Sabtu, 14 Mei 2022 | 3:00pm
Rumah keluarga mentua Mark Adam sedang dalam proses pengubahsuaian selepas kontraktor terdahulu gagal menyiapkan projek. Foto Ihsan Mark Adam
Rumah keluarga mentua Mark Adam sedang dalam proses pengubahsuaian selepas kontraktor terdahulu gagal menyiapkan projek. Foto Ihsan Mark Adam

Mark Adam reda ditipu kontraktor

KUALA LUMPUR: Mark Adam mendakwa ditipu lebih RM95,000 oleh seorang kontraktor yang diberi amanah mengubah suai rumah keluarga mentuanya di Taman Amaniah, Batu Caves, di sini.

Mark dan isterinya, Norazah Redzuan bagaimanapun reda diperlakukan sedemikian biarpun ralat dengan sikap sambil lewa dan tidak bertanggungjawab individu terbabit.

Mark yang masih bersangka baik atau 'husnuzon' apabila ditipu terpaksa mencari arkitek dan kontraktor baharu untuk menyambung kerja terbengkalai itu.

"Sepanjang proses membina semula rumah keluarga mentua jelas sikap tidak ikhlas ditunjukkan pekerja kontraktor terbabit. Saya fikir hanya sementara. Lama-lama dibiar tidak sangka jadi parah pula.

"Pada mulanya, saya berkira-kira sama ada patut atau tidak untuk bersuara. Apatah lagi semua urusan dilakukan tanpa kontrak, sebaliknya, berlandaskan kepercayaan.

"Selepas dihitung, saya dan isteri sudah membayar RM95,500 kepada mereka. Tetapi kerja pengubahsuaian tidak siap-siap.

"Malah, kami sudah meminta mereka menghentikan kerja dan menyerahkan semula lebihan wang yang dibayar. Namun, nampaknya, macam mustahil hendak dapat wang itu semula.

Mark dan isteri mengambil iktibar selepas kerugian lebih RM95,000 apabila kontraktor yang sepatutnya mengendalikan kerja pengubahsuaian rumah didakwa gagal melunaskan tanggungjawab. Foto Ihsan Mark Adam
Mark dan isteri mengambil iktibar selepas kerugian lebih RM95,000 apabila kontraktor yang sepatutnya mengendalikan kerja pengubahsuaian rumah didakwa gagal melunaskan tanggungjawab. Foto Ihsan Mark Adam

"Saya pasrah dan ambil perkara ini sebagai pengajaran," katanya.

Mark berkata, tidak terlintas dalam fikirannya hendak memanjangkan perkara itu termasuk mengambil tindakan undang-undang atau menyaman kontraktor terbabit.

"Soal nak saman dan sebagainya, pada saya, masing-masing sudah matang. Saya berniat menyenangkan keluarga mentua, tapi begini pula jadinya.

"Silap saya kerana fikir kerja ini lebih senang tanpa ada persetujuan atau kontrak. Pada masa sama, saya hendak bantu pekerja kontrak menjana pendapatan selepas berdepan pandemik COVID-19," katanya.

Penyanyi lagu Si Katak dan Pencuri itu mengaku mahu mengubahsuai rumah keluarga mentua kerana isterinya pernah melakukan perkara sama untuk ibunya di Filipina.

"Isteri sebelum ini pernah membantu keluarga saya di Filipina mendapat kehidupan lebih selesa. Jadi, giliran saya pula melakukan perkara sama kepada keluarga mentua.

"Saya harap projek ini dipermudah dan dipercepatkan. Buat sementara waktu, ibu dan bapa mentua tinggal di rumah kami," katanya.

Sementara itu, Mark rancak menjual baju untuk seisi keluarga daripada bayi hingga dewasa di bawah jenama Bumsnbums.

"Ada koleksi baju Melayu, baju kurung, kurta dan sebagainya. Syukur perniagaan ini menjadi dan sedikit sebanyak menampung pusat latihan vokal dan seni persembahan, Akademi Suara yang saya usahakan.

"Pandemik COVID-19 menjejaskan operasi Akademi Suara. Namun, saya tidak membangkitkan masalah itu kerana tidak mahu enam guru vokal yang bekerja terasa. Malah, mereka tidak dibuang.

"Saya merancang membuka cawangan di setiap negeri. Namun, pandemik membantutkan usaha itu," katanya.

Mengenai karier lakonan, Mark bersyukur masih menjadi pilihan penerbit drama.

"Selain drama 30 Hari Sebelum Raya, saya akan muncul dengan drama Bisik-Bisik Gelora untuk slot Akasia TV3 dan Cik Misi 123," katanya yang tidak memilih tawaran asalkan mampu menjana pendapatan.

Berita Harian X