baik," katanya yang memberi perhatian kepada lakonan mantap apabila menerima tawaran itu.

Sementara itu, Halim tidak kisah namanya lambat dikenali kerana percaya setiap anak seni mempunyai perjalanan tersendiri.

Halim mula berlakon sejak lapan tahun lalu. Antara drama lakonannya adalah Masih Ada Rindu, Isteri Bukan Untuk Disewa, KL Gangster Underworld Musim 2, Setelah Ku Dimiliki, Tulus Cinta dan Ombak Rindu The Series.

Berita Harian X